Sudah menjadi lumrah buat para ibu berkerjaya merasa sukar untuk memilih antara anak atau kerjaya. Kedua-duanya amat penting untuk meneruskan hidup yang penuh cabaran pada hari ini. Atas faktor ekonomi dunia yang makin mencabar, para ibu turut merasakan mereka perlu keluar bekerja bagi menambah baik ekonomi keluarga.

Kajian menunjukkan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak bukan sahaja membantu perkembangan mereka dari segi akademik, malah ia turut mempengaruhi emosi, tingkah laku dan sahsiah.

Di sini kami kongsikan lima tips bagaimana ibu berkerjaya boleh meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak walaupun sibuk seharian mencari rezeki buat keluarga tercinta.

1. Gunakan masa bersama anak di dalam kereta

Tidak dinafikan ibu berkerjaya mempunyai lebih masa terluang di dalam kereta berbanding di rumah. Ambil peluang yang tersedia setiap hari dalam aktiviti menghantar dan mengambil anak dari sekolah, taska, mahupun dari rumah pengasuh setiap hari.

Pelbagai aktiviti mudah boleh dilakukan bersama. Antaranya main kad imbas, buat pemerhatian alam sekeliling bersama-sama  sambil menerangkan kejadian alam ataupun bermain teka teki mudah bersama di dalam kereta.

Mungkin masa tadi hanyalah 10 minit – 15 minit, tapi, percayalah, bila ia dilakukan setiap hari, ia adalah antara detik-detik penting yang membantu dalam perkembangan anak anda.

2. Buat kerja rumah bersama-sama

Setiap hari pasti akan  ada kerja rumah yang perlu dibuat kan? Apa kata untuk tahun 2019, ajak anak sekali untuk membantu atau pun menemani di kala ibu melakukan pelbagai kerja rumah.

Antara kerja rumah mudah yang boleh mereka bantu adalah seperti menyiapkan meja makan untuk makan malam, membasuh pinggan dan menyapu sampah. Bukan lah kita mahukan mereka lakukan dengan cara yang paling sempurna, tetapi, cukup sekadar untuk kita mengambil peluang meluangkan masa bersama dengan lebih efektif.

3. Luangkan waktu khas untuk berkumpul bersama keluarga

Ibu boleh menetapkan 30 minit – 1 jam khas setiap hari untuk masa bersama yang wajib disertai oleh setiap ahli keluarga. 1 jam khas ini boleh jadi pada waktu makan bersama, menonton rancangan tv kegemaran bersama, solat berjemaah atau apa saja aktiviti yang boleh membantu merapatkan lagi hubungan antara ibu, ayah dan anak-anak.

Jadikan ini sebagai rutin keluarga anda dan disiplinkan diri untuk meluangkan masa untuk aktiviti khas ini. Tak lama pun, 30 minit-1 jam sahaja sehari. Yang penting ianya berkualiti!

4. Matikan semua gajet ketika di rumah

Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter mahupun panggilan telefon dari pejabat bukan lagi keutamaan anda bila saja menjejakkan kaki ke rumah. Tanamkan dalam minda anda, anda adalah seorang ibu yang sedia untuk penuhkan baki masa selepas bekerja khas untuk anak anda!

Jadikan diri anda lebih positif dan kuatkan minda untuk menghadap pelbagai kerenah anak di rumah. Persediaan minda ini jangan dipandang enteng kerana mood anda akan mempengaruhi masa yang bakal anda luangkan bersama anak nanti. Pastinya ibu sendiri mahu enjoy dengan anak – anak kan?

5. Gunakan 10 minit terakhir sebelum anak masuk tidur

Detik ini antara detik yang paling penting dalam kehidupan anak anda. Ibu boleh membuat refleksi mengenai hari yang dilalui bersama sambil menyuntik rasa positif, gembira, dan membina keyakinan diri dalam jiwa mereka. Ini kerana segala apa juga info yang diberikan kepada anak anda dalam waktu ini akan mempengaruhi minda separa sedar  yang akan diproses di waktu tidurnya nanti.

Percayalah,  anak anda sedang berkembang dari dalaman secara hebatnya pada 5-10 minit waktu akhir sebelum tidur. Malah, anda juga akan bertambah positif dan lebih gembira kerana sedang mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan hari esok.

Luangkan masa bersama bukan saja untuk perkembangan anak tapi untuk para ibu sendiri. Apa yang lebih penting bukan pada kuantiti masa itu, tapi kualiti masa yang diluangkan.

Moga 5 tips ini dapat memberikan sedikit idea buat ibu – ibu berkerjaya di luar sana 🙂

 

Pengarang

Nadia adalah seorang penulis bebas dan ibu kepada 3 orang anak. Nadia gemar menulis, membaca dan juga melakukan aktiviti yang membantu meningkatkan potensi diri beliau dan anak - anak seperti mengeksplorasi tempat - tempat menarik di dalam dan luar negara. Dia beraspirasi untuk membantu menyebarkan kehidupan positif buat para wanita terutamanya yang bergelar ibu.

Ruangan komen telah ditutup.