fbpx
Category

Hamil

Category

Anda meneliti Instagram itu berkali-kali. Bagaimana dia dapat mengembalikan bentuk badan dengan sebegitu cepat selepas melahirkan? Tidak cukup tidur dan keadaan puting susu yang luka atau melecet menjadikan sukar untuk mana-mana ibu berasa benar-benar sihat (dan gembira) selepas melahirkan. Gambar-gambar cantik di media sosial sang selebriti pula tidak menjadikan semua ini semakin mudah!

Kami mencabar mitos ‘bouncing back’ atau segera pulih selepas melahirkan dan berkongsi petua untuk kembali bersemangat dan ceria dengan selamat.

1. Berhenti membandingkan diri anda.

Kami tahu. Memang sukar untuk anda melihat cermin dan mengharapkan bentuk badan anda kembali! Tetapi jangan lupa. Tubuh kita boleh beradaptasi untuk disesuaikan dengan kandungan yang semakin membesar selama 9 bulan lamanya, dan sudah tentu tubuh yang sama boleh berubah di masa hadapan. Apa yang penting buat masa sekarang adalah anda perlu memberi tumpuan terhadap pemulihan selepas bersalin.

Ingat: berhenti membandingkan diri anda. Kebanyakan kandungan yang anda lihat di media sosial telah dirancang dengan sempurna. Selalunya, ibu-ibu yang sering anda bandingkan dengan diri anda mempunyai sepasukan pakar gaya dan tata rias yang sedia berkhidmat untuk memastikan mereka kelihatan sebegitu!

Jangan berikan satu angka yang tidak realistik untuk menghilangkan berat badan dengan cepat. Tetapi, berikan tumpuan kepada norma baharu dan berikan semangat kepada diri sendiri bagi setiap perkembangan kecil (tetapi penting) yang dicapai.

2. Luangkan masa untuk penjagaan diri.

Mungkin sukar untuk memberi tumpuan kepada diri sendiri sambil menjaga nyawa baru di samping anda. Tetapi jangan lupa, kesejahteraan anda juga penting, mama! Perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk bayi anda adalah untuk memastikan keadaan fizikal, mental dan emosi anda berada di tahap yang bagus.

Antara perkara penting yang perlu diingati:

  • Berkata ya.

Ramai ibu yang baru bersalin berasa sukar untuk meminta bantuan, terutamanya ketika di awal tempoh selepas melahirkan. Kami di sini ingin mengingatkan anda bahawa anda tidak perlu sentiasa menjadi kuat. (Percayalah, tiada siapa yang setabah itu!). Jangan takut untuk berkata ya apabila ditawarkan bantuan atau apa saja pertolongan daripada ahli keluarga atau kawan-kawan. Simpan senarai perkara untuk dilakukan dan berikan tumpuan pada penjagaan diri sendiri.

  • Lindungi kesihatan mental anda.

Kebanyakan ibu pernah mengalami sindrom ‘baby blues’ atau gangguan perasaan selepas melahirkan. Kemurungan selepas bersalin ini sangat berbeza (dan lebih sukar untuk ditangani) berbanding kemurungan biasa.

Perasaan ini boleh menguasai diri dan selalunya menyebabkan seorang ibu yang melalui depresi berasa keseorangan. Dapatkan sokongan daripada yang tersayang semasa di fasa ini dan kenal pasti mereka yang dapat memberikan bantuan. Cuba berhubung dengan kumpulan sokongan dan berbincang dengan doktor anda sekiranya anda berasa anda mungkin mengalami simptom kemurungan selepas bersalin.

  • Berikan hadiah kepada diri sendiri.

Rawatan spa selalunya dapat menggembirakan! Letakkan masker di wajah, pasang lilin dengan wangian dan mula membelai kulit anda.

Pastikan anda menggunakan produk penjagaan kulit bebas paraben dan berikan lebih perhatian kepada bahagian yang bermasalah. Untuk mengurangkan kehadiran parut regangan (stretch mark), sapukan krim hipoalergenik yang kaya dengan antioksidan dan mengandungi bahan yang akan membantu anda memberi khasiat kepada kulit anda yang kering. Stretch Mark Cream by Mama’s Choice ini adalah pilihan yang sempurna dengan bahan yang selamat, halal dan semula jadi seperti aloe vera yang menyejukkan untuk mengurangkan rasa gatal, shea butter dan minyak jojoba untuk memastikan kulit anda kekal lembut dan Lipobelle Soyaglycone untuk meningkatkan penghasilan kolagen dan membaiki regangan pada kulit.

Krim ini boleh disapu secara konsisten pada bahagian perut, pinggul dan paha bermula trimester kedua sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan selepas bersalin untuk mengelakkan dan mengurangkan kehadiran parut regangan.

3. Kembalikan kehangatan hubungan dengan pasangan anda.Happy couple embracing

Mungkin mudah untuk terlupa tentang hubungan anda dengan pasangan apabila kini ada si comel di samping anda. Hubungan selalunya akan melalui perubahan apabila bayi anda dilahirkan. Tetapi cahaya mata anda sebenarnya hadir untuk mengukuhkan lagi hubungan anda.

Cuba luangkan masa dengan pasangan di tengah-tengah kesibukan anda menguruskan bayi. Amalkan beberapa perkara mudah seperti memastikan anak anda tidur lebih awal, merancang untuk menghabiskan masa bersama-sama dan selalu berbual tentang perkara-perkara yang tidak berkaitan bayi anda.

4. Mulakan senaman ringan.

Tubuh badan anda melalui saat-saat yang sangat sukar sepanjang proses kehamilan dan bersalin. Walaupun penting untuk anda sentiasa aktif selepas melahirkan, berikan masa kepada diri anda. Aktiviti yang terlalu berat atau rutin berintensiti tinggi boleh menghalang proses pemulihan anda.

Mulakan dengan senaman ringan seperti berjalan kaki, sebelum perlahan-lahan menambah rutin lain. Ketahui keperluan badan anda dan fahami had anda. Ibu-ibu yang melalui proses pembedahan Caesarean perlu lebih berhati-hati kerana pakar hanya mengesyorkan senaman 6 minggu selepas bersalin.

Jangan terlupa tentang kepentingan senaman Kegel juga! Ia membantu anda menguatkan lantai pelvis dan sangat berkesan untuk masalah kawalan pundi kencing dan penyakit seperti diastasis recti selepas bersalin.

5. Tinggalkan makanan ringan.

Menghabiskan beberapa bungkus kerepek kentang dan menikmati sebekas aiskrim yang disorok sebagai bekalan ‘kalsium’ – kita semua pernah mengalaminya! Kami tahu menyusu badan menyebabkan ibu sentiasa lapar tetapi kita masih perlu memilih makanan sihat.

Pastikan anda mengambil makanan yang berkhasiat di samping mengekalkan diet yang seimbang selepas melahirkan. Ini akan membantu diri anda serta bayi. Pengambilan snek boleh menyebabkan berat badan anda bertambah. Cuba gantikan dengan snek berkhasiat, seperti potongan buah, yogurt atau kacang kering. Banyakkan pengambilan air kosong, jangan lupa untuk mengambil vitamin dan pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi.

Lupakan diet pantas. Anda memerlukan kalori untuk meningkatkan bekalan susu, jadi usah risaukan tentang berat badan dan nikmati hari-hari bersama si comel anda.

Semoga berjaya, mama – sekarang boleh kembali bersemangat dan ceria kan?

Artikel ini ditaja oleh Mama’s Choice.

Jenama baharu Mama’s Choice untuk ibu dan bayi kini telah tiba di Malaysia, selepas berjaya menguasai pasaran dalam talian di Indonesia, Singapura dan Thailand. Krim parut regangan mereka yang terlaris juga tersedia di laman web, Shopee dan Lazada

Bayi kecil saya menangis lagi. Saya dodoikannya di dalam dakapan saya, memujuknya untuk kembali tidur lena. Tidur seperti bayi? Ah, ini langsung tidak seperti yang saya sangkakan!

Selamat tinggal pada tidur lena. Di fasa trimester keempat (pasca kelahiran), tidur malam yang tidak pernah cukup dan tangisan bayi menjadi perkara biasa dalam rutin harian.

Menurut Ho Wing Yan, pemilik Precious Sleep dan seorang pakar tidur bayi dan kanak-kanak, bayi 1-3 bulan sepatutnya tidur selama 14 hingga 17 jam sehari. Namun, ia tidak selalunya ideal.

Ritma tidur bayi baru lahir selalunya tidak menentu, termasuklah waktu tidur dan bangun yang tidak boleh dijangkakan. Ia tentunya memberikan stres kepada ibubapa baru.

Di sini, kami kongsikan 7 tips yang telah terbukti berkesan untuk membantu anda mengajar bayi anda tidur (dan untuk membantu anda mendapatkan tidur yang cukup!). Jom baca!

Tips tidur 1:

Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif

Anak anda menangis tidak berhenti, dan resah untuk tidur. Mungkin dia tidak selesa?

Periksa keperluannya. Adakah dia perlu menukar lampin? Sakit perut? Terlalu panas atau sejuk?

Bayi baru lahir sangat sensitif dan tidur mereka selalunya boleh dibantu dengan menukar persekitarannya. Cuba ambil kira faktor-faktor ini:

Lampu & Cahaya: Lampu dan cahaya membantu dalam menetapkan “circadian rhythm” anak anda. Ia juga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bayi tidur dengan mengurangkan fokus kepada gangguan luar.

Suhu: Sentiasa tetapkan suhu bilik pada suhu yang selesa. Rasa suhu di leher bayi anda. Jika terlalu panas, dia akan berpeluh. Jika terlalu sejuk, pakai pakaian yang lebih sesuai seperti “sleeping bag” atau baju tidur lengan panjang.

Pakaian tidur dan katil: Ada bayi yang tidak gemarkan bau yang terlalu kuat (contohnya bau sabun pakaian yang digunakan). Ada juga yang berasa tidak selesa dengan pakaian mereka (tag baju atau zip yang merengsakan). Gunakan sabun pakaian yang lembut yang dikhaskan untuk bayi, dan periksa pakaian mereka jika terdapat perkara-perkara yang mengganggu keselesaan mereka.

Ada kajian yang menunjukkan bahawa bayi menunjukkan respon positif terhadap bau ibunya sendiri. Ini membuatkan mereka berasa selamat dan lebih mudah terlena. Anda boleh cuba tidur dengan pakaian tidur mereka untuk memindahkan bau anda kepada baju bayi anda. Cubalah!

Tips tidur 2

Kenali tanda-tanda bayi kepenatan

Ada ibubapa yang cuba memenatkan bayi mereka di waktu siang hari. Namun, tahukah anda bahawa bayi yang terlalu penat jugak tidak akan boleh tidur dengan mudah?

Pada 6-8 minggu pertama, bayi anda tidak mampu berjaga lebih dari 2 jam. Jika ini berlaku, bayi anda mungkin menjadi terlalu penat dan susah untuk dia tidur semula. Jadi, cara yang paling elok ialah dengan menegenalpasti tanda-tanda bahawa bayi sudah mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Tanda-tandanya adalah seperti:

  • Mata merah atau berair
  • Menggaru-garu muka atau telinga
  • Melentokkan badan atau menguap banyak kali
  • Tidak duduk diam dan mula cerewet
  • Tidak lagi berminat dengan aktiviti dan tidak menghiraukan orang atau objek di sekeliling

Jika bayi menunjukkan tanda-tanda ini, anda bolehlah mempersiapkan mereka untuk tidur.

Tips tidur 3:

Gunakan rutin makan-bangun-tidur

Berhati-hati jika anak anda tidur sejurus selepas menyusu. Ia nampak seperti tidak apa-apa, tetapi sebenarnya ia mengganggu kebolehan mereka untuk tidur sendiri.

Cuba ikuti rutin makan-bangun-tidur seperti yang dicadangkan di dalam buku book On Becoming Babywise . Kaedah ini mencadangkan supaya bayi mengikut rutin makan, bangun/aktif dan kemudiannya tidur.

Masukkan waktu bermain di antara waktu makan dan tidur supaya anda dapat mengelakkan tabiat menyusu untuk tidur. Ia juga menggalakkan mereka minum dengan kenyang dan tidak mengaitkan waktu menyusu dengan tidur.

Tips tidur 4

Elakkan stimulasi keterlaluan

Dunia di luar sana sangat luas, oleh itu anak kecil anda tentu mempunyai pelbagai perkara untuk diproses di dalam mindanya. Walaupun sangat penting untuk kita menggalakkan minda dan derianya belajar, ingat bahawa stimulasi yang keterlaluan boleh memberi impak negatif kepada corak tidurnya.

Jadi, apakata kurangkan aktiviti apabila hampir kepada waktu tidur siang atau tidur malam?  Kurangkan cahaya, bunyi-bunyian yang kuat dan berikan ruang selesa dan senyap untuk membantu anak tidur.

Tips tidur 5:

Bezakan antara siang dan malam

Orang dewasa mempunyai “circadian rhythm” yang membantu kita bangun di waktu siang dan mengantuk di waktu malam. Namun bagi bayi yang baru lahir, ia mengambil masa 2-4 bulan untuk ritma ini terbentuk dan untuk badannya menghasilkan hormon tidur melatonin dan kortisol.

Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih cepat beradaptasi sekiranya ibubapa memberi mereka persekitaran yang membantu mereka mengenali waktu siang dan waktu malam.

Jadi, pada waktu siang, cuba:

  • dedahkan bayi pada cahaya semulajadi
  • tingkatkan aktiviti interaktif dan bermain
  • Bangunkan mereka perlahan-lahan jika mereka mula tidur sewaktu makan

Pada waktu malam pula:

  • kurangkan interaksi dengan bayi
  • kurangkan cahaya dan bunyi
  • Amalkan rutin waktu tidur untuk memberitahu bayi bahawa waktu tidur sudah tiba

Lama kelamaan, bayi akan faham bahawa waktu siang adalah waktu bermain dan waktu malam adalah rehat/tidur.

Tips tidur 6

Kenalkan rutin waktu tidur yang tenang

Mempersiapkan bayi setiap malam akan membantu mereka tidur dengan tenang. Ada pelbagai cara atau ritual seperti:

  • mandian suam
  • urutan bayi
  • mendodoi
  • membaca buku

Jika anda menyusu, sesi menyusu sebelum tidur akan memberikan mereka ketenangan. Melatonin di dalam susu ibu boleh menghantar signal mengantuk kepada bayi untuk dia berehat dan tidur.

Tips tidur 7

Gunakan alat bantuan tidur

Ramai ibubapa risau mengenai tabiat tidur yang tidak sihat semenjak usia bayi dan mengelakkan dari menggunakan alat bantuan tidur untuk bayi mereka. Namun begitu, Wing Yan mengatakan bahawa tabiat tidak sihat ini tidak akan terjadi pada umur yang muda (kurang dari 4 bulan).

“Bayi baru lahir masih belum pandai tidur dan mungkin memerlukan alat bantuan tidur untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Cuba cari keseimbangan di sini. Apa yang paling penting ialah bayi mendapat cukup tidur untuk perkembangannya”

Jadi, cuba gunakan:

Bedung bayi. Bayi baru lahir seringkali terkejut dan bangun dari tidur kerana tindakbalas Moro. Para pakar perubatan menggalakkan penggunaan bedung untuk memberi bayi anda rasa selamat dan selesa. Bedung membuatkan mereka rasa seperti di dalam rahim ibu juga.

Mesin bunyi. Sebagai orang dewasa, kita dah terbiasa dengan tidur di dalam suasana yang sunyi. Sebenarnya, bayi di dalam rahim pula sudah terbiasa dengan bunyi-bunyian di dalam badan ibunya. Jadi bunyi “ambiant” dari mesin “white noise” boleh memberikan ketenangan kepada bayi. Ia mengingatkan mereka kepada rahim ibu dan membantu tidur dengan lebih tenang.

Puting. Walaupun penggunaan puting sering diragui, namun pakar tidur bayi sebenarnya menggalakkan penggunaannya. Ini kerana puting memberikan ketenangan kepada bayi baru lahir kerana ia membantu tindakbalas refleks menghisap semulajadi. Puting yang digunakan semasa tidur juga boleh mengurangkan risiko bayi mati dalam tidur (SIDS). Jangan risau, bila sampai masanya anda boleh cuba memisahkan putih dari bayi dengan tips berguna di sini.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Melahirkan seorang bayi adalah sesuatu yang membahagiakan, namun berat badan berlebihan yang datang dengannya bukanlah sesuatu yang dimahukan! Walaupun hati ingin turunkan berat badan dengan ekspres cara “crash diet” persis selebriti, hakikatnya proses yang terlalu cepat sebenarnya tidak elok untuk badan dan boleh mengganggu penyusuan.

Guru yoga saya sentiasa mengingatkan ini kepada para pelajarnya:

“Berat badan anda mengambil masa 9 bulan untuk naik , jadi anda perlu memberi masa kepadanya untuk balik semula kepada berat badan yang ideal!”

Jadi, jangan panik. Tarik nafas dan ambil langkah-langkah kecil dan mudah untuk menurunkan berat badan berlebihan secara sihat:

1) Minum banyak air!

Sangat penting untuk anda minum cukup air, terutamanya jika anda menyusu. Meminum air secukupnya sepanjang hari membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dan membantu badan menyerap vitamin dan mineral penting dari makanan. Rasa dahaga seringkali disalaherti sebagai kelaparan, jadi minum cukup air untuk mengelakkan daripada makan snek dengan kalori berlebihan.

Air teh, minuman bergas dan kopi adalah diuretic yang boleh mengeluarkan air dari badan dan mengurangkan serapan nutrisi. Jadi, minumlah air kosong dan cuba tambah perisa dengan hirisan buah lemon, pudina atau buah beri beku.

2) Cuba menyusu bayi anda

Menyusu dikatakan dapat membantu ibu kembali kepada berat badan yang ideal. Apabila anda menyusu, rahim dan tisu di sekitarnya mengecut dan secara tidak langsung anda sedang melakukan aktiviti anarobik! Bayi anda mendapat nutrisi dari susu terbaik untuknya dan badan anda membakar kalori sedikit demi sedikit. Ramai ibu menyusu mengatakan mereka mudah untuk hilang berat badan apabila menyusukan bayi.

3) Berehat dan bertenang

Bulan-bulan pertama dengan bayi anda adalah sangat mengujakan namun sangat memenatkan kerana anda tidak cukup tidur. Ambil masa untuk tidur dan berehat setiap kali ada peluang. Tidurlah ketika bayi anda tidur dan jangan malu untuk meminta pertolongan jika anda memerlukannya. Anda boleh cuba berurut, mendengar alunan muzik yang menenangkan, bermeditasi dan lakukan teknik pernafasan yang mendalam. Semakin anda bertenang, semakin banyak tenaga dihasilkan untuk bayi. Anda mungkin juga bertenaga untuk membuat senaman ringkas.

4) Bersenam

Walaupun tidak disyorkan untuk terus melakukan senaman impak tinggi selepas kelahiran anak, cuba untuk melakukan senaman yang lebih lembut dan ringan sebaik sahaja mendapat kebenaran dari doktor. Bawa bayi keluar berjalan-jalan sambil menyedut udara segar – ia penghilang stress yang sangat mujarab! Yoga dan meditasi juga adalah cara yang elok untuk lebih berhubung dengan emosi dan fizikal. Tak semestinya perlu melompat dan menari untuk menghilangkan berat badan. Ia mungkin sukar untuk mencari tenaga dan masa, jadi mula dengan kecil-kecilan dan kekal aktif setiap hari. Mesti ada hasilnya!

5) Makan dengan sihat

Melakukan “diet” selepas melahirkan sebenarnya bukan idea yang bagus. Tak kira jika anda menyusu atau tidak, anda perlu fokus pada pilihan makanan yang betul dan penuh nutrisi, bukan mengira kalori. Badan anda memerlukan tenaga untuk sembuh selepas proses kehamilan dan melahirkan bayi, jadi pastikan anda makan dengan sihat dan betul.

Pelan pemakanan terbaik dan seimbang pasca kehamilan hendaklah mengandungi protein berkualiti (telur, ikan, ayam), lemak sihat (kekacang, minyak kelapa, minyak zaitun), sayur dan buah-buahan yang banyak dan bijirin penuh (beras perang, quinoa).

Jika anda menyusu, bayi anda mungkin sensitif kepada sesetengah jenis makanan. Jadi pantau bayi anda jika dia ada mengalami sebarang reaksi terhadap makanan anda dan cuba sesuaikan. Makan 3 kali sehari (sarapan, makan tengahari, makan malam) dan 1-2 snek sihat di antara waktu makan utama.

Proses kehamilan adalah pengalaman indah dan berharga buat si ibu. Namun, ia juga adalah satu masa yang penuh dengan kerisauan dan stress, apatah lagi dengan pelbagai pendapat dan mitos mengenai kehamilan.

Jom tengok mitos-mitos popular dan sejauh manakah kebenarannya.

Mitos 1 : Bentuk perut menunjukkan jantina bayi

Yang ini adalah antara yang paling popular. Jika perut rendah, ia bayi lelaki dan jika perut tinggi, ia adalah bayi perempuan. Walaupun ramai yang mengiakannya, para profesional dalam bidang kehamilan berkata ia adalah mitos yang tidak benar.

Menurut Eileen Beard, seorang penasihat di American College of Nurse-Midwives, perut seseorang ibu itu sebenarnya ditentukan oleh kekuatan ototnya, kedudukan bayi, bentuk badan ibu dan kadar kenaikan berat badan sepanjang kehamilan.

Mitos 2 : Selera dan keinginan ibu juga menunjukkan jantina bayi

Ramai yang percaya bahawa jika ibu mengidam makanan manis seperti kek, coklat dan makanan tenusu, ia bermakna bayinya adalah bayi perempuan. Jika dia mengidam makanan masin, pedas, berempah atau berprotein tinggi pula, bayinya adalah lelaki.

Ini adalah mitos yang juga sangat popular, namun sehingga kini tiada bukti saintifik yang mengaitkan tabiat mengidam dengan jantina bayi.

Mengidam atau ‘cravings’ ini mungkin terjadi kerana perubahan hormon dalam kehamilan, tanpa sebarang kaitan dengan bayi. Lagipun, gunakan saja ultrasound untuk mengetahui jantina bayi, kan senang?

Mitos 3 : Wanita hamil perlu makan untuk dua orang

Dr Irene Miguel-Aliaga, seorang penyelidik dari MRC Clinical Science Centre di Imperial telah mengatakan bahawa sistem penghadaman ibu sebenarnya sangat bersedia untuk kehamilan dan menanggung keperluan seorang bayi yang sedang membesar di dalam rahim. Jadi, makan untuk dua orang itu adalah tidak perlu sama sekali! Tambahan pula, sebenarnya tabiat makan untuk dua inilah yang membuatkan berat badan ibu naik terlalu banyak dan susah untuk diturunkan selepas bersalin.

Mitos 4 : Pengambilan kafein juga adalah tidak boleh sama sekali

Kebanyakan orang percaya bahawa pengambilan kafein ketika hamil boleh meningkatkan risiko keguguran, namun American College of Obstetricians and Gynecologists menyatakan bahawa pengambilan yang sedikit (kurang daripada 200mg sehari) adalah tidak membahayakan. Menurut pakar keguguran, pengambilan secawan atau dua cawan kopi ketika hamil adalah masih selamat.

Mitos 5 : Aktiviti seks, makan pedas/berempah atau berjalan kaki akan memulakan proses kelahiran

Ada pelbagai cara yang “semulajadi” untuk memulakan proses kelahiran terutamanya di minggu-minggu terakhir kehamilan. Sesetengah doktor mencadangkan hubungan seks kerana ia menghasilkan hormon prostaglandin dan oksitosin yang boleh memulakan proses kelahiran. Makan makanan berempah dan banyak berjalan kaki juga dikatakan boleh memulakan proses ini. Tiada sebarang kajian perubatan yang membuktikannya, jadi ia mungkin juga sebuah mitos. Tapi, tak salah untuk mencuba kan?

Mitos 6 : Mewarna rambut memberi kesan buruk kepada bayi

Ramai percaya bahawa pewarna rambut boleh membahayakan bayi kerana kandungan bahan kimia yang tinggi yang boleh meresap ke dalam kulit kepala ibu. Namun sebenarnya, sangat sedikit kuantiti bahan kimia ini yang diserap dan ia langsung tidak membahayakan. Jika masih risau, pilih opsyen pewarna yang lain seperti inai dan pewarna yang tidak kekal (lebih rendah kandungan bahan kimia).

Mitos 7: Makan minyak sapi untuk memudahkan kelahiran

Mungkin ada yang tidak berselera untuk makan minyak sapi, namun ia adalah salah satu makanan yang berkhasiat di dalam bidang perubatan Ayurvedic. Ia dipercayai boleh memulakan proses kelahiran tetapi tiada kajian perubatan yang membuktikannya. Minyak sapi adalah sejenis lemak tepu dan apabila diambil terlalu banyak, ia boleh membahayakan kesihatan dan menaikkan berat badan ibu.

 

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Terjemahan dan olahan oleh : Ayuni A. 

Biasanya, kita sering ternampak banyak artikel di Internet tentang apa yang tak sesuai dikatakan kepada ibubapa baru. Tapi, bagaimana jika anda mahu melawat rakan yang baru melahirkan dan tidak pasti pula apa yang boleh dikatakan?

Pengalaman melahirkan boleh menjadi sesuatu yang emosional untuk ibubapa baru. Dengannya, datang pelbagai perasaan yang bercampur baur, seperti kegembiraan, kebanggaan, kerisauan dan tidak cukup tidur. Ini ada beberapa perkara yang boleh anda katakan sebagai sokongan kepada mereka:

Sedang cuba untuk mengandung? Apakata cuba ubah diet anda dan pasangan anda dahulu sebelum membuat keputusan untuk menjalani rawatan kesuburan yang invasif? 5 jenis makanan ini mengandungi nutrisi penting yang boleh membantu meningkatkan kesuburan dan sistem imun anda. Namun, jangan lupa mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam, minum air secukupnya dan mengurangkan stress juga!

Sebelum menulis artikel kali ini, saya ada bercerita kepada beberapa teman tentang tajuk artikel yang bakal ditulis. Acap kali, teman saya pasti bertanya, bukankah hanya ada 3 trimester kehamilan? Justeru secara ringkas saya menjawab, trimester keempat adalah fasa bayi lahir hingga bayi berumur tiga bulan.

Saat inilah bayi mengalami perkembangan penting dan perlu banyak bantuan dari ibu. Dan bagi si ibu, inilah momen breakthrough di mana dia perlu beradaptasi dengan pelbagai cabaran fizikal dan mental.

Beberapa bulan kebelakangan ini, sekurang- kurangnya lima orang kenalan dan ahli keluarga saya menyambut cahaya mata baru. Oh betapa ia mengusik naluri keibuan saya.  Terbau-bau enaknya mencium kulit halus bayi baru lahir dan menyiapkan pakaian comel yang dipilih setiap hari untuk insan istimewa ini.

Namun, apabila saya fikirkan semula, saya termenung panjang apabila menyedari bahawa kenangan manis melahirkan ketiga- tiga bayi saya hanya terhad kepada satu atau dua perkara sahaja! Apa yang disimpan di dalam memori saya sebagai seorang ibu rupanya sangat terhad dan saya memilih untuk ingat apa yang saya mahu ingat sahaja. 

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds