fbpx
Category

Didik

Category

Lumrah ibubapa mahu menyediakan semua yang terbaik untuk anak-anak, termasuklah dari segi pendidikan. Alangkah gembiranya jika anak belajar dalam keadaan yang selesa dan mudah memahami apa yang dipelajari. Tidak hairanlah jika ada ibubapa yang sanggup berbelanja lebih dan mendaftarkan anak mereka ke kelas tambahan bagi memastikan anak mendapat sokongan pembelajaran sepenuhnya.

Kebanyakan kelas tambahan masa kini diadakan secara atas talian. Walaupun ia lebih selamat dan mudah, ia juga menyebabkan kesukaran untuk anak memahami subjek yang dipelajari. Dengan pembelajaran atas talian, amat penting untuk anak-anak beradaptasi. Ibubapa pula perlu memantau prestasi dan kemajuan mereka di dalam setiap subjek, termasuklah subjek bahasa asing.

Namun begitu, ibubapa mudah terperangkap dengan kaedah tradisional yang formal dan “serius” dalam memantau kemajuan anak. Tahukah anda, sebenarnya, ada cara yang lebih berorientasikan jiwa anak-anak dan menambah nilai kepada ibubapa?

Di sini, Ketua Pegawai Eksekutif Novakid, Max Azarov dan Pengarah Pengajian, Amy Krolevetskaya ada berkongsi beberapa tips dari pengalaman mereka sendiri:

Tip #1: Pantau kemajuan anak dengan meluangkan masa berkualiti dan belajar bersama mereka

Sikap mahu belajar adalah salah satu elemen pembelajaran positif yang boleh diterapkan di dalam keluarga. Apabila belajar bersama-sama, ia membantu untuk beralih dari cara tradisional dan membuka lebih ruang untuk menjalin hubungan di antara ibubapa dan anak.

“Ibu bapa perlu berubah dari cara tradisional yang memantau kemajuan dan menguji anak mereka. Sebaliknya, ambil bahagian dengan belajar dan menerokai dunia bersama-sama,” kata Max Azarov, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas platform Novakid ESL. Beliau juga adalah seorang bapa kepada 3 orang anak.

Dengan pendekatan ini, pemantauan kemajuan tradisional digantikan dengan minat dan sifat ingin tahu ibubapa mengenai kejayaan anak-anak dan penglibatan secara langsung di dalam proses tersebut. Ibubapa juga dapat belajar banyak perkara daripada anak-anak mereka.

Satu pasukan

Ibubapa boleh bergabung kemahiran dengan anak-anak untuk menjadi sebuah pasukan yang sama-sama memperbaiki diri. Proses pembelajaran juga akan menjadi lebih menyeronokkan. 

Contoh pembelajaran bersama adalah ketika ibubapa dan anak-anak mencuba permainan digital. Secara nalurinya, anak-anak lebih pandai bermain daripada ibubapa mereka. Sebaliknya, ibubapa mungkin lebih reflektif dan kadang-kadang lebih peka mengesan masalah dan perangkap di atas talian.

Proses pembelajaran tidak seharusnya hanya fokus kepada ilmu pengetahuan, malah ia harus mengambil kira pendekatan dan cara pembelajaran yang baru. Merujuk kepada pembelajaran bahasa asing, kurikulum sekolah ibubapa 20-30 tahun yang lalu sangat berbeza dengan format moden yang tersedia untuk ibubapa hari ini. Kini ia adalah sebuah platform digital ESL (English as Second Language) yang berasaskan permainan dan kaedah yang lebih fokus kepada pertuturan.

Tip #2: Cipta ruang selamat supaya anak lebih selesa menjadi diri sendiri dan terbuka untuk berkongsi pengalaman dan menunjukkan emosi mereka.

Anak-anak akan lebih selesa belajar jika ibubapa sentiasa berada dekat dengan mereka. Komunikasi dan kepercayaan berterusan adalah komponen yang sangat penting dalam proses pembelajaran. Tanpa kedua-dua asas utama ini, perselisihan faham dan halangan komunikasi antara anak dan ibubapa mungkin boleh berlaku.

“Ibubapa seringkali bertanya ‘Apa yang kamu belajar di sekolah pada hari ini?’ pada anak-anak. Ini boleh mengelirukan kerana bagi mereka, proses pembelajaran adalah lebih penting daripada hasil. Tanya sama ada mereka berminat dengan matapelajaran itu, dan jika mereka suka, adakah mereka mahu mengetahui dengan lebih mendalam?,” kata Max Azarov.

Banyakkan bertanya soalan dan jadilah lebih kreatif dengan memberikan perhatian kepada emosi dan pengalaman. Minat belajar bukan diukur dengan bilangan subjek yang dipelajari, tetapi melalui sifat ingin tahu dan minat anak-anak.

“Kebanyakan ibubapa terlalu cepat mengajukan soalan berkaitan apa yang mereka ingin tahu. Namun, objektif utama seharusnya ialah untuk mengenali kehidupan seorang anak melalui perspektif yang berbeza. Ia bukan untuk kita menjadi seorang penyiasat. Sebaliknya, anda perlu mendekati anak supaya dia merasa kehadiran anda untuknya. Hubungan positif yang dicipta ini adalah sebuah strategi yang lebih baik. Kenali apa yang anak anda sukai dan cuba masuk ke dunia mereka. Kemudian, cari aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama dan bincangkan mengenainya,” tegas Amy Krolevetskaya.

Tip #3: Berusaha untuk melibatkan diri dalam model pembelajaran digital dan bersikap proaktif sebagai pihak ketiga

Kredit foto : Fasha Sanda

Sama seperti pembelajaran di luar talian, keibubapaan proaktif yang berterusan juga diperlukan dalam e-pembelajaran. Peranan ibubapa tidak boleh terhad kepada “pemerhatian luar” dan “penilaian keputusan” sahaja. 

Dengan itu, platform ESL Novakid telah membangunkan akaun khusus untuk ibubapa bagi membolehkan mereka melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran Bahasa Inggeris anak-anak mereka. 

Ruang komunikasi ini memberikan akses kepada ibubapa untuk:

  • Berkomunikasi dengan guru sekolah
  • Mencari rujukan jadual, kandungan kursus, bonus dan langganan
  • Membaca komen guru berkenaan perkembangan anak dalam setiap kelas
  • Berhubung dengan pihak sokongan sekolah Novakid di dalam ruang chat khusus

Pautan video

Di dalam bahagian “Pencapaian”, anda boleh melihat kemajuan anak anda dalam program kursusnya, topik-topik pembelajaran dan kerja rumah. Perpustakaan digital ini mengandungi buku mewarna, video dan bahan pembelajaran tambahan untuk Bahasa Inggeris.

Novakid menyarankan ibubapa untuk membuat kerja rumah dan bermain permainan pendidikan bersama-sama dengan anak mereka. Berkongsilah pengalaman pembelajaran untuk menjadikan proses ini lebih menyeronokkan, menghiburkan dan berkesan untuk kedua-dua pihak!


Artikel ini disediakan oleh platform ESL Novakid dan telah diadaptasi daripada artikel asal bertajuk “Pembelajaran Bersama dan Komunikasi: Bagaimana Mengikuti Kemajuan Pembelajaran Anak Anda? (diterbitkan pada 20hb Disember 2021). 

Tentang Novakid

Novakid adalah sebuah sekolah bahasa Inggeris dalam talian untuk kanak-kanak yang diasaskan pada tahun 2017 di Silicon Valley (AS) oleh Max Azarov, Dmitry Malin dan Amy Kroveletskaya. Lebih 2,000 orang guru berpengalaman dan profesional mengendalikan kelas Bahasa Inggeris untuk kanak-kanak melalui platform dalam talian interaktif yang telah direkabentuk dengan mematuhi Rangka Kerja Rujukan Eropah (CEFR). Ia dibangunkan dengan mengambil kira minat individu dan umur kanak-kanak. Novakid menggunakan teknologi gamifikasi dan VR untuk mewujudkan persekitaran berbahasa Inggeris dan membantu kanak-kanak di seluruh dunia mempelajari bahasa Inggeris dengan cara yang lebih menyeronokkan dan menarik. Kaedah penilaian kemajuan Novakid yang unik (dengan lebih 1500 parameter, ujian A/B dan komponen lain pendekatan berpandukan data) memastikan hasil yang hebat dan membolehkan guru menyesuaikan program dengan keperluan dan minat individu setiap kanak-kanak. 

Novakid kini menawarkan 1x kelas percubaan percuma untuk murid baru. Daftar di sini.

 

Kita kini hidup di dalam era inovasi, kemajuan dan teknologi. Kemahiran yang dahulunya penting kebanyakannya tidak lagi relevan dan sudah lapuk ditelan zaman. Anak-anak yang lahir pada abad ke-21 seharusnya memiliki pelbagai set kemahiran baru untuk berjaya di masa hadapan. Kemahiran-kemahiran ini mungkin juga pernah dilihat sebagai tidak penting, namun kini ia menjadi satu keperluan. Kebanyakan dari kemahiran ini tidak boleh “diajar” , sebaliknya ia perlu dipupuk dari kecil.

Jangan risau! Ia bukanlah sesuatu yang sukar. Di sini kami senaraikan enam kemahiran penting yang perlu dikuasai setiap anak abad ke21, termasuklah cara mudah untuk ia dipupuk dari rumah.

1. Pemikiran kritis

Sumber: Novakid

Dalam era informasi yang terlampau banyak, anak-anak memerlukan alatan atau kaedah yang boleh membantu mereka menilai informasi melalui pemikiran kritis. Anda boleh mula memupuk kemahiran ini supaya mereka akan lebih pandai menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan bijak.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Fokus kepada “Kenapa” dan “Bagaimana”: Apabila anak memahami “mengapa” sesuatu perkara berlaku, ia mengajar mereka menerima dan memahami dengan lebih mendalam. Teruskan proses berfikir itu dengan bertanya “Bagaimana anda tahu?”. Dengan cara ini, mereka belajar mengumpulkan bukti untuk menyokong pendapat atau idea mereka. Galakkan mereka untuk berfikir dari pelbagai sudut dan perspektif, dan ajar mereka untuk menghormati kepelbagaiannya. Sentiasa galakkan anak-anak memikirkan penyelesaian kepada sesuatu masalah yang melanda.
  • Galakkan bertanya soalan: Ibubapa yang mempunyai anak kecil mungkin sudah terbiasa dengan pelbagai soalan yang diajukan, seolah-olah kita adalah sebuah ensiklopedia 24 jam! Namun begitu, cuba bersabar dan ingat bahawa sifat ingin tahu ini adalah kunci utama pemikiran kritis.
  • Kurangkan sifat “spoonfeeding”: Ya, lumrah ibubapa untuk sentiasa menyelamatkan anak-anak kesayangan. Namun begitu, cuba bertahan dari terlalu cepat memberikan solusi atau jawapan. Beri mereka masa untuk berfikir dan menilai, supaya mereka belajar mendapatkan jawapan atau penyelesaian kepada masalah.

2. Komunikasi

Sumber: Nadia Johari

Anak-anak perlu belajar menguasai kemahiran berkomunikasi dengan efektif, supaya mereka dapat membina hubungan sosial yang bermakna. Dalam era globalisasi ini, penguasaan Bahasa Inggeris perlu dimulakan sedari kecil kerana ia adalah bahasa yang global.

Program imersif seperti kelas-kelas online di Novakid yang khusus untuk anak berumur 4-12 tahun boleh membantu mereka belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan membina asas kepada literasi. Kelas ini dibuat berdasarkan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), di mana setiap kelas berdurasi selama 25 minit. Bahan mengajar di dalam kelas virtual ini adalah sangat menarik dan mengujakan, dan para guru berbahasa Inggeris sangat pandai menarik perhatian para pelajar.

Apa kata cuba lakukan aktiviti-aktiviti literasi ini di rumah:

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Bermain: Permainan berunsurkan literasi boleh dimain bersama-sama ahli keluarga. Sambil itu, anak-anak boleh belajar mengenali perkataan, ejaan dan bunyi huruf.
  • Bermain “role play” atau berlakon: Galakkan anak bermain “role play” dan bereksperimen dengan pelbagai watak. Sediakan alatan mainan yang kena dengan tema menggunakan bahan mudah dan biarkan anak-anak berimaginasi!
  • Berbual dan bercerita: Cuba berbual dengan anak-anak dengan lebih kerap dan berikan masa kepada mereka untuk memberikan respons kepada jawapan yang ditanya.

3. Kreativiti

Sumber: Unsplash

Rekaan dan inovasi yang memudahkan hidup kita sekarang dahulunya bermula sebagai sebuah imaginasi dan hasil dari kreativiti seseorang. Ekonomi dan masyarakat moden dipacu oleh mereka yang mempunyai imaginasi yang tinggi. Untuk seseorang individu, kreativiti memperbaiki kemampuan intelektual, keupayaan mental dan kemahiran sosial.

Gunakan topik yang meluas di dalam perbualan dengan anak-anak, dan biarkan mereka menerokai topik yang diminati. Jika anda tidak pasti di mana untuk bermula, program pertuturan intensif bersama Novakid boleh memupuk kreativiti dan meningkatkan keyakinan dan daya pertuturan mereka dalam Bahasa Inggeris. Pakar bahasa sendiri akan memberikan sokongan kepada ibubapa untuk melakukan aktiviti ini di rumah.

Program Time2Talk dan Virtual Explorer akan mempersiapkan bakal pemidato anda untuk bercakap mengenai berbagai topik yang menarik seperti seni, muzik, kemanusiaan, dunia moden dan purba, alam sekitar dan banyak lagi!

Di sini ada banyak lagi cara untuk menggalakkan kreativiti dalam diri anak-anak:

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Sediakan permainan subjektif atau “open-ended”: Beli permainan yang tahan lama dan klasik seperti Lego, bongkah kayu dan jubin magnetik. Permainan seperti ini memberikan peluang untuk anak berimaginasi dan belajar menyelesaikan masalah.
  • Apresiasi seni: Sediakan persekitaran yang kaya dengan hasil seni, muzik dan lakonan untuk memberikan inspirasi kreatif kepada anak. Nyanyi bersama anak-anak kecil dan biarkan mereka menyanyi dengan lirik sendiri bertemakan perkara kegemaran mereka seperti makanan, haiwan kesayangan atau kacamata nenek! Lupakan kit seni yang memerlukan langkah spesifik dan gantikan dengan aktiviti yang lebih fokus kepada proses seni itu sendiri.
  • Tanya “Bagaimana jika?”: Soalan ini boleh menggalakkan mereka berfikir tentang kemungkinan. Ini juga membantu mereka menjadi lebih kreatif.

4. Kewarganegaraan Digital

Sumber: Lea Azleeya 

Ah, kita semua sukakan Internet! Dengan teknologi moden yang akan kekal selamanya di sini, amatlah penting untuk anak-anak menguasai kemahiran digital untuk berkomunikasi secara lebih efektif dengan orang lain di seluruh dunia. Selain belajar selok belok dunia digital, mereka juga perlu tahu tentang keselamatan atas talian, sekuriti cyber dan kesihatan digital beserta tanggungjawabnya.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Gunakan kaedah pembelajaran beradun: Jangan hentikan kelas online kerana ia boleh memberikan pembelajaran yang berstruktur, dikawalselia dan lebih mudah untuk membina sifat kewarganegaraan digital. Kita semua pun tahu bahawa kelas online mempunyai kebaikannya tersendiri, seperti tidak perlu bergegas di waktu pagi dan memberi ruang kepada pelajar untuk belajar dengan rentak sendiri.
  • Belajar etika digital: Memang mudah untuk mengabaikan emosi apabila berkomunikasi secara virtual. Namun begitu, ajar anak untuk berfikir sejenak: “Adakah anda akan mengatakan benda yang sama sekiranya kawan anda berada di sebelah anda?”
  • Gunakan sumber atas talian: Gunakan teknologi untuk mengajar kemahiran utama ini. Cuba lihat bahan pembelajaran Kewarganegaraan Digital di laman Common Sense Media ini untuk membantu anda bermula mengajar di rumah. Ia percuma saja!

5. Pembelajaran Sosial dan Emosi

Sumber: TeachHUB

Ini adalah kemahiran penting supaya anak-anak dapat membesar dengan kesihatan yang menyeluruh. Kita semua tahu bahwah kesihatan mental dan kegembiraan adalah berkait rapat. Keupayaan untuk menguruskan emosi dan membina hubungan positif amat penting untuk berjaya di dalam semua aspek kehidupan, buat masa sekarang dan masa hadapan.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Mulakan jurnal kesyukuran: Jangan berhenti setakat mengatakan “terima kasih” sahaja. Sifat bersyukur dan berterima kasih boleh dipupuk dengan lebih mendalam melalui tulisan di dalam jurnal kesyukuran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran menulis dan literasi , dan juga ruang untuk mengekspresikan diri.
  • Amalkan setiap hari: Permainan berunsurkan pembelajaran sosial dan emosi boleh diadaptasi di dalam rutin seharian. Idea-idea di sini sangat menarik dan menyeronokkan!
  • Pupuk sifat yakin diri: Ada banyak cara untuk memupuk keyakinan diri, termasuklah memberikan tanggungjawab kepada anak, memberikan maklum balas yang seimbang dan memberi peluang kepada anak membuat keputusan berkaitan perkara yang sesuai dengan umurnya.

6. Kesedaran badan

Sumber: Unsplash

Kesedaran badan merangkumi kesedaran ruang, kemahiran motor dan aktiviti fizikal dan kesihatan menyeluruh. Ini semua juga sangat penting kerana dunia moden ini cabaran besar oleh teknologi, pembangunan bandar dan perubahan gaya hidup.

Selain itu, aspek kesedaran badan yang juga sangat penting ialah memahami konsep persetujuan dan sempadan badan. Kita perlu memperkasakan anak-anak dengan pengetahuan ini supaya mereka dapat melindungi diri dari perkara buruk seperti gangguan seksual. Anak-anak perlu tahu bahawa mereka mempunyai hak dan harus dihormati.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Permainan fizikal: Ada banyak cara untuk bermain secara fizikal supaya anak dapat menguatkan kemahiran motor dan kesedaran badan. Cuba permainan seperti Simon Says, atau permainan berhalangan. Ibubapa boleh juga mengajak anak bermain aktiviti luar.
  • Biasakan meminta izin: Jangan paksa anak untuk mencium atau memeluk seseorang tanpa kerelaan mereka. Ajar mereka cara lain untuk menunjukkan hormat. Anak-anak perlu tahu bahawa tubuh hanya milik mereka sendiri, dan semua orang mempunyai sempadan badan yang perlu dihormati. Perbuatan meminta izin ini perlu sentiasa diamalkan. Biasakan anak-anak supaya ia menjadi sebahagian dari amalan hidup mereka.

Semoga anak-anak abad ke-21 kita selamat dan berjaya! #makchicmumtribe. Masa hadapan cerah menanti mereka!


Ini adalah artikel biayaan Novakid.

Jika anda sedang mencari cara mudah dan efektif untuk mempersiapkan anak anda dengan 6 kemahiran penting abad ke-21, Novakid boleh membantu. Kurikulum Bahasa Inggerisnya direka khas oleh pakar pembelajaran jarak jauh yang memberikan kualiti dan pengalaman pembelajaran individu yang menyeronokkan. Ia sesuai untuk anak berumur 4-12 tahun.

Novakid kini menawarkan harga promosi RM99 untuk 4 kelas pertama. Daftar di sini.

 

LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd), penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan pertama di Malaysia dan sebuah syarikat perusahaan sosial, telah melancarkan e-buku ‘Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak’ Edisi Bahasa Melayu. E-buku ini mengandungi naratif yang mudah difahami serta dilengkapi dengan ilustrasi untuk pembacaan yang menarik. Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak Malaysia tentang wabak COVID-19 ketika ini, LeapEd diberi penghormatan eksklusif untuk menterjemahkan e-buku ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengubah cara kanak-kanak belajar dan juga cara pendidik mengajar.

E-buku ini pada mulanya diterbitkan di United Kingdom (UK) oleh Nosy Crow, penerbit buku kanak-kanak bebas yang memenangi anugerah dan diilustrasikan oleh Axel Scheffler, ilustrator yang terkenal di peringkat antarabangsa melalui ilustrasi ‘The Gruffalo’. Sejak dilancarkan di UK pada April tahun ini, e-buku tersebut telah dimuat turun lebih daripada sejuta kali, dan boleh didapati dalam lebih daripada 60 bahasa.

E-buku ini boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan muat turun di sini. 

Panduan Membaca e-buku Coronavirus

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, LeapEd telah menyokong para pelajar, guru-guru, pemimpin di sekolah dan ibu bapa dalam mengadaptasikan diri mereka untuk berdepan dengan pelbagai perubahan dalam menangani pandemik wabak Covid-19 serta pertukaran pembelajaran daripada bilik darjah kepada pembelajaran secara maya. 

LeapEd juga telah menyediakan Panduan Membaca langkah demi langkah bagi membantu ibu bapa menggunakan buku ini dengan lebih berkesan. Panduan Membaca tersebut merangkumi cadangan cara membaca e-buku ini, bagaimana memulakan perbualan dengan anak-anak, soalan mengenai virus dan pandemik tersebut serta mendorong anak-anak untuk merenungkan keadaan semasa dan langkah-langkah seterusnya yang boleh mereka praktikkan dengan segera. Terdapat juga versi “Read Aloud” yang disampaikan oleh Azalia Suhaimi, penyair Malaysia yang terkenal dengan kaedah menggabungkan fotografi dan puisi.  

Video ini boleh ditonton di sini.

Apakah yang berlaku sekiranya kita dijangkiti Coronavirus?

E-buku ini menerangkan bagaimana sesetengah orang, terutamanya kanak-kanak, tidak mempunyai gejala apabila dijangkiti oleh koronavirus. Mereka yang tiada bergejala adalah pembawa virus ini dalam badan dan boleh menyebarkannya kepada orang lain secara tidak sengaja.

Kebanyakan orang yang dijangkiti koronavirus melalui saluran pernafasan mengalami gejala seperti batuk, demam panas dan kesukaran bernafas selama beberapa hari. Namun disebabkan tubuh badan kita diciptakan secara menakjubkan, sistem imuniti tubuh badan kita juga dilengkapi oleh antibodi yang dapat mengesan virus baharu seperti koronavirus sebagai bendasing dan mula menyerang virus tersebut secara semulajadi. Antibodi badan kita yang kuat merupakan senjata yang terhasil daripada sel kecil dalam darah untuk melawan virus. Setelah antibodi melawan virus tersebut, sel darah akan menelan serta memusnahkannya dan pesakit akan mula berasa sembuh.

E-buku ini juga menerangkan kepada kanak-kanak bagaimana para pakar perubatan, doktor serta para saintis di seluruh dunia juga sedang sedaya upaya mencari penyelesaian untuk menghasilkan vaksin bagi mengubati penyakit berjangkit koronavirus ini dengan cepat dan selamat.

Dengan berbekalkan ubat-ubatan dan teknologi perubatan yang sedia ada, para doktor di seluruh dunia sedang cuba merawat dan membantu pesakit. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti koronavirus akan sembuh dengan sendirinya. Setakat ini, tiada rawatan atau ubat khusus untuk menyembuhkan coronavirus kerana ia adalah penyakit yang baharu. 

Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu?

Antara tip-tip yang mudah diikuti dan praktikal bagi kanak-kanak mahupun dewasa untuk menjaga diri daripada dijangkiti koronavirus adalah:

  1. Memakai pelitup muka

Pentingnya memakai pelitup muka 3-ply yang baik dan berkualiti yang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh WHO apabila keluar dari rumah dan berada di tempat awam. Ia dapat melindungi diri kita daripada mendapat jangkitan koronavirus melalui saluran pernafasan secara langsung.  Sekiranya diri kita mempunyai gejala koronavirus, kita perlu memakai pelitup muka dan mendapatkan rawatan yang secepat dan seawal yang mungkin juga dapat membendung pernularan korovirus daripada menjangkiti orang lain di sekeliling kita.

        2. Membasuh tangan dengan kerap dan betul

Penjelasan ini mudah difahami bagaimana koronavirus boleh disingkirkan dari tangan kita. Ia memupuk kesedaran di kalangan kanak-kanak akan pentingnya menggunakan sabun dan membilas tangan dengan air apabila membasuh tangan dengan kerap dan betul. Kita boleh menyanyikan lagu – ‘Selamat Hari Jadi’ sebanyak dua kali sambil mencuci tangan sehingga bersih. Penggunaan `hand sanitiser’ juga boleh digunakan sekiranya tiada sabun dan air yang mencukupi semasa kita berada di luar rumah.

  1. Jaga diri dengan mengamalkan penjarakan sosial

Dengan mengamalkan penjarakan sosial apabila berada di luar rumah dan di tempat awam seperti di sekolah, tempat permainan, di pusat membeli belah dan sebagainya, kanak-kanak dapat mengelakkan diri mereka daripada berhubung rapat dengan orang di sekelilingnya. Mereka juga boleh menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.

Ia merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dengan menyediakan platfom bacaan yang baik dan panduan yang ringkas lagi praktikal yang boleh digunakan oleh setiap ahli masyarakat di dunia, terutamanya ibu-bapa, penjaga, ahli keluarga, para guru dan pemimpin komuniti setempat untuk membantu sesama kita di kala masa yang memerlukan ini. 

Kita menyedari betapa besarnya impak golongan kanak-kanak ini boleh lakukan sekiranya mereka memilih untuk menolong seseorang yang memerlukan.  Dengan mengamati “knowledge is power” (ilmu pengetahuan adalah satu kuasa), kita patut menyedari bahawa tiada seorang pun di antara golongan masyarakat akan terpinggir, malah kita perlu berusaha untuk membantu bersama-sama dengan rasa empati, ihsan, dan penuh kebaikan. #kitajagakita

 

Semua imej diambil dari e-buku Coronavirus

Sifat berkongsi tidak datang dengan fitrah, ia lebih kepada sesuatu yang kita belajar apabila kita meningkat dewasa. Jadi, kita perlu mendidik anak-anak untuk belajar berkongsi. Dengan belajar berkongsi, anak akan membesar menjadi manusia yang tidak mementingkan diri sendiri dan memahami nilai murni ini.

Mungkin lebih senang berbicara dari melakukannya, jadi kami faham kesukaran untuk mendidik ketika mereka sedang berebut permainan atau makanan. Kadangkala mereka berebut sesuatu yang tak masuk akal pun!

Di sini kami kongsikan beberapa tip untuk membantu anda. Selamat mencuba!

Pilih masa & umur yang sesuai

Sebelum berumur 6 tahun, kebanyakan kanak-kanak tidak memahami konsep menjaga hati dan perasaan orang lain. Namun, kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas boleh mula memahami konsep berkongsi, jadi mungkin umur 3 tahun adalah umur terbaik untuk mula mendidik mereka mengenai sifat ikhlas dan memberi.

Jangan paksa mereka berkongsi

Jangan sesekali memaksa anak berkongsi barangan mereka kerana kita mungkin tak faham betapa bermakna barang tersebut kepada mereka. Kepada kita ia mungkin hanya permainan, tetapi bagi anak ia mungkin segala-galanya. Jadi, bina persekitaran yang menggalakkan mereka berkongsi dan sentiasa beri dorongan dan galakan.

Jadikan berkongsi sesuatu yang menyeronokkan

Seperti orang dewasa, kanak-kanak sukakan aktiviti yang menyeronokkan. Tanamkan nilai murni berkongsi di dalam aktiviti seperti bermain Lego bersama atau membuat kek bersama-sama. Sedar tak sedar, mereka sudah mula belajar mengenai kebaikan berkongsi.

Sentiasa berkomunikasi

Komunikasi adalah kunci kepada hubungan yang berjaya, jadi sentiasa berkomunikasi dengan anak anda tentang kepentingan berkongsi. Cuba terangkan kepada mereka dengan sempurna, berikan penerangan kepada kekeliruan mereka dan bina persepsi yang baik terhadap sifat berkongsi.

Pembahagian masa

Gunakan pemasa jika anda ada lebih dari seorang anak yang mahu bermain permainan video. Belajar menunggu giliran juga adalah sesuatu yang penting untuk dipelajari. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka mengenai keadilan dan mematuhi peraturan.

Jadi contoh yang baik

Kanak-kanak belajar melalui tauladan, jadi cara terbaik ialah dengan menjadi contoh kepada mereka. Ajak mereka berkongsi barangan kita sendiri, seperti bola yoga dan tanya jika mereka boleh kongsi permainan mereka dengan kita. Jadi contoh yang baik dan praktikkan apa yang kita ajar kepada mereka.

 

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina


 

Tahun lepas, para peminat muzik K-Pop dikejutkan dengan pemergian Sulli, salah seorang bekas ahli kumpulan muzik Korea Selatan popular, f(x). Khabarnya penyanyi muda itu akhirnya membunuh diri kerana tidak tahan dengan pembulian siber yang berlaku terhadapnya.

Di Malaysia, ada juga beberapa kes kematian berkaitan pembulian siber, seperti Jerusha SanjeeviT. Nhaveen dan Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Penggunaan gadget di kalangan ahli keluarga dewasa ini memberi impak yang negatif kepada komunikasi sesama ahli keluarga. Contohnya, apabila cuti sekolah, anak-anak yang besar berada di dalam bilik dengan telefon pintar masing-masing, manakala yang tidak mempunyai telefon melayari You Tube atau bermain game di tab atau computer.  Semuanya sibuk dengan gadget sendiri sehingga lupa bahawa komunikasi bersama mereka yang ada di rumah tu amatlah penting.

Pada ketika inilah, ibu dan bapa memainkan peranan dalam mewujudkan komunikasi di antara anggota keluarga. Ibu bapa terutamanya perlu bijak berkomunikasi dalam keluarga.

Komunikasi adalah sesuatu yang harus dididik dalam diri dan seterusnya  diberi kesedaran kepada anak-anak dari awal. Cara berinteraksi sesama ahli keluarga perlu dititikberatkan, kerana anak-anak belajar berkomunikasi dengan memerhatikan cara ibubapa berinteraksi di dalam keluarga. Jadi, ibubapa perlu menjadi role model yang baik.

Berikut adalah 7 tips berkomunikasi secara positif dalam keluarga.

1) Belajar menjadi pendengar yang baik

Beri sepenuh perhatian ketika ahli keluarga sedang bercakap. Pandang ke arah wajah orang yang sedang bercakap dengan kita. Jaga hak ahli keluarga dalam berkomunikasi, hormati setiap perkataan dan luahan mereka. Penghargaan yang kita berikan dapat menimbulkan kepercayaan dan mengeratkan hubungan.

2) Berkomunikasi dari hati

Didik hati supaya dapat berkomunikasi dengan baik bila bercakap dengan ahli keluarga. Bila bercakap, niat untuk tinggalkan kesan yang baik. Latih diri untuk bertutur perkataan yang mudah tetapi meninggalkan impak yang hebat. Bila ia datang dari hati yang baik, perkataan yang keluar di mulut juga baik.

3) Gunakan komponen komunikasi dengan baik

Gunakan komponen komunikasi iaitu gaya percakapan, bahasa isyarat, sikap dan bahasa tubuh dengan betul. Suara memainkan peranan penting apabila berkomunikasi. Gunakan suara yang rendah, tenang dan jelas saat berbicara dengan anak-anak supaya mesej sampai kepada anak.

Gaya percakapan ini memberi kita lebih autoriti dan senang untuk influence anak. Tidak perlu menjerit dan meninggikan suara kerana perlakuan tersebut akan membuatkan anak menjauh dari kita.

Apabila kita berkomunikasi, ia adalah refleksi dari dalam diri kita. Latih diri untuk menyampaikan mesej secara beradab. Fikir perasaan orang lain sebelum mengeluarkan kata-kata. Sampaikan fakta dan hakikat yang benar dengan baik dan berhemah dengan syarat tidak memalukan orang lain.

4) Tidak memotong percakapan

Jangan memotong percakapan ahli keluarga yang sedang bercakap dengan pertanyaan demi pertanyaan. Biarkan mereka selesaikan ucapan mereka. Ini juga sebagai latihan untuk menghormati dan menghargai orang lain yang sedang bercakap.

5) Elakkan menghakimi orang yang sedang bercakap

Jangan merendahkan atau menghakimi anak-anak yang sedang bercakap. Perbuatan kita akan membuat anak merasa rendah diri dan berhenti mencurahkan isi hatinya. Anak pula akan melakukan hal yang sama terhadap orang lain ketika mereka berbicara. Orang yang suka menghakimi orang lain sebenarnya adalah mereka yang tidak yakin dengan diri sendiri. Elakkan dari bersikap sedemikian.

6) Berikan motivasi dan ilmu

Ketika masuk usia remaja, anak-anak perlukan perhatian yang lebih. Anak-anak pasti berhadapan dengan konflik personal apabila berada di luar rumah. Ibu bapa seharusnya menjadi tempat berbincang dan tempat mengadu untuk anak-anak. Fahami situasi anak, beri motivasi dan pesanan baik dan positif untuk mereka.

7) Wariskan cara komunikasi yang baik kepada anak-anak

Anak-anak suka meniru cara ibu bapa bertutur, jadi kita perlu menjadi contoh positif dan baik untuk ditiru oleh anak-anak. Baik dari cara menghargai orang lain, cara bertindak, cara berbicara yang baik hingga menerapkan akhlak dan nilai keagamaan dalam diri anak-anak, jangan hanya menyuruh tanpa memberi teladan.

Komunikasi itu penting dalam keluarga untuk memastikan hubungan terjalin dengan baik. Berkomunikasilah dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Jaga tutur kata dan ubah percakapan akan menjadikan keluarga saling memahami dan harmoni. Biasakan guna 3 perkataan ini iaitu salam, sorry dan thank you dalam berkomunikasi, nescaya diri kita akan lebih dihargai dan dihormati.

Berjauhan dengan anak bukanlah perkara mudah untuk dilakukan oleh ibu bapa. Ada ibubapa yang terpaksa tinggal berasingan dengan anak-anak kerana mencari rezeki. Ada juga yang terpaksa meninggalkan anak-anak buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti bertugas di luar kawasan. Ada pula yang berjauhan kerana anak-anak bersekolah di asrama atau mendapat tawaran sambung belajar.

Persediaan mental dan fizikal dari kedua belah pihak ibu bapa dan anak-anak amatlah penting apabila telah ada persetujuan untuk tinggal berjauhan.Walaupun pada awalnya perubahan suasana ini akan menimbulkan perasaan bimbang dalam diri ibubapa, lama kelamaan ianya akan dapat diatasi. Belajar dari pengalaman sendiri, di sini saya kongsikan 5 persiapan yang boleh dibuat apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

1) Berfikiran positif

Perkara yang paling utama, pastikan kita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik. Fikiran positif akan menarik perkara-perkara yang baik dalam kehidupan kita. Janganlah terlalu risau dengan perkara yang bakal terjadi atau belum terjadi. Apa yang kita fikir, apa yang kita ucap dan apa yang kita rasa di dalam hati, semuanya adalah doa. Hadirkan doa-doa yang baik apabila perlu berjauhan dengan anak-anak.

2) Tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan dipercayai, di dalam persekitaran yang selamat

Jadilah ibubapa yang bijak dan hanya tinggalkan anak untuk tempoh yang lama kepada orang yang dikenali dan dipercayai sahaja. Pastikan penjaga yang dipilih adalah dari kalangan keluarga yang rapat dan anak-anak sudah biasa dan selesa bersama mereka.

Sekiranya berjauhan dengan anak-anak yang sudah dewasa, ia tidak menjadi masalah yang besar. Ibu bapa boleh membuat senarai tugasan untuk anak-anak. Ibu bapa boleh menghubungi anak-anak untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Tetapi, jika anak-anak masih kecil dan tidak pandai mengurus diri, ibu bapa terpaksa bergantung harap kepada penjaga. Pastikan penjaga tahu apa keperluan anak-anak. Senaraikan nombor-nombor telefon penting yang boleh dihubungi apabila berlaku kecemasan dan tampalkan ditempat yang mudah dilihat.

Jika anak-anak berada di asrama, pastikan ibu bapa ada nombor telefon warden yang berkenaan dalam simpanan untuk mudah dihubungi.

3) Perbelanjaan yang cukup

Kewangan adalah antara perkara yang mesti diberi perhatian apabila perlu berjauhan dengan anak. Sediakan perbelanjaan secukupnya untuk anak yang tinggal berasingan seperti di asrama atau yang ditinggalkan untuk bekerja ke luar kawasan. Pastikan juga ada wang yang disimpan berasingan untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti anak sakit atau sebagainya.

4) Sentiasa berhubung

Komunikasi sangat penting apabila berjauhan. Dengan adanya teknologi komunikasi, tiada alasan untuk tidak memanfaatkan kemajuan dan kecanggihan berhubung menerusi telefon, WhatsApp, video call dan sebagainya. Ibu bapa akan memperoleh informasi tentang anak-anak dengan cepat dan pantas.  Sentiasalah berhubung dengan anak-anak dan penjaga mereka.

Sentiasa juga pantau pergerakan anak-anak. Walaupun kita tiada di sisi mereka, itu tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati. Sentiasa juga pesan kepada anak yang berada di sekolah berasrama untuk menelefon ibu bapa. Perhatian yang ibu bapa berikan akan dapat mengeratkan kasih sayang dengan anak-anak walaupun berjauhan.

5) Doa dan tawakal

Saban hari kita disajikan dengan pelbagai berita tentang kejadian, bunuh, buli, dera, hilang dan yang paling terbaru berita cubaan membunuh diri seawal usia 13 tahun hanya kerana cinta ditolak rakan sebaya. Hakikatnya, pada alaf baru ini, faktor persekitaran, media dan rakan sebaya banyak mempengaruhi perilaku anak-anak. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila ibu bapa terpaksa berjauhan dengan anak-anak. Walaupun perhubungan menjadi mudah dengan adanya telefon pintar, perasaan risau masih terbuku di dada selagi anak tidak berada di hadapan mata.

Setelah melakukan persiapan yang terbaik untuk mengatur kehidupan apabila berjauhan dengan anak-anak, sandarkan sepenuh pengharapan kepada yang Maha Berkuasa untuk melindungi anak-anak kita. Setiap usaha yang dimulakan dengan berbekalkan pengharapan harus disertakan dengan tawakal kepadaNya. Sentiasa berdoa supaya anak-anak kuat, sabar dan terhindar daripada gejala sosial dan perkara yang tidak diingini.

Pengorbanan untuk berjauhan pasti akan memberi erti dan manfaat dalam kehidupan. Berjauhan dengan ibu bapa dapat melatih anak-anak belajar hidup berdikari dan belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Di dalam masyarakat kita, sudah menjadi kebiasaan membuat persiapan yang meriah untuk menyambut Aidilfitri. Anak-anak sangat seronok menanti sambutannya kerana merasai kemeriahannya setiap tahun. Tetapi tidak ramai membuat perkara yang sama untuk menyambut Ramadan.

Jadi bagaimana anak-anak nak merasa seronok berpuasa apabila Ramadan tiba dan seterusnya merasai nikmat Ramadan itu sendiri?

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds