Anak saya Adeena, berusia hampir 4 tahun, seringkali mendapat perhatian rakan- rakan dan ahli keluarga lain kerana gemar makan sayur. Tidak seperti kakak dan abangnya, Adeena berani mencuba pelbagai jenis sayur dan berani saya katakan, kebanyakan yang dicuba, memang akan digemari dan boleh diulang makan dengan mudah.

Ramai orang memuji tabiat makan Adeena, dan mereka menyangka saya mempunyai sistem atau cara yang tertentu bagi memastikan Adeena suka makan sayur setiap hari. Terus terang saya katakan, saya tidak ada cara yang spesifik melatih anak makan sayur, namun apabila saya fikir dan kaji semula, mungkin 5 perkara di bawah ini banyak mempengaruhi tabiat makan sayur Adeena.

1. Saya tunda makanan pepejal dan berperisa sehingga selepas habis tempoh menyusu 6 bulan

Tumbesaran Adeena sehingga mencecah usia 1 tahun adalah sangat baik. Berat dan panjang badannya selari mengikut usia, tidak ada masalah menyusu, dan langsung tidak pernah demam, selesema atau batuk. Jadi saya tidak nampak keperluan untuk saya menyegerakan pemberian makanan pepejal untuk Adeena, dan saya teruskan menyusu badan secara eksklusif sehingga hampir 10 bulan.

Walaupun ketika itu Adeena sudah mula menunjukkan minat untuk makan, saya tidak menyediakan bubur khas untuk dimakan, sebaliknya hanya melayan dengan menyuapkan sedikit cebisan ikan atau nasi ketika saya makan sahaja.

Adeena sangat berbeza jika dibandingkan dengan dua anak saya yang saya perkenalkan dengan makanan pejal dan pelbagai perisa pada peringkat awal. Mereka menjadi sangat memilih makan, terutamanya sayur- sayuran yang tidak mempunyai rasa yang ketara. 

2. Perkenalkan makanan tanpa rasa manis yang ketara terlebih dahulu

Saya masih ingat pengalaman memberikan makanan pepejal kepada anak pertama, saya sangat teruja mahu memberikan anak buah yang paling manis seperti betik dan buar pir. Pada masa yang sama juga saya tidak teragak- agak memberikan makanan bayi siap bancuh di dalam botol yang dijual di pasar raya yang juga sangat manis.

Untuk Adeena, saya mengubah pendekatan dengan memberikan bubur nasi kosong terlebih dahulu. Ini hanya untuk melatih dia mengunyah dan membiasakan lidahnya dengan tekstur makanan, bukan memberi tumpuan kepada rasa.

Namun begitu, saya dapati Adeena tidak gemar bubur yang dikisar halus, dan lebih suka mengunyah butiran nasi atau cebisan ikan dan sayur lembut. Jadi saya ikutkan saja dan hanya kerja mengisar bubur berlangsung dalam masa lebih kurang sebulan saja.

Selepas itu, saya gunakan nasi biasa yang dilecek sedikit, isi ikan dihancurkan dengan garfu dan saya biarkan Adeena menyuap sendiri (sambil dipantau oleh saya).

3. Makan bersama-sama dan tidak memaksa makan sayur atau memujuk dengan berlebihan

Kebiasaannya saya akan menikmati makan tengah hari berdua sahaja dengan Adeena di rumah, memandangkan saya seorang “work at home mom”.

Namun begitu, saya tidak ada waktu makan berasingan untuk Adeena. Saya akan hidangkan makanan dan duduk bersama di meja makan dan saya akan berbual- bual dengannya. Saya akan pastikan ada sayuran sama ada dimasak ataupun ulam- ulam mentah dan salad dihidang di depan dia.

Ketika inilah saya akan perkenalkan sayur dengan meletakkan cebisan halus di dalam pinggannya. Biasanya saya tidak akan memaksa atau bercakap tentang kebaikan makan sayur dan sebagainya. Saya menganggap ia sesi makan biasa sahaja, dan jangan sampai anak sedar yang saya ini terdesak mahukan dia makan sayur.

Saya kawal diri untuk tidak terlalu teruja, walaupun dalam hati melonjak gembira apabila Adeena mengunyah sayur tanpa prejudis haha! Keep your cool Mama!

4. Cipta rasa ingin tahu dan makan sayur secara santai dalam suasana menyeronokkan

Sekarang Adeena sudah hampir 4 tahun usianya, dan dia seorang anak yang sangat kelakar dan kuat mengusik! Saya ambil kesempatan dengan personalitinya ini untuk mengajak dia mencuba pelbagai lagi jenis sayuran yang baru.

Apabila saya sediakan jenis sayur yang baru, saya akan berpura- pura tidak mahu berkongsi dengannya. Ini memang menyebabkan Adeena jadi geram dan berebut-rebut mahu makan sayur itu juga!

Dia langsung tidak menjangka ini semua adalah taktik saya! Kami akan berebut- rebut makan dan saya akan pura- pura menyorok lebihan sayur di dalam pinggan dan ini memang punca dia mahu makan lagi dan lagi.

Keseronokan bermain begini menyebabkan pengalaman makan sayur lebih positif dan berkesan.

5. Bawa anak membeli sayur di pasar raya dan perkenalkan dengan sayur baru setiap minggu

Setiap minggu kebiasaannya saya dan Adeena akan keluar berdua sahaja dan saya suka membawanya ke bahagian makanan mentah untuk memilih sayur dan buah. Sambil belajar nama- nama baru sayur, ulam dan buah, saya akan berbual dengan Adeena tentang sayur- sayur kegemaran dan sayur- sayur baru yang dia belum pernah cuba.

“Tengok tu Adeena, itu timun Jepun, Adeena suka kan makan timun Jepun?”

“Jom kita cuba makan seleri pula minggu ni ok?”

“Adeena cuba teka, ubi ini rasanya manis atau tak?”

“Masa Adeena makan kubis, bunyi nya macam mana?”

Ya, kami sangat rajin berbual. Rupanya ia membantu juga dalam proses memakan sayur. Sehingga kini antara sayur kegemaran Adeena termasuklah timun, kubis, brokoli, kubis bunga, bok choy (batang sahaja), lada benggala, sweet Palermo (baru diperkenalkan), lobak merah, keledek ungu, kentang dan edamame.

Saya sebenarnya tidak mahu terlalu memikirkan secara mendalam tentang sejauh mana Adeena akan terus kekal dengan minatnya untuk makan sayur. Tetapi saya berharap ia boleh menjadi asas kepada cara pemakanan yang lebih sihat untuk Adeena di masa hadapan dan dia boleh memilih jenis makanan yang baik dan berkhasiat untuk dirinya sendiri.

Pengarang

Puteri Yusof merupakan seorang ibu kepada 3 orang anak kini sedang giat berkempen No Sugar Challenge di media sosial. Pada awalnya kempen ini hanya untuk diri sendiri, namun selepas 2 tahun, kempen ini berjaya mengumpulkan lebih 2000 orang pengikut (Geng No Sugar Challenge), sehingga digelar sebagai "Coach Gula" oleh teman dan kenalan.

Ruangan komen telah ditutup.