Kategori

Deko & Kraf

Kategori

Persediaan bilik khas untuk anak-anak tentunya menjadi aktiviti yang paling menyeronokkan untuk ibubapa yang berminat dengan dekorasi kediaman.

Di era informasi ini, pelbagai tema dan inspirasi boleh didapati dari Internet atau media sosial yang boleh menyuntik ilham dekorasi untuk kamar anak kesayangan.

Kredit foto: @tomarjemaeli di Instagram

Ada yang berminat dengan dekorasi comel dan sesuai dengan gender anak, seperti warna-warna merah jambu dan pastel untuk anak perempuan, dan warna-warna biru dan terang untuk anak lelaki.

Namun, ramai juga yang mula meminati hiasan kamar anak yang lebih “gender-neutral”. Tema Scandinavian atau minimalis juga semakin mendapat tempat di dalam hati ibubapa, dan ada juga yang sukakan tema “rustic” dan “ DIY” di mana mereka lebih sukakan hiasan dan perabot yang mempunyai personaliti yang tersendiri.

Untuk membantu ibubapa menghasilkan dekorasi “gender-neutral” untuk anak mereka, di sini kami kongsikan 5 tips yang berguna:

1. Pilih tema berinspirasikan alam

Tema yang berinspirasikan alam lebih mudah untuk diolah, dan hakikatnya ia juga tiada sempadan. Sebagai contoh, tema safari, musim bunga, kehijauan tropika atau keindahan lautan boleh memberikan ilham palet warna, ikon-ikon haiwan comel yang boleh dilukis di dinding sebagai mural atau hiasan patung kesayangan dan juga elemen alam yang boleh diolah dalam bentuk tekstur dan corak.

Hiasan dinding bertemakan safari. Kredit foto: @thecrownprints di Instagram

2. Eksperimen dengan warna

Beranikan diri bereksperimen dengan palet warna, seperti gabungan warna-warna neutral dengan satu warna yang terang. Atau, pilih satu palet warna terang berwarna-warni yang juga boleh membantu merangsang daya pemikiran anak. Ada yang berani mencuba dengan warna hitam, namun setelah perabot diletakkan, kamar itu menjadi sangat menarik untuk didiami.

Sentuhan warna-warna terang yang sesuai untuk anak kecil. Kredit foto : @kinderoo_interiors di Instagram

3. Gunakan perabot yang membesar bersama anak

Di dalam memilih perabot, cuba gunakan perabot yang lebih pintar dan boleh membesar bersama anak. Sebagai contoh, meja kerja PAHL dari IKEA yang boleh diselaraskan mengikut ketinggian anak ini boleh digunakan dari anak kecil sehingga  remaja.

Warna “monochrome” atau hitam putih adalah pilihan paling mudah disesuaikan dengan apa sahaja tema. Kredit foto: @umm_ammar_yusuf di Instagram

Pilih warna perabot yang lebih neutral seperti kayu, putih atau kelabu supaya ia senang disesuaikan dengan citarasa dan umur anak anda. Warna-warna neutral juga senang diberi nafas baru dengan proses DIY seperti mengecat atau “distress” jika tema bertukar satu hari nanti.

 4. Bermain dengan tekstur

Tekstur memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan gaya dekorasi yang dikehendaki. Contohnya, penggunaan permaidani yang diperbuat dari material semulajadi seperti “jute” memberikan efek rustik kepada bilik.

Kredit foto: @yuzminmakes di Instagram

Hiasan dinding “tapestry” yang boleh ditempah atau dibuat sendiri memberikan satu keunikan pada dinding, selain daripada dihias dengan bingkai gambar sahaja.

Bakul dan kerusi bertekstur memberikan sentuhan alam semulajadi kepada kamar anak. Kredit foto : @blogsachi di Instagram

5. Sediakan ruang untuk personaliti anak

Jangan lupa sediakan satu ruang untuk anak anda mengekspresikan diri, seperti ruang dinding untuk hasil lukisan atau ruang pameran kecil untuk mereka menyerlahkan minat mereka seperti muzik, sains dan sebagainya.

Kredit foto: @smartplayrooms di Instagram

Tema “gender-neutral” boleh digunakan untuk mengetengahkan personaliti anak kerana ia tidak ditenggelami dengan stereotaip warna. Gunakan peluang ini untuk anak anda rasa lebih dihargai kerana keunikan dan personalitinya yang tersendiri.

Kredit foto : www.houzz.com