fbpx

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina


 

Pengarang

Umirra adalah ibu kepada dua orang puteri. Selain gemar berangan menjelajah dunia secara solo, dia menulis untuk berkongsi pengalaman dan berharap penulisannya dapat dijadikan panduan serta hiburan buat pembaca.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds