fbpx
Category

Kanak-Kanak

Category

LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd), penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan pertama di Malaysia dan sebuah syarikat perusahaan sosial, telah melancarkan e-buku ‘Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak’ Edisi Bahasa Melayu. E-buku ini mengandungi naratif yang mudah difahami serta dilengkapi dengan ilustrasi untuk pembacaan yang menarik. Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak Malaysia tentang wabak COVID-19 ketika ini, LeapEd diberi penghormatan eksklusif untuk menterjemahkan e-buku ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengubah cara kanak-kanak belajar dan juga cara pendidik mengajar.

E-buku ini pada mulanya diterbitkan di United Kingdom (UK) oleh Nosy Crow, penerbit buku kanak-kanak bebas yang memenangi anugerah dan diilustrasikan oleh Axel Scheffler, ilustrator yang terkenal di peringkat antarabangsa melalui ilustrasi ‘The Gruffalo’. Sejak dilancarkan di UK pada April tahun ini, e-buku tersebut telah dimuat turun lebih daripada sejuta kali, dan boleh didapati dalam lebih daripada 60 bahasa.

E-buku ini boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan muat turun di sini. 

Panduan Membaca e-buku Coronavirus

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, LeapEd telah menyokong para pelajar, guru-guru, pemimpin di sekolah dan ibu bapa dalam mengadaptasikan diri mereka untuk berdepan dengan pelbagai perubahan dalam menangani pandemik wabak Covid-19 serta pertukaran pembelajaran daripada bilik darjah kepada pembelajaran secara maya. 

LeapEd juga telah menyediakan Panduan Membaca langkah demi langkah bagi membantu ibu bapa menggunakan buku ini dengan lebih berkesan. Panduan Membaca tersebut merangkumi cadangan cara membaca e-buku ini, bagaimana memulakan perbualan dengan anak-anak, soalan mengenai virus dan pandemik tersebut serta mendorong anak-anak untuk merenungkan keadaan semasa dan langkah-langkah seterusnya yang boleh mereka praktikkan dengan segera. Terdapat juga versi “Read Aloud” yang disampaikan oleh Azalia Suhaimi, penyair Malaysia yang terkenal dengan kaedah menggabungkan fotografi dan puisi.  

Video ini boleh ditonton di sini.

Apakah yang berlaku sekiranya kita dijangkiti Coronavirus?

E-buku ini menerangkan bagaimana sesetengah orang, terutamanya kanak-kanak, tidak mempunyai gejala apabila dijangkiti oleh koronavirus. Mereka yang tiada bergejala adalah pembawa virus ini dalam badan dan boleh menyebarkannya kepada orang lain secara tidak sengaja.

Kebanyakan orang yang dijangkiti koronavirus melalui saluran pernafasan mengalami gejala seperti batuk, demam panas dan kesukaran bernafas selama beberapa hari. Namun disebabkan tubuh badan kita diciptakan secara menakjubkan, sistem imuniti tubuh badan kita juga dilengkapi oleh antibodi yang dapat mengesan virus baharu seperti koronavirus sebagai bendasing dan mula menyerang virus tersebut secara semulajadi. Antibodi badan kita yang kuat merupakan senjata yang terhasil daripada sel kecil dalam darah untuk melawan virus. Setelah antibodi melawan virus tersebut, sel darah akan menelan serta memusnahkannya dan pesakit akan mula berasa sembuh.

E-buku ini juga menerangkan kepada kanak-kanak bagaimana para pakar perubatan, doktor serta para saintis di seluruh dunia juga sedang sedaya upaya mencari penyelesaian untuk menghasilkan vaksin bagi mengubati penyakit berjangkit koronavirus ini dengan cepat dan selamat.

Dengan berbekalkan ubat-ubatan dan teknologi perubatan yang sedia ada, para doktor di seluruh dunia sedang cuba merawat dan membantu pesakit. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti koronavirus akan sembuh dengan sendirinya. Setakat ini, tiada rawatan atau ubat khusus untuk menyembuhkan coronavirus kerana ia adalah penyakit yang baharu. 

Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu?

Antara tip-tip yang mudah diikuti dan praktikal bagi kanak-kanak mahupun dewasa untuk menjaga diri daripada dijangkiti koronavirus adalah:

  1. Memakai pelitup muka

Pentingnya memakai pelitup muka 3-ply yang baik dan berkualiti yang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh WHO apabila keluar dari rumah dan berada di tempat awam. Ia dapat melindungi diri kita daripada mendapat jangkitan koronavirus melalui saluran pernafasan secara langsung.  Sekiranya diri kita mempunyai gejala koronavirus, kita perlu memakai pelitup muka dan mendapatkan rawatan yang secepat dan seawal yang mungkin juga dapat membendung pernularan korovirus daripada menjangkiti orang lain di sekeliling kita.

        2. Membasuh tangan dengan kerap dan betul

Penjelasan ini mudah difahami bagaimana koronavirus boleh disingkirkan dari tangan kita. Ia memupuk kesedaran di kalangan kanak-kanak akan pentingnya menggunakan sabun dan membilas tangan dengan air apabila membasuh tangan dengan kerap dan betul. Kita boleh menyanyikan lagu – ‘Selamat Hari Jadi’ sebanyak dua kali sambil mencuci tangan sehingga bersih. Penggunaan `hand sanitiser’ juga boleh digunakan sekiranya tiada sabun dan air yang mencukupi semasa kita berada di luar rumah.

  1. Jaga diri dengan mengamalkan penjarakan sosial

Dengan mengamalkan penjarakan sosial apabila berada di luar rumah dan di tempat awam seperti di sekolah, tempat permainan, di pusat membeli belah dan sebagainya, kanak-kanak dapat mengelakkan diri mereka daripada berhubung rapat dengan orang di sekelilingnya. Mereka juga boleh menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.

Ia merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dengan menyediakan platfom bacaan yang baik dan panduan yang ringkas lagi praktikal yang boleh digunakan oleh setiap ahli masyarakat di dunia, terutamanya ibu-bapa, penjaga, ahli keluarga, para guru dan pemimpin komuniti setempat untuk membantu sesama kita di kala masa yang memerlukan ini. 

Kita menyedari betapa besarnya impak golongan kanak-kanak ini boleh lakukan sekiranya mereka memilih untuk menolong seseorang yang memerlukan.  Dengan mengamati “knowledge is power” (ilmu pengetahuan adalah satu kuasa), kita patut menyedari bahawa tiada seorang pun di antara golongan masyarakat akan terpinggir, malah kita perlu berusaha untuk membantu bersama-sama dengan rasa empati, ihsan, dan penuh kebaikan. #kitajagakita

 

Semua imej diambil dari e-buku Coronavirus

Sifat berkongsi tidak datang dengan fitrah, ia lebih kepada sesuatu yang kita belajar apabila kita meningkat dewasa. Jadi, kita perlu mendidik anak-anak untuk belajar berkongsi. Dengan belajar berkongsi, anak akan membesar menjadi manusia yang tidak mementingkan diri sendiri dan memahami nilai murni ini.

Mungkin lebih senang berbicara dari melakukannya, jadi kami faham kesukaran untuk mendidik ketika mereka sedang berebut permainan atau makanan. Kadangkala mereka berebut sesuatu yang tak masuk akal pun!

Di sini kami kongsikan beberapa tip untuk membantu anda. Selamat mencuba!

Pilih masa & umur yang sesuai

Sebelum berumur 6 tahun, kebanyakan kanak-kanak tidak memahami konsep menjaga hati dan perasaan orang lain. Namun, kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas boleh mula memahami konsep berkongsi, jadi mungkin umur 3 tahun adalah umur terbaik untuk mula mendidik mereka mengenai sifat ikhlas dan memberi.

Jangan paksa mereka berkongsi

Jangan sesekali memaksa anak berkongsi barangan mereka kerana kita mungkin tak faham betapa bermakna barang tersebut kepada mereka. Kepada kita ia mungkin hanya permainan, tetapi bagi anak ia mungkin segala-galanya. Jadi, bina persekitaran yang menggalakkan mereka berkongsi dan sentiasa beri dorongan dan galakan.

Jadikan berkongsi sesuatu yang menyeronokkan

Seperti orang dewasa, kanak-kanak sukakan aktiviti yang menyeronokkan. Tanamkan nilai murni berkongsi di dalam aktiviti seperti bermain Lego bersama atau membuat kek bersama-sama. Sedar tak sedar, mereka sudah mula belajar mengenai kebaikan berkongsi.

Sentiasa berkomunikasi

Komunikasi adalah kunci kepada hubungan yang berjaya, jadi sentiasa berkomunikasi dengan anak anda tentang kepentingan berkongsi. Cuba terangkan kepada mereka dengan sempurna, berikan penerangan kepada kekeliruan mereka dan bina persepsi yang baik terhadap sifat berkongsi.

Pembahagian masa

Gunakan pemasa jika anda ada lebih dari seorang anak yang mahu bermain permainan video. Belajar menunggu giliran juga adalah sesuatu yang penting untuk dipelajari. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka mengenai keadilan dan mematuhi peraturan.

Jadi contoh yang baik

Kanak-kanak belajar melalui tauladan, jadi cara terbaik ialah dengan menjadi contoh kepada mereka. Ajak mereka berkongsi barangan kita sendiri, seperti bola yoga dan tanya jika mereka boleh kongsi permainan mereka dengan kita. Jadi contoh yang baik dan praktikkan apa yang kita ajar kepada mereka.

 

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina


 

Penggunaan gadget di kalangan ahli keluarga dewasa ini memberi impak yang negatif kepada komunikasi sesama ahli keluarga. Contohnya, apabila cuti sekolah, anak-anak yang besar berada di dalam bilik dengan telefon pintar masing-masing, manakala yang tidak mempunyai telefon melayari You Tube atau bermain game di tab atau computer.  Semuanya sibuk dengan gadget sendiri sehingga lupa bahawa komunikasi bersama mereka yang ada di rumah tu amatlah penting.

Pada ketika inilah, ibu dan bapa memainkan peranan dalam mewujudkan komunikasi di antara anggota keluarga. Ibu bapa terutamanya perlu bijak berkomunikasi dalam keluarga.

Komunikasi adalah sesuatu yang harus dididik dalam diri dan seterusnya  diberi kesedaran kepada anak-anak dari awal. Cara berinteraksi sesama ahli keluarga perlu dititikberatkan, kerana anak-anak belajar berkomunikasi dengan memerhatikan cara ibubapa berinteraksi di dalam keluarga. Jadi, ibubapa perlu menjadi role model yang baik.

Berikut adalah 7 tips berkomunikasi secara positif dalam keluarga.

1) Belajar menjadi pendengar yang baik

Beri sepenuh perhatian ketika ahli keluarga sedang bercakap. Pandang ke arah wajah orang yang sedang bercakap dengan kita. Jaga hak ahli keluarga dalam berkomunikasi, hormati setiap perkataan dan luahan mereka. Penghargaan yang kita berikan dapat menimbulkan kepercayaan dan mengeratkan hubungan.

2) Berkomunikasi dari hati

Didik hati supaya dapat berkomunikasi dengan baik bila bercakap dengan ahli keluarga. Bila bercakap, niat untuk tinggalkan kesan yang baik. Latih diri untuk bertutur perkataan yang mudah tetapi meninggalkan impak yang hebat. Bila ia datang dari hati yang baik, perkataan yang keluar di mulut juga baik.

3) Gunakan komponen komunikasi dengan baik

Gunakan komponen komunikasi iaitu gaya percakapan, bahasa isyarat, sikap dan bahasa tubuh dengan betul. Suara memainkan peranan penting apabila berkomunikasi. Gunakan suara yang rendah, tenang dan jelas saat berbicara dengan anak-anak supaya mesej sampai kepada anak.

Gaya percakapan ini memberi kita lebih autoriti dan senang untuk influence anak. Tidak perlu menjerit dan meninggikan suara kerana perlakuan tersebut akan membuatkan anak menjauh dari kita.

Apabila kita berkomunikasi, ia adalah refleksi dari dalam diri kita. Latih diri untuk menyampaikan mesej secara beradab. Fikir perasaan orang lain sebelum mengeluarkan kata-kata. Sampaikan fakta dan hakikat yang benar dengan baik dan berhemah dengan syarat tidak memalukan orang lain.

4) Tidak memotong percakapan

Jangan memotong percakapan ahli keluarga yang sedang bercakap dengan pertanyaan demi pertanyaan. Biarkan mereka selesaikan ucapan mereka. Ini juga sebagai latihan untuk menghormati dan menghargai orang lain yang sedang bercakap.

5) Elakkan menghakimi orang yang sedang bercakap

Jangan merendahkan atau menghakimi anak-anak yang sedang bercakap. Perbuatan kita akan membuat anak merasa rendah diri dan berhenti mencurahkan isi hatinya. Anak pula akan melakukan hal yang sama terhadap orang lain ketika mereka berbicara. Orang yang suka menghakimi orang lain sebenarnya adalah mereka yang tidak yakin dengan diri sendiri. Elakkan dari bersikap sedemikian.

6) Berikan motivasi dan ilmu

Ketika masuk usia remaja, anak-anak perlukan perhatian yang lebih. Anak-anak pasti berhadapan dengan konflik personal apabila berada di luar rumah. Ibu bapa seharusnya menjadi tempat berbincang dan tempat mengadu untuk anak-anak. Fahami situasi anak, beri motivasi dan pesanan baik dan positif untuk mereka.

7) Wariskan cara komunikasi yang baik kepada anak-anak

Anak-anak suka meniru cara ibu bapa bertutur, jadi kita perlu menjadi contoh positif dan baik untuk ditiru oleh anak-anak. Baik dari cara menghargai orang lain, cara bertindak, cara berbicara yang baik hingga menerapkan akhlak dan nilai keagamaan dalam diri anak-anak, jangan hanya menyuruh tanpa memberi teladan.

Komunikasi itu penting dalam keluarga untuk memastikan hubungan terjalin dengan baik. Berkomunikasilah dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Jaga tutur kata dan ubah percakapan akan menjadikan keluarga saling memahami dan harmoni. Biasakan guna 3 perkataan ini iaitu salam, sorry dan thank you dalam berkomunikasi, nescaya diri kita akan lebih dihargai dan dihormati.

Berjauhan dengan anak bukanlah perkara mudah untuk dilakukan oleh ibu bapa. Ada ibubapa yang terpaksa tinggal berasingan dengan anak-anak kerana mencari rezeki. Ada juga yang terpaksa meninggalkan anak-anak buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti bertugas di luar kawasan. Ada pula yang berjauhan kerana anak-anak bersekolah di asrama atau mendapat tawaran sambung belajar.

Persediaan mental dan fizikal dari kedua belah pihak ibu bapa dan anak-anak amatlah penting apabila telah ada persetujuan untuk tinggal berjauhan.Walaupun pada awalnya perubahan suasana ini akan menimbulkan perasaan bimbang dalam diri ibubapa, lama kelamaan ianya akan dapat diatasi. Belajar dari pengalaman sendiri, di sini saya kongsikan 5 persiapan yang boleh dibuat apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

1) Berfikiran positif

Perkara yang paling utama, pastikan kita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik. Fikiran positif akan menarik perkara-perkara yang baik dalam kehidupan kita. Janganlah terlalu risau dengan perkara yang bakal terjadi atau belum terjadi. Apa yang kita fikir, apa yang kita ucap dan apa yang kita rasa di dalam hati, semuanya adalah doa. Hadirkan doa-doa yang baik apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

2) Tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan dipercayai, di dalam persekitaran yang selamat

Jadilah ibubapa yang bijak dan hanya tinggalkan anak untuk tempoh yang lama kepada orang yang dikenali dan dipercayai sahaja. Pastikan penjaga yang dipilih adalah dari kalangan keluarga yang rapat dan anak-anak sudah biasa dan selesa bersama mereka.

Sekiranya berjauhan dengan anak-anak yang sudah dewasa, ia tidak menjadi masalah yang besar. Ibu bapa boleh membuat senarai tugasan untuk anak-anak. Ibu bapa boleh menghubungi anak-anak untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Tetapi, jika anak-anak masih kecil dan tidak pandai mengurus diri, ibu bapa terpaksa bergantung harap kepada penjaga. Pastikan penjaga tahu apa keperluan anak-anak. Senaraikan nombor-nombor telefon penting yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan dan tampalkan ditempat yang mudah dilihat.

Jika anak-anak berada di asrama, pastikan ibu bapa ada nombor telefon warden yang berkenaan dalam simpanan untuk mudah dihubungi.

3) Perbelanjaan yang cukup

Kewangan adalah antara perkara yang mesti diberi perhatian apabila perlu berjauhan dengan anak. Sediakan perbelanjaan secukupnya untuk anak yang tinggal berasingan seperti di asrama atau yang ditinggalkan untuk bekerja ke luar kawasan. Pastikan juga ada wang yang disimpan berasingan untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti anak sakit atau sebagainya.

4) Sentiasa berhubung

Komunikasi sangat penting apabila berjauhan. Dengan adanya teknologi komunikasi, tiada alasan untuk tidak memanfaatkan kemajuan dan kecanggihan berhubung menerusi telefon, WhatsApp, video call dan sebagainya. Ibu bapa akan memperoleh informasi tentang anak-anak dengan cepat dan pantas.  Sentiasalah berhubung dengan anak-anak dan penjaga mereka.

Sentiasa juga pantau pergerakan anak-anak. Walaupun kita tiada di sisi mereka, itu tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati. Sentiasa juga pesan kepada anak yang berada di sekolah berasrama untuk menelefon ibu bapa. Perhatian yang ibu bapa berikan akan dapat mengeratkan kasih sayang dengan anak-anak walaupun berjauhan.

5) Doa dan tawakal

Saban hari kita disajikan dengan pelbagai berita tentang kejadian, bunuh, buli, dera, hilang dan yang paling terbaru berita cubaan membunuh diri seawal usia 13 tahun hanya kerana cinta ditolak rakan sebaya. Hakikatnya, pada alaf baru ini, faktor persekitaran, media dan rakan sebaya banyak mempengaruhi perilaku anak-anak. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila ibu bapa terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Walaupun perhubungan menjadi mudah dengan adanya telefon pintar, perasaan risau masih terbuku di dada selagi anak tidak berada di hadapan mata.

Setelah melakukan persiapan yang terbaik untuk mengatur kehidupan apabila berjauhan dengan anak-anak, sandarkan sepenuh pengharapan kepada yang Maha Berkuasa untuk melindungi anak-anak kita. Setiap usaha yang dimulakan dengan berbekalkan pengharapan harus disertakan dengan tawakal kepadaNya. Sentiasa berdoa supaya anak-anak kuat, sabar dan terhindar daripada gejala sosial dan perkara yang tidak diingini.

Pengorbanan untuk berjauhan pasti akan memberi erti dan manfaat dalam kehidupan. Berjauhan dengan ibu bapa dapat melatih anak-anak belajar hidup berdikari dan belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Disleksia adalah masalah pembelajaran kanak-kanak yang sering di salaherti. Antara label yang sering dikaitkan dengan disleksia adalah “lembap”, “tak pandai” ataupun “bodoh”. Lebih mengecewakan, kanak-kanak yang menghidapi disleksia mudah ketinggalan dalam pembelajaran atau tidak dihiraukan langsung oleh guru di tadika atau sekolah kerana mereka tidak dapat mengikuti kaedah pengajaran konvensional.

Anak saya Adeena, berusia hampir 4 tahun, seringkali mendapat perhatian rakan- rakan dan ahli keluarga lain kerana gemar makan sayur. Tidak seperti kakak dan abangnya, Adeena berani mencuba pelbagai jenis sayur dan berani saya katakan, kebanyakan yang dicuba, memang akan digemari dan boleh diulang makan dengan mudah.

Ramai orang memuji tabiat makan Adeena, dan mereka menyangka saya mempunyai sistem atau cara yang tertentu bagi memastikan Adeena suka makan sayur setiap hari. Terus terang saya katakan, saya tidak ada cara yang spesifik melatih anak makan sayur, namun apabila saya fikir dan kaji semula, mungkin 5 perkara di bawah ini banyak mempengaruhi tabiat makan sayur Adeena.

Sudah menjadi lumrah buat para ibu berkerjaya merasa sukar untuk memilih antara anak atau kerjaya. Kedua-duanya amat penting untuk meneruskan hidup yang penuh cabaran pada hari ini. Atas faktor ekonomi dunia yang makin mencabar, para ibu turut merasakan mereka perlu keluar bekerja bagi menambah baik ekonomi keluarga.

Kajian menunjukkan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak bukan sahaja membantu perkembangan mereka dari segi akademik, malah ia turut mempengaruhi emosi, tingkah laku dan sahsiah.

“Mama, hari ni kita nak buat apa ya dekat rumah? Saya bosan lah.” Soalan sebegini boleh mendatangkan keresahan dalam hati ibu atau bapa. Ditambah lagi dengan musim hujan yang boleh dikatakan hampir setiap hari, sebarang aktiviti di luar rumah menjadi terhad. Tak kan lah nak bagi anak-anak bermain gajet atau menonton TV sehari suntuk pula?

Di sinilah perlunya kreativiti para ibu bapa untuk menyediakan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan buat anak – anak.

Semenjak bergelar seorang ibu, hati saya sentiasa kerunsingan. Mungkin perasaan ini datang bersama pakej menjadi seorang ibu. Walaupun saya telah bersalin dengan selamat dan anak saya sihat, saya menemui satu kebimbangan yang baru apabila tempoh cuti bersalin berakhir. Bagaimana harus saya mencari taska yang terbaik untuk anak kesayangan saya?

Dalam kerunsingan itu, saya menyedari bahawa proses mencari taska terbaik untuk anak saya adalah satu usaha yang perlu saya lakukan. Ia memerlukan persiapan yang rapi. Selain dari mempercayai gerak hati saya sebagai seorang ibu, ini lima perkara yang saya rasakan sangat penting dalam proses mencari taska terbaik untuk anak kecil:

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds