fbpx
Category

Hidup & Kerjaya

Category

Kita kini hidup di dalam era inovasi, kemajuan dan teknologi. Kemahiran yang dahulunya penting kebanyakannya tidak lagi relevan dan sudah lapuk ditelan zaman. Anak-anak yang lahir pada abad ke-21 seharusnya memiliki pelbagai set kemahiran baru untuk berjaya di masa hadapan. Kemahiran-kemahiran ini mungkin juga pernah dilihat sebagai tidak penting, namun kini ia menjadi satu keperluan. Kebanyakan dari kemahiran ini tidak boleh “diajar” , sebaliknya ia perlu dipupuk dari kecil.

Jangan risau! Ia bukanlah sesuatu yang sukar. Di sini kami senaraikan enam kemahiran penting yang perlu dikuasai setiap anak abad ke21, termasuklah cara mudah untuk ia dipupuk dari rumah.

1. Pemikiran kritis

Sumber: Novakid

Dalam era informasi yang terlampau banyak, anak-anak memerlukan alatan atau kaedah yang boleh membantu mereka menilai informasi melalui pemikiran kritis. Anda boleh mula memupuk kemahiran ini supaya mereka akan lebih pandai menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan bijak.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Fokus kepada “Kenapa” dan “Bagaimana”: Apabila anak memahami “mengapa” sesuatu perkara berlaku, ia mengajar mereka menerima dan memahami dengan lebih mendalam. Teruskan proses berfikir itu dengan bertanya “Bagaimana anda tahu?”. Dengan cara ini, mereka belajar mengumpulkan bukti untuk menyokong pendapat atau idea mereka. Galakkan mereka untuk berfikir dari pelbagai sudut dan perspektif, dan ajar mereka untuk menghormati kepelbagaiannya. Sentiasa galakkan anak-anak memikirkan penyelesaian kepada sesuatu masalah yang melanda.
  • Galakkan bertanya soalan: Ibubapa yang mempunyai anak kecil mungkin sudah terbiasa dengan pelbagai soalan yang diajukan, seolah-olah kita adalah sebuah ensiklopedia 24 jam! Namun begitu, cuba bersabar dan ingat bahawa sifat ingin tahu ini adalah kunci utama pemikiran kritis.
  • Kurangkan sifat “spoonfeeding”: Ya, lumrah ibubapa untuk sentiasa menyelamatkan anak-anak kesayangan. Namun begitu, cuba bertahan dari terlalu cepat memberikan solusi atau jawapan. Beri mereka masa untuk berfikir dan menilai, supaya mereka belajar mendapatkan jawapan atau penyelesaian kepada masalah.

2. Komunikasi

Sumber: Nadia Johari

Anak-anak perlu belajar menguasai kemahiran berkomunikasi dengan efektif, supaya mereka dapat membina hubungan sosial yang bermakna. Dalam era globalisasi ini, penguasaan Bahasa Inggeris perlu dimulakan sedari kecil kerana ia adalah bahasa yang global.

Program imersif seperti kelas-kelas online di Novakid yang khusus untuk anak berumur 4-12 tahun boleh membantu mereka belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan membina asas kepada literasi. Kelas ini dibuat berdasarkan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), di mana setiap kelas berdurasi selama 25 minit. Bahan mengajar di dalam kelas virtual ini adalah sangat menarik dan mengujakan, dan para guru berbahasa Inggeris sangat pandai menarik perhatian para pelajar.

Apa kata cuba lakukan aktiviti-aktiviti literasi ini di rumah:

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Bermain: Permainan berunsurkan literasi boleh dimain bersama-sama ahli keluarga. Sambil itu, anak-anak boleh belajar mengenali perkataan, ejaan dan bunyi huruf.
  • Bermain “role play” atau berlakon: Galakkan anak bermain “role play” dan bereksperimen dengan pelbagai watak. Sediakan alatan mainan yang kena dengan tema menggunakan bahan mudah dan biarkan anak-anak berimaginasi!
  • Berbual dan bercerita: Cuba berbual dengan anak-anak dengan lebih kerap dan berikan masa kepada mereka untuk memberikan respons kepada jawapan yang ditanya.

3. Kreativiti

Sumber: Unsplash

Rekaan dan inovasi yang memudahkan hidup kita sekarang dahulunya bermula sebagai sebuah imaginasi dan hasil dari kreativiti seseorang. Ekonomi dan masyarakat moden dipacu oleh mereka yang mempunyai imaginasi yang tinggi. Untuk seseorang individu, kreativiti memperbaiki kemampuan intelektual, keupayaan mental dan kemahiran sosial.

Gunakan topik yang meluas di dalam perbualan dengan anak-anak, dan biarkan mereka menerokai topik yang diminati. Jika anda tidak pasti di mana untuk bermula, program pertuturan intensif bersama Novakid boleh memupuk kreativiti dan meningkatkan keyakinan dan daya pertuturan mereka dalam Bahasa Inggeris. Pakar bahasa sendiri akan memberikan sokongan kepada ibubapa untuk melakukan aktiviti ini di rumah.

Program Time2Talk dan Virtual Explorer akan mempersiapkan bakal pemidato anda untuk bercakap mengenai berbagai topik yang menarik seperti seni, muzik, kemanusiaan, dunia moden dan purba, alam sekitar dan banyak lagi!

Di sini ada banyak lagi cara untuk menggalakkan kreativiti dalam diri anak-anak:

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Sediakan permainan subjektif atau “open-ended”: Beli permainan yang tahan lama dan klasik seperti Lego, bongkah kayu dan jubin magnetik. Permainan seperti ini memberikan peluang untuk anak berimaginasi dan belajar menyelesaikan masalah.
  • Apresiasi seni: Sediakan persekitaran yang kaya dengan hasil seni, muzik dan lakonan untuk memberikan inspirasi kreatif kepada anak. Nyanyi bersama anak-anak kecil dan biarkan mereka menyanyi dengan lirik sendiri bertemakan perkara kegemaran mereka seperti makanan, haiwan kesayangan atau kacamata nenek! Lupakan kit seni yang memerlukan langkah spesifik dan gantikan dengan aktiviti yang lebih fokus kepada proses seni itu sendiri.
  • Tanya “Bagaimana jika?”: Soalan ini boleh menggalakkan mereka berfikir tentang kemungkinan. Ini juga membantu mereka menjadi lebih kreatif.

4. Kewarganegaraan Digital

Sumber: Lea Azleeya 

Ah, kita semua sukakan Internet! Dengan teknologi moden yang akan kekal selamanya di sini, amatlah penting untuk anak-anak menguasai kemahiran digital untuk berkomunikasi secara lebih efektif dengan orang lain di seluruh dunia. Selain belajar selok belok dunia digital, mereka juga perlu tahu tentang keselamatan atas talian, sekuriti cyber dan kesihatan digital beserta tanggungjawabnya.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Gunakan kaedah pembelajaran beradun: Jangan hentikan kelas online kerana ia boleh memberikan pembelajaran yang berstruktur, dikawalselia dan lebih mudah untuk membina sifat kewarganegaraan digital. Kita semua pun tahu bahawa kelas online mempunyai kebaikannya tersendiri, seperti tidak perlu bergegas di waktu pagi dan memberi ruang kepada pelajar untuk belajar dengan rentak sendiri.
  • Belajar etika digital: Memang mudah untuk mengabaikan emosi apabila berkomunikasi secara virtual. Namun begitu, ajar anak untuk berfikir sejenak: “Adakah anda akan mengatakan benda yang sama sekiranya kawan anda berada di sebelah anda?”
  • Gunakan sumber atas talian: Gunakan teknologi untuk mengajar kemahiran utama ini. Cuba lihat bahan pembelajaran Kewarganegaraan Digital di laman Common Sense Media ini untuk membantu anda bermula mengajar di rumah. Ia percuma saja!

5. Pembelajaran Sosial dan Emosi

Sumber: TeachHUB

Ini adalah kemahiran penting supaya anak-anak dapat membesar dengan kesihatan yang menyeluruh. Kita semua tahu bahwah kesihatan mental dan kegembiraan adalah berkait rapat. Keupayaan untuk menguruskan emosi dan membina hubungan positif amat penting untuk berjaya di dalam semua aspek kehidupan, buat masa sekarang dan masa hadapan.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Mulakan jurnal kesyukuran: Jangan berhenti setakat mengatakan “terima kasih” sahaja. Sifat bersyukur dan berterima kasih boleh dipupuk dengan lebih mendalam melalui tulisan di dalam jurnal kesyukuran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran menulis dan literasi , dan juga ruang untuk mengekspresikan diri.
  • Amalkan setiap hari: Permainan berunsurkan pembelajaran sosial dan emosi boleh diadaptasi di dalam rutin seharian. Idea-idea di sini sangat menarik dan menyeronokkan!
  • Pupuk sifat yakin diri: Ada banyak cara untuk memupuk keyakinan diri, termasuklah memberikan tanggungjawab kepada anak, memberikan maklum balas yang seimbang dan memberi peluang kepada anak membuat keputusan berkaitan perkara yang sesuai dengan umurnya.

6. Kesedaran badan

Sumber: Unsplash

Kesedaran badan merangkumi kesedaran ruang, kemahiran motor dan aktiviti fizikal dan kesihatan menyeluruh. Ini semua juga sangat penting kerana dunia moden ini cabaran besar oleh teknologi, pembangunan bandar dan perubahan gaya hidup.

Selain itu, aspek kesedaran badan yang juga sangat penting ialah memahami konsep persetujuan dan sempadan badan. Kita perlu memperkasakan anak-anak dengan pengetahuan ini supaya mereka dapat melindungi diri dari perkara buruk seperti gangguan seksual. Anak-anak perlu tahu bahawa mereka mempunyai hak dan harus dihormati.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Permainan fizikal: Ada banyak cara untuk bermain secara fizikal supaya anak dapat menguatkan kemahiran motor dan kesedaran badan. Cuba permainan seperti Simon Says, atau permainan berhalangan. Ibubapa boleh juga mengajak anak bermain aktiviti luar.
  • Biasakan meminta izin: Jangan paksa anak untuk mencium atau memeluk seseorang tanpa kerelaan mereka. Ajar mereka cara lain untuk menunjukkan hormat. Anak-anak perlu tahu bahawa tubuh hanya milik mereka sendiri, dan semua orang mempunyai sempadan badan yang perlu dihormati. Perbuatan meminta izin ini perlu sentiasa diamalkan. Biasakan anak-anak supaya ia menjadi sebahagian dari amalan hidup mereka.

Semoga anak-anak abad ke-21 kita selamat dan berjaya! #makchicmumtribe. Masa hadapan cerah menanti mereka!


Ini adalah artikel biayaan Novakid.

Jika anda sedang mencari cara mudah dan efektif untuk mempersiapkan anak anda dengan 6 kemahiran penting abad ke-21, Novakid boleh membantu. Kurikulum Bahasa Inggerisnya direka khas oleh pakar pembelajaran jarak jauh yang memberikan kualiti dan pengalaman pembelajaran individu yang menyeronokkan. Ia sesuai untuk anak berumur 4-12 tahun.

Novakid kini menawarkan harga promosi RM99 untuk 4 kelas pertama. Daftar di sini.

 

Apabila mencapai umur 17 tahun, setiap anak gadis lazimnya telah melalui kitaran haid pertama mereka.

Jika anda tidak mendapat haid walaupun telah melangkau umur ini, ini bukanlah sesuatu yang normal.

Jika anda berasa keliru, risau, dan merasakan anda seorang sahaja yang mempunyai masalah ini, ketahuilah anda bukan berseorangan.

Sindrom ini mempunyai namanya sendiri. Ia dikenali sebagai Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser Syndrome, atau MRKH. Dengan usaha murni Nur Syazwani Abdul Rahim, atau Wani Ardy, semakin ramai yang tahu mengenai sindrom wanita tanpa rahim di Malaysia.

Wani Ardy, 35, seorang penyanyi dan penulis yang sangat “passionate” mengenai kesusasteraan

Apa itu MRKH?

Sindrom MRKH terjadi kepada 1 di dalam 5000 bayi perempuan di seluruh dunia. Puncanya tidak lagi diketahui. Namun, secara asasnya, ia disebabkan perkembangan sistem produktif bayi ketika di dalam rahim tidak melalui proses yang lengkap.

Anak gadis dengan sindrom MRKH selalunya didiagnosis ketika umur remaja. Ini kerana, bayi perempuan dengan MRKH nampak biasa sahaja, namun rahim atau uterus mereka adalah sangat kecil atau langsung tidak ada.

Laluan faraj juga tidak ada, dan di dalam sesetengah kes, ada yang tidak mempunyai buah pinggang, kehilangan deria bunyi, mempunyai masalah jantung, tangan/kaki atau kerosakan pada tulang.

Wani Ardy dan MRKH

Saya mengenali Wani Ardy sebagai seorang penyanyi dan penulis yang sangat “passionate” mengenai kesusasteraan. Sama seperti kebanyakan orang di Malaysia, saya langsung tidak tahu mengenai MRKH sehingga Wani berkongsi mengenai keadaannya dengan saya. Ia sangat jarang berlaku di Malaysia, sehinggakan ia tersenarai di dalam Malaysian Rare Disorders Society.

Namun, dengan advokasinya dalam meningkatkan kepekaan terhadap sindrom ini, semakin ramai wanita telah mula berhubung dengannya setelah didiagnosis dengan MRKH.

Saya mengambil keputusan untuk bertemu dengan Wani untuk belajar mengenai sindrom ini dan berkongsi kisahnya.

Perjalanan Wani Ardy sebelum diagnosis

Pada tahun 2001, ibu saudara Wani mula risau mengenai keadaannya dan menasihatkan ibunya untuk membawa Wani berjumpa doktor. Pada ketika itu, Wani telah mula nampak perbezaan dirinya dengan kawan-kawan yang lain.

“Saya mula perasan bahawa saya berbeza dengan orang lain ketika kami menukar baju di dalam bilik air selepas subjek Pendidikan Jasmani di sekolah. Kebanyakan dari mereka telah akil baligh dan badan mereka juga telah berubah, tetapi saya masih kelihatan seperti anak gadis yang kecil. Saya juga masih belum mendapat haid. Pada masa itulah saya sedar yang saya ini berlainan dan saya tahu ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Wani bertemu dengan ramai doktor dan kebanyakannya tergamam dengan kondisinya. Ultrasound menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai uterus (rahim). Pada ketika itu, doktor tidak mempunyai nama kepada sindrom ini.

Pada tahun 2013, Wani kemudiannya mula mencari jawapan sendiri berdasarkan keputusan ujiannya dari doktor. Pencariannya di Internet telah membawanya kepada Christina Ruth, pelopor Beautiful You MRKH Foundation, sebuah badan sokongan MRKH pertama di Amerika Syarikat. Dia mula berkomunikasi dengan Christina.

Wani Ardy ketika membincang MRKH di program MHI

Kelahiran MRKH Malaysia

Pada tahun 2015, Wani Ardy mengambil keputusan untuk memulakan badan sokongan MRKH di Malaysia.

“Saya dapat melihat bahawa di negara Barat, terdapat banyak badan sokongan MRKH, tetapi tidak di Malaysia”

Kebanyakan kumpulan ini berbincang mengenai isu berkaitan tubuh badan dan keyakinan diri. Namun, di Asia, Wani dapat melihat bahawa wanita dengan MRKH terpaksa berhadapan dengan isu yang lebih dari fizikal sahaja, termasuklah isu perkahwinan, rasa terasing dan stigma.

Masalah sebegini, digandingkan dengan sifat “malu” masyarakat Asia membuatkan Wani merasakan bahawa badan sokongan sangat diperlukan oleh wanita MRKH di sini.

“Wanita Asia sangat mementingkan idea perkahwinan dan menjadi seorang ibu dan isteri yang sempurna. Jadi, isu MRKH ini sangat mencabar,” katanya.

MRKH Malaysia sebagai sebuah kumpulan sokongan

Semasa MRKH Malaysia ditubuhkan, kumpulannya hanya mempunyai 3 orang ahli termasuk dirinya sendiri. Selebihnya adalah mereka yang mendekatinya selepas melihat Wani bercakap mengenai MRKH di dalam sebuah rancangan televisyen.

“Selama ini, pendedahan saya kepada wanita MRKH yang lain hanyalah melalui Skype. Pengalaman bertemu mereka secara fizikal adalah sangat menyentuh hati. Kami semua menangis.” Itulah sebabnya Wani sangat gigih dalam usahanya meningkatkan kesedaran di dalam masyarakat.

Sehingga kini, MRKH Malaysia mempunyai 85 orang ahli dan banyak lagi permohonan sedang menunggu penilaiannya. Kumpulan ini telah menjadi sebuah kumpulan sokongan untuk wanita MRKH dan topik yang sering dibincangkan adalah topik keibuan.

MRKH dan alam keibuan

Wani tegas menyatakan bahawa wanita MRKH bukanlah seorang mangsa. Mereka juga boleh hidup seperti wanita lain, sebagai isteri dan ibu. Wani sendiri adalah seorang ibu kepada anak angkat lelaki berumur 7 tahun yang dijaganya semenjak bayi. Beliau juga menyediakan pelbagai informasi dan sokongan kepada ahli yang memerlukan sokongan emosi apabila berhadapan dengan impak sosial, fizikal dan emosi dek kerana MRKH.

Saya sangat kagum dengan semangat waja Wani dalam usaha advokasi MRKH dan pandangannya yang sangat positif.

“Saya mahu wanita MRKH tahu bahawa mereka tidak perlu hidup dalam kesunyian atau dipinggirkan kerana MRKH. Dahulu itu mungkin adalah satu-satunya cara, tetapi kini ada banyak cara untuk meningkatkan kualiti kehidupan kita.”

Wani Ardy serta suaminya

Apa yang Wani Ardy mahu anda tahu:

Bagaimanakah saya mengetahui jika saya menghidap MRKH? Apakah simptom-simptomnya?

Tanda terbesar anda mungkin menghidapi MRKH ialah apabila anda tidak pernah datang haid walaupun sudah mencapai umur 17 tahun. Jika haid anda tidak teratur, atau tiba-tiba berhenti untuk setahun contohnya, anda bukan penghidap MRKH. Wanita dengan MRKH tidak akan dan tidak pernah mengalami haid sehingga dewasa.

Saya rasa saya ada MRKH, apakah yang perlu saya lakukan?

Aturkan janjitemu dengan pakar obstetrik dan ginekologi (ob-gyn) dan terangkan padanya kerisauan anda. Jika boleh, cuba dapatkan konsultasi dari PPUKM kerana ia adalah satu-satunya hospital di Malaysia yang mempunyai penyelidik MRKH. Anda boleh meminta ujian ultrasound dan laparoskopi – sebuah prosedur di mana sebuah kamera dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj.

Jika didiagnosis dan anda memerlukan sokongan, lawati MRKH Malaysia. Anda perlu menunjukkan laporan perubatan anda untuk masuk ke dalam kumpulan ini.

Bolehkah saya mempunyai anak sendiri?

Sehingga kini, wanita MRKH hanya mempunyai 2 pilihan untuk mempunyai anak sendiri secara biologikal. Opsyen yang ada adalah melalui ibu tumpang atau “surrogacy” atau kaedah “uterine transplant.” Namun begitu, ibu tumpang tidak sah di sisi undang-undang Malaysia dan pembedahan “uterine transplant” tidak ada di Malaysia.

Ini adalah kerana perbincangan yang masih belum membuahkan hasil di antara kerajaan dan badan agama Islam untuk mendapatkan fatwa mengenai prosedur ini. Jadi, untuk kebanyakan wanita MRKH, mengambil anak angkat adalah opsyen terbaik.

Bolehkah saya menikmati hubungan seks dengan pasangan saya?

Setiap wanita berhak menikmati hubungan seks yang sihat. Dengan MRKH, terdapat 2 opsyen untuk melakukannya. Satu adalah cara bukan pembedahan yang dikenali sebagai “dilation therapy”. Ini melibatkan penggunaan “dilator” untuk menghasilkan laluan faraj yang lebih dalam untuk tujuan hubungan kelamin. Satu lagi adalah kaedah pembedahan yang menghasilkan faraj untuk wanita MRKH yang dikenali sebagai vaginoplasty. Tentunya dengan perancangan dan rawatan, anda boleh menikmati hubungan seks.

 

Oleh 

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia

Sejak menjadi seorang ibu, adakah anda menyedari bahawa anda menjadi semakin pelupa? Ia terjadi pada saya.

Saya sememangnya bukan ibu yang hebat, tetapi saya telah belajar pelbagai cara untuk menguatkan daya ingatan semasa melalui hari-hari yang sibuk sebagai seorang ibu. Saya harap ini dapat membantu para ibu baru di luar sana.

1. Selitkan tugasan rumah ke dalam rutin seharian

Bukan bayi sahaja yang mendapat manfaat daripada rutin. Ibubapa juga memerlukan rutin dalam melalui hidup seharian. Rutin memberikan peluang untuk anda berfungsi walaupun tidak cukup tidur.

Saya cuba untuk menyelitkan tugasan rumah yang kecil di dalam rutin seharian saya. Contohnya, selepas memandikan bayi, saya akan terlalu sibuk menyiapkannya sehingga saya lupa untuk membuang air mandiannya. Jadi, saya memandikannya di dalam bilik air saya sendiri supaya saya ingat untuk mengosongkannya semasa saya mandi kemudian.

2. Senarai semak!

Saya sering melancong bersama anak saya, jadi saya sudah terbiasa menyiapkan segala-galanya. Untuk mengelakkan dari lupa, saya ada senarai semak khusus untuk barangan anak saya dan saya simpan di dalam begnya.

Senarai semak ini sangat membantu saya, sehinggakan saya membuat satu senarai khusus untuk inventori barangan rumah saya. Sungguh, saya tak mampu mengingati berapa gulung tisu tandas yang tinggal di dalam stor saya!

Tips: Gunakan laminasi pada senarai anda supaya ia boleh ditanda dengan pen papan putih dan dipadamkan dengan mudah.

3. Susun dengan rapi

Saya sebenarnya seorang yang penyepah. Tapi dengan kehadiran anak, saya telah bertukar  dan mula menyusun barang saya dengan rapi. Kini saya dapat menjimatkan lebih banyak masa dan tidak perlu tercari-cari barangan yang saya perlukan. Kalau barangan saya bersepah seperti dulu, tentu anak saya akan berkeliaran dalam keadaan berbogel!

4. Gunakan alat pemasa

Pernahkah anda lupa mengenai makanan yang dipanaskan di atas dapur? Saya pernah. Selalunya saya jangkakan saya sempat menunggu bubur anak saya siap sementara dia tidur. Tiba-tiba dia terbangun dan menangis dan saya terpaksa meninggalkan dapur lalu saya terus lupa! Ini sangat berbahaya kan? Ibu saudara saya telah mengajar satu tip yang sangat berguna: Gunakan alat pemasa setiap kali anda memanaskan sesuatu di atas dapur. Ia akan mengingatkan anda mengenainya!

5. Labur dalam produk yang menjimatkan masa dan tenaga

Perkakasan yang bijak dan tidak memerlukan perhatian seperti pengukus automatik dan pensteril botol yang padam sendiri adalah wajar dimiliki. Periuk “crockpot” juga sangat sesuai kerana ia membantu memasak sup dan gulai sementara anda sibuk dengan pekerjaan lain.

6. Tetapkan papan kenyataan keluarga

Sebuah papan kenyataan atau sudut keluarga adalah di mana anda boleh meletakkan pelbagai informasi berkenaan keluarga seperti nombor telefon kecemasan dan kalendar untuk setiap ahli. Setiap ahli keluarga tentu mempunyai komitmen yang berbeza setiap minggu, jadi elok untuk mempunyai satu sudut yang boleh menunjukkan kesemuanya. Saya juga mempunyai senarai barang dapur yang sentiasa dikemaskini, jadi sesiapa yang keluar ke kedai akan tahu apa yang perlu dibeli.

Anda ada tips untuk lebih mengingati perkara dengan lebih baik? Kongsi dengan kami di makchic@popdigital.my

Bayi kecil saya menangis lagi. Saya dodoikannya di dalam dakapan saya, memujuknya untuk kembali tidur lena. Tidur seperti bayi? Ah, ini langsung tidak seperti yang saya sangkakan!

Selamat tinggal pada tidur lena. Di fasa trimester keempat (pasca kelahiran), tidur malam yang tidak pernah cukup dan tangisan bayi menjadi perkara biasa dalam rutin harian.

Menurut Ho Wing Yan, pemilik Precious Sleep dan seorang pakar tidur bayi dan kanak-kanak, bayi 1-3 bulan sepatutnya tidur selama 14 hingga 17 jam sehari. Namun, ia tidak selalunya ideal.

Ritma tidur bayi baru lahir selalunya tidak menentu, termasuklah waktu tidur dan bangun yang tidak boleh dijangkakan. Ia tentunya memberikan stres kepada ibubapa baru.

Di sini, kami kongsikan 7 tips yang telah terbukti berkesan untuk membantu anda mengajar bayi anda tidur (dan untuk membantu anda mendapatkan tidur yang cukup!). Jom baca!

Tips tidur 1:

Wujudkan persekitaran tidur yang kondusif

Anak anda menangis tidak berhenti, dan resah untuk tidur. Mungkin dia tidak selesa?

Periksa keperluannya. Adakah dia perlu menukar lampin? Sakit perut? Terlalu panas atau sejuk?

Bayi baru lahir sangat sensitif dan tidur mereka selalunya boleh dibantu dengan menukar persekitarannya. Cuba ambil kira faktor-faktor ini:

Lampu & Cahaya: Lampu dan cahaya membantu dalam menetapkan “circadian rhythm” anak anda. Ia juga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bayi tidur dengan mengurangkan fokus kepada gangguan luar.

Suhu: Sentiasa tetapkan suhu bilik pada suhu yang selesa. Rasa suhu di leher bayi anda. Jika terlalu panas, dia akan berpeluh. Jika terlalu sejuk, pakai pakaian yang lebih sesuai seperti “sleeping bag” atau baju tidur lengan panjang.

Pakaian tidur dan katil: Ada bayi yang tidak gemarkan bau yang terlalu kuat (contohnya bau sabun pakaian yang digunakan). Ada juga yang berasa tidak selesa dengan pakaian mereka (tag baju atau zip yang merengsakan). Gunakan sabun pakaian yang lembut yang dikhaskan untuk bayi, dan periksa pakaian mereka jika terdapat perkara-perkara yang mengganggu keselesaan mereka.

Ada kajian yang menunjukkan bahawa bayi menunjukkan respon positif terhadap bau ibunya sendiri. Ini membuatkan mereka berasa selamat dan lebih mudah terlena. Anda boleh cuba tidur dengan pakaian tidur mereka untuk memindahkan bau anda kepada baju bayi anda. Cubalah!

Tips tidur 2

Kenali tanda-tanda bayi kepenatan

Ada ibubapa yang cuba memenatkan bayi mereka di waktu siang hari. Namun, tahukah anda bahawa bayi yang terlalu penat jugak tidak akan boleh tidur dengan mudah?

Pada 6-8 minggu pertama, bayi anda tidak mampu berjaga lebih dari 2 jam. Jika ini berlaku, bayi anda mungkin menjadi terlalu penat dan susah untuk dia tidur semula. Jadi, cara yang paling elok ialah dengan menegenalpasti tanda-tanda bahawa bayi sudah mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Tanda-tandanya adalah seperti:

  • Mata merah atau berair
  • Menggaru-garu muka atau telinga
  • Melentokkan badan atau menguap banyak kali
  • Tidak duduk diam dan mula cerewet
  • Tidak lagi berminat dengan aktiviti dan tidak menghiraukan orang atau objek di sekeliling

Jika bayi menunjukkan tanda-tanda ini, anda bolehlah mempersiapkan mereka untuk tidur.

Tips tidur 3:

Gunakan rutin makan-bangun-tidur

Berhati-hati jika anak anda tidur sejurus selepas menyusu. Ia nampak seperti tidak apa-apa, tetapi sebenarnya ia mengganggu kebolehan mereka untuk tidur sendiri.

Cuba ikuti rutin makan-bangun-tidur seperti yang dicadangkan di dalam buku book On Becoming Babywise . Kaedah ini mencadangkan supaya bayi mengikut rutin makan, bangun/aktif dan kemudiannya tidur.

Masukkan waktu bermain di antara waktu makan dan tidur supaya anda dapat mengelakkan tabiat menyusu untuk tidur. Ia juga menggalakkan mereka minum dengan kenyang dan tidak mengaitkan waktu menyusu dengan tidur.

Tips tidur 4

Elakkan stimulasi keterlaluan

Dunia di luar sana sangat luas, oleh itu anak kecil anda tentu mempunyai pelbagai perkara untuk diproses di dalam mindanya. Walaupun sangat penting untuk kita menggalakkan minda dan derianya belajar, ingat bahawa stimulasi yang keterlaluan boleh memberi impak negatif kepada corak tidurnya.

Jadi, apakata kurangkan aktiviti apabila hampir kepada waktu tidur siang atau tidur malam?  Kurangkan cahaya, bunyi-bunyian yang kuat dan berikan ruang selesa dan senyap untuk membantu anak tidur.

Tips tidur 5:

Bezakan antara siang dan malam

Orang dewasa mempunyai “circadian rhythm” yang membantu kita bangun di waktu siang dan mengantuk di waktu malam. Namun bagi bayi yang baru lahir, ia mengambil masa 2-4 bulan untuk ritma ini terbentuk dan untuk badannya menghasilkan hormon tidur melatonin dan kortisol.

Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih cepat beradaptasi sekiranya ibubapa memberi mereka persekitaran yang membantu mereka mengenali waktu siang dan waktu malam.

Jadi, pada waktu siang, cuba:

  • dedahkan bayi pada cahaya semulajadi
  • tingkatkan aktiviti interaktif dan bermain
  • Bangunkan mereka perlahan-lahan jika mereka mula tidur sewaktu makan

Pada waktu malam pula:

  • kurangkan interaksi dengan bayi
  • kurangkan cahaya dan bunyi
  • Amalkan rutin waktu tidur untuk memberitahu bayi bahawa waktu tidur sudah tiba

Lama kelamaan, bayi akan faham bahawa waktu siang adalah waktu bermain dan waktu malam adalah rehat/tidur.

Tips tidur 6

Kenalkan rutin waktu tidur yang tenang

Mempersiapkan bayi setiap malam akan membantu mereka tidur dengan tenang. Ada pelbagai cara atau ritual seperti:

  • mandian suam
  • urutan bayi
  • mendodoi
  • membaca buku

Jika anda menyusu, sesi menyusu sebelum tidur akan memberikan mereka ketenangan. Melatonin di dalam susu ibu boleh menghantar signal mengantuk kepada bayi untuk dia berehat dan tidur.

Tips tidur 7

Gunakan alat bantuan tidur

Ramai ibubapa risau mengenai tabiat tidur yang tidak sihat semenjak usia bayi dan mengelakkan dari menggunakan alat bantuan tidur untuk bayi mereka. Namun begitu, Wing Yan mengatakan bahawa tabiat tidak sihat ini tidak akan terjadi pada umur yang muda (kurang dari 4 bulan).

“Bayi baru lahir masih belum pandai tidur dan mungkin memerlukan alat bantuan tidur untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Cuba cari keseimbangan di sini. Apa yang paling penting ialah bayi mendapat cukup tidur untuk perkembangannya”

Jadi, cuba gunakan:

Bedung bayi. Bayi baru lahir seringkali terkejut dan bangun dari tidur kerana tindakbalas Moro. Para pakar perubatan menggalakkan penggunaan bedung untuk memberi bayi anda rasa selamat dan selesa. Bedung membuatkan mereka rasa seperti di dalam rahim ibu juga.

Mesin bunyi. Sebagai orang dewasa, kita dah terbiasa dengan tidur di dalam suasana yang sunyi. Sebenarnya, bayi di dalam rahim pula sudah terbiasa dengan bunyi-bunyian di dalam badan ibunya. Jadi bunyi “ambiant” dari mesin “white noise” boleh memberikan ketenangan kepada bayi. Ia mengingatkan mereka kepada rahim ibu dan membantu tidur dengan lebih tenang.

Puting. Walaupun penggunaan puting sering diragui, namun pakar tidur bayi sebenarnya menggalakkan penggunaannya. Ini kerana puting memberikan ketenangan kepada bayi baru lahir kerana ia membantu tindakbalas refleks menghisap semulajadi. Puting yang digunakan semasa tidur juga boleh mengurangkan risiko bayi mati dalam tidur (SIDS). Jangan risau, bila sampai masanya anda boleh cuba memisahkan putih dari bayi dengan tips berguna di sini.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Seperti saya, mungkin suatu masa dahulu, definisi “date night” anda bermakna perbualan panjang bersama suami sambil menikmati makan malam yang lazat. Sebelum itu, anda mungkin sempat mengambil masa untuk bersedia, sempat mandi dengan tenang tanpa gangguan dan bersiap-siap memakai pakaian cantik dan bergaya.

Sembilan tahun berlalu, dan kini dengan kehadiran seorang anak kecil dan seorang bayi, kita tiada lagi masa untuk semua itu. Selepas seharian penat bekerja, kita hanya mahu tidur dan berehat sepuasnya kan?

Eh, tunggu dulu.

Saat-saat romantis yang pendek sebenarnya masih boleh memberikan makna yang mendalam. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, ia sering diabaikan dek kesibukan hidup seharian. Masa berkualiti bersama pasangan masih boleh dilakukan dengan sedikit usaha dan perancangan. Tak semestinya sesuatu yang besar-besaran, sedikit masa terluang bersama pasangan tanpa anak-anak pun sangat bermakna.

1. Menonton filem atau bermain permainan di rumah

Yang ini senang sahaja. Pastikan anak-anak tidur awal, pilih filem kegemaran anda dan sediakan makanan kegemaran untuk dinikmati. Jika anda bukan penggemar filem, apakata bermain permainan yang sama-sama digemari? Contohnya, permainan keluarga seperti Sahibba atau Monopoli.

2. Cipta ruangan baru untuk dinikmati bersama

Walaupun meja makan kami cantik dan kukuh, hari-hari makan di tempat yang sama boleh menjadi bosan juga. Cuba sediakan ruang makan baru di luar rumah seperti di patio atau balkoni. Hiasi ruang itu dengan lilin dan lampu yang boleh memberikan rasa “whimsical”.

Tak mahu berpeluh-peluh di luar? Apakata berkelah di hadapan TV atau di ruang tamu dan hidangkan makanan yang biasa anda makan ketika berkelah di luar.

3. “Date night” tak semestinya di waktu malam.

Selalunya rutin tidur anak-anak sentiasa menjadi panjang berjela kerana pelbagai ragam dan kerenah mereka. Jadi, “date night” di waktu malam mungkin agak sukar untuk dilakukan. Cubalah keluar di waktu tengahari. Anda ada bayi? Letakkannya di dalam “stroller” dengan harapan dia tidur dan anda ada masa sejam untuk dinikmati bersama pasangan.

4. Pelbagaikan pilihan

Makan malam di luar kadangkala bukan sesuatu yang anda mahu lakukan. Mungkin anda lebih gemar siapkan makan malam dan makan bersama anak-anak dahulu sebelum anda keluar bersama. Pada saya, saya lebih selesa dengan cara ini.

Jadi, selepas makan malam, dapatkan bantuan dari ahli keluarga atau penjaga untuk tengok-tengokkan anak yang sudah tidur, dan anda boleh keluar bersama pasangan untuk menikmati kopi atau aiskrim di luar.

Apa sahaja yang anda lakukan, ingat, objektif utamanya ialah untuk meluangkan masa berkualiti bersama pasangan. “Date nights” atau aktiviti seperti disarankan dia atas adalah cara yang mudah untuk mengukuhkan hubungan suami isteri dan merapatkannya kembali.

Sudah tentu kita sayangkan anak-anak, tetapi masa berkualiti sebagai pasangan suami isteri juga sangat penting untuk kesejahteraan rumahtangga dan keluarga.

 

Melahirkan seorang bayi adalah sesuatu yang membahagiakan, namun berat badan berlebihan yang datang dengannya bukanlah sesuatu yang dimahukan! Walaupun hati ingin turunkan berat badan dengan ekspres cara “crash diet” persis selebriti, hakikatnya proses yang terlalu cepat sebenarnya tidak elok untuk badan dan boleh mengganggu penyusuan.

Guru yoga saya sentiasa mengingatkan ini kepada para pelajarnya:

“Berat badan anda mengambil masa 9 bulan untuk naik , jadi anda perlu memberi masa kepadanya untuk balik semula kepada berat badan yang ideal!”

Jadi, jangan panik. Tarik nafas dan ambil langkah-langkah kecil dan mudah untuk menurunkan berat badan berlebihan secara sihat:

1) Minum banyak air!

Sangat penting untuk anda minum cukup air, terutamanya jika anda menyusu. Meminum air secukupnya sepanjang hari membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dan membantu badan menyerap vitamin dan mineral penting dari makanan. Rasa dahaga seringkali disalaherti sebagai kelaparan, jadi minum cukup air untuk mengelakkan daripada makan snek dengan kalori berlebihan.

Air teh, minuman bergas dan kopi adalah diuretic yang boleh mengeluarkan air dari badan dan mengurangkan serapan nutrisi. Jadi, minumlah air kosong dan cuba tambah perisa dengan hirisan buah lemon, pudina atau buah beri beku.

2) Cuba menyusu bayi anda

Menyusu dikatakan dapat membantu ibu kembali kepada berat badan yang ideal. Apabila anda menyusu, rahim dan tisu di sekitarnya mengecut dan secara tidak langsung anda sedang melakukan aktiviti anarobik! Bayi anda mendapat nutrisi dari susu terbaik untuknya dan badan anda membakar kalori sedikit demi sedikit. Ramai ibu menyusu mengatakan mereka mudah untuk hilang berat badan apabila menyusukan bayi.

3) Berehat dan bertenang

Bulan-bulan pertama dengan bayi anda adalah sangat mengujakan namun sangat memenatkan kerana anda tidak cukup tidur. Ambil masa untuk tidur dan berehat setiap kali ada peluang. Tidurlah ketika bayi anda tidur dan jangan malu untuk meminta pertolongan jika anda memerlukannya. Anda boleh cuba berurut, mendengar alunan muzik yang menenangkan, bermeditasi dan lakukan teknik pernafasan yang mendalam. Semakin anda bertenang, semakin banyak tenaga dihasilkan untuk bayi. Anda mungkin juga bertenaga untuk membuat senaman ringkas.

4) Bersenam

Walaupun tidak disyorkan untuk terus melakukan senaman impak tinggi selepas kelahiran anak, cuba untuk melakukan senaman yang lebih lembut dan ringan sebaik sahaja mendapat kebenaran dari doktor. Bawa bayi keluar berjalan-jalan sambil menyedut udara segar – ia penghilang stress yang sangat mujarab! Yoga dan meditasi juga adalah cara yang elok untuk lebih berhubung dengan emosi dan fizikal. Tak semestinya perlu melompat dan menari untuk menghilangkan berat badan. Ia mungkin sukar untuk mencari tenaga dan masa, jadi mula dengan kecil-kecilan dan kekal aktif setiap hari. Mesti ada hasilnya!

5) Makan dengan sihat

Melakukan “diet” selepas melahirkan sebenarnya bukan idea yang bagus. Tak kira jika anda menyusu atau tidak, anda perlu fokus pada pilihan makanan yang betul dan penuh nutrisi, bukan mengira kalori. Badan anda memerlukan tenaga untuk sembuh selepas proses kehamilan dan melahirkan bayi, jadi pastikan anda makan dengan sihat dan betul.

Pelan pemakanan terbaik dan seimbang pasca kehamilan hendaklah mengandungi protein berkualiti (telur, ikan, ayam), lemak sihat (kekacang, minyak kelapa, minyak zaitun), sayur dan buah-buahan yang banyak dan bijirin penuh (beras perang, quinoa).

Jika anda menyusu, bayi anda mungkin sensitif kepada sesetengah jenis makanan. Jadi pantau bayi anda jika dia ada mengalami sebarang reaksi terhadap makanan anda dan cuba sesuaikan. Makan 3 kali sehari (sarapan, makan tengahari, makan malam) dan 1-2 snek sihat di antara waktu makan utama.

Menjadi ibu buat kali pertama merupakan salah satu pengalaman terindah yang berlaku dalam kehidupan seorang wanita. Bermula daripada perkhabaran gembira kehadiran janin dalam perut kita, hinggalah saat diusung ke dalam dewan bersalin, semuanya pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Pengalaman ini juga berbeza bagi setiap individu, begitu juga dengan proses tumbesaran anak-anak.

Sebagai seorang ibu, sudah tentu kita hanya mahukan yang terbaik untuk tumbesaran anak kita. Begitu juga halnya dengan Jihan Muse, selebriti dan pengacara terkenal tanahair. Jihan berkongsi dengan makchic suri pengalaman sebagai ibu kepada buah hati pengarang jantungnya, Ungku Arsalan Haq atau panggilan manjanya Baby Ninja.

Pengalaman mengandungkan Arsalan

Pada mulanya, saya berasa gementar dan gembira pada masa yang sama. Walaupun saya mempersiapkan diri sebanyak mungkin, saya bersedia juga untuk tidak terlalu berharap untuk mengikut apa yang dirancangkan lebih awal. Penting untuk mengingatkan diri kita supaya tidak tertekan dan menikmati saat-saat apa adanya.

Motherhood tidak selalu mengikut apa yang kita rancangkan tetapi kaum ibu mempunyai naluri keibuan yang kuat dan kita tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Saya cuba mengingatkan diri untuk mempercayai naluri itu.

Momen indah bersama Arsalan

Semua momen dan kenangan bersama Arsalan tidak ternilai bagi saya. Tetapi memori paling bermakna bagi saya adalah apabila Arsalan mula menyebut Bonda, walaupun waktu itu dia hanya boleh menyebut ‘bomba’. Memori itulah sangat best.

Sebenarnya tempoh PKP adalah masa yang saya nanti-nantikan kerana saya sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Kerana kami sekarang lebih di rumah, kami dapat meluangkan lebih masa berkualiti bersama-sama. Saya amat menghargai waktu ini kerana dapat lihat sendiri tumbesaran Arsalan setiap hari.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah

Masa berlalu begitu cepat. Selalu saya terfikir janganlah membesar terlalu cepat wahai anakku tetapi tidak mungkinlah itu berlaku.

Saya dan suami membawa Arsalan berenang setiap minggu (sebelum PKP), mengajarnya mengira, ABC dan melukis untuk menggalakkan perkembangan minda. Buat masa ini Arsalan meminati dinosaur dan kami akan menonton dan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang ada dinosaur untuk membantu Arsalan belajar nama-nama dinosaur.

Selain itu, saya akan cuba pastikan Arsalan dapat tidur yang cukup, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan untuk memastikan badannya dilindungi oleh sistem imun yang kuat.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ahli keluarga perlu bekerjasama, bergantung pada satu sama lain untuk mendapat sokongan dan berkongsi tanggungjawab menjaga anak. Lebih mudah untuk kita atasi sebarang dugaan dalam hidup jika ada keluarga sebagai sokongan.

Cabaran paling  sukar sepanjang menjadi seorang ibu

Sekarang ini, cabaran paling besar saya ialah kerenah Arsalan yang cerewet makan, dan masalah ini mungkin selalu dihadapi oleh ibu bapa lain. Saya merasa bimbang Arsalan tidak mendapat semua nutrien-nutrien. Perkembangan awal kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk anak-anak kecil dan nutrisi atau pemakanan ialah salah satu cara penting untuk membantu anak-anak kita membesar secara sihat dan aktif, dengan sistem imun yang kuat.

Dalam tempoh ini, suami dan saya mencuba pelbagai jenis makanan dengan Arsalan untuk memahami apa yang dia suka dan tidak suka. Saya belajar untuk bersabar sepanjang proses tersebut dan pada masa yang sama memastikan bahawa Arsalan mendapati nutrisi yang mencukupi semasa fasa ini.

Baru-baru ini, saya mendapat nasihat yang bernas daripada acara siaran langsung (livestream) Facebook yang saya sendiri kendalikan untuk Enfagrow A+ MedTalk bersama Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Runding Pediatrik Perkembangan dan Am dari Klinik Pakar Kanak-Kanak Baby and Beyond di Kuala Lumpur. Dalam sesi tersebut, Dr Rajini berkongsi petua untuk menguruskan anak yang cerewet makan, dan saya suka dengan cadangannya untuk membuat seni penyediaan makanan agar proses menjamu selera lebih menyeronokkan dan menceriakan bagi anak-anak kita. Disamping itu juga, ‘MyHealthy Plate’ boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyediakan makanan seimbang dalam jumlah yang sesuai.

Dengan mengetahui ramuan dalam pemakanan anak, ia membantu saya merancang makanan yang lebih baik dan sihat untuk Arsalan. Terdapat banyak nutrien yang berkhasiat seperti MFGM Complex (Milk Fat Globule Membrane) yang menyokong pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak.

Saya dan suami akan mencari jalan terbaik untuk menegur dan menerangkan kepada Arsalan. Suami saya juga memainkan peranan dan saya bersyukur kerana dapat melakukan semua ini bersama. Pengalaman menjaga anak lebih mudah apabila kita saling membantu.

Makanan wajib Arsalan di rumah

Saya akan cuba menyediakan makanan yang mengandungi nutrien-nutrien penting untuk Arsalan supaya dia membesar dengan sewajarnya dan mempunyai sistem imun yang kuat. Biasanya saya merancang menu lebih awal dan menyediakan pelbagai kumpulan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat seperti nasi dan mi dan protein seperti daging tanpa lemak.

Aktiviti favourite bersama Arsalan

Kami sekeluarga meluangkan banyak masa bersama dan saya percaya ini dapat membantu perkembangan mental anak serta keyakinan mereka.

Saya dan suami biasanya membawa Arsalan pergi berenang bersama-sama. Dalam tempoh PKP, oleh kerana tidak dapat berenang di luar, kami telah membuka mini pool di depan rumah dan kami seronok bermain dengan Arsalan.

Antara kerjaya dengan anak

Kita perlu membahagikan masa dengan baik antara kerja dan keluarga. Pengurusan masa itu amat penting – setelah menjadi ibu saya telah menyesuaikan jadual kerja untuk pastikan waktu kerja saya hanya lapan jam sehari. Sekarang, saya hanya menerima satu tugasan sehari kerana sudah tidak dapat bekerja sehari suntuk seperti dulu. Selain itu, jika saya bertugas pada waktu malam, saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada waktu pagi dan petang.

Dengan mengatur jadual lebih awal, saya boleh menyusun dan menetapkan rutin dalam kehidupan harian. Saya biasanya merancang jadual harian lebih awal dan menyediakan menu dan aktiviti anak terlebih dahulu, kerana langkah ini membolehkan saya menjimatkan masa dan mempersiapkan diri untuk sesuatu yang tidak dijangka kemudian.

Harapan dan impian buat Arsalan

Saya enjoy menjadi ibu kepada Arsalan. Kalau boleh saya tak nak lepaskan peluang melihat dia membesar di depan saya. Bagi saya, motherhood adalah satu kebahagiaan dan kepuasan Arsalan.

Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik untuk anak saya dan saya mahu menjadi bentuk sokongan yang terbaik untuk dia. Pada masa ini, Arsalan adalah keutamaan saya dan keperluan anak saya melebihi diri saya sekarang ini.

Saya ingin memastikan bahawa Arsalan mempunyai gaya hidup yang sihat dan aktif, perkembangan mental yang baik, imun badan yang kuat, banyak cinta dan masa keluarga.

Paling penting, saya harap dia menjadi seorang yang berakhlak, beradab dan menghormati orang-orang tua. Sebagai ibu bapa, kita adalah guru pertama anak kita dalam kehidupan. Ia sangat penting untuk kita mengamalkan nilai-nilai murni yang baik sebagai contoh kepada anak-anak kita.

 

Kredit foto: Jihan Muse 

Tempoh Perintah Pengawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan. Setelah lebih 3 bulan kita berada di dalam rumah, kini kita dibolehkan keluar, dengan syarat mematuhi SOP yang disarankan oleh kerajaan. Semasa berada di rumah, kita cenderung untuk memakan makanan yang berat, dengan kandungan minyak, gula, lemak, garam dan kalori yang tinggi tanpa kita sedari. Ini boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Kita juga boleh lebih terdedah kepada risiko masalah susah tidur (insomnia), kemurungan, penghadaman, gastrik dan sembelit.

Di sini, pakar dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri berkongsi tip-tip mudah untuk kita kekal ceria, sihat dan positif semasa tempoh PKP ini:

1. Mulakan hari anda dengan makanan yang berprotein, berserat (fibre) dan buah-buahan

Sebaik-baiknya kita merancang meal plan seharian. Ambil makanan yang mengenyangkan, iaitu makanan yang ada protein dan serat seperti oats, telur, dan lain-lain. Bukan mendahulukan makan yang ‘menggembirakan’. Perlu juga mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran segar supaya diet harian kita menjadi seimbang dan dapat melawaskan sistem penghadaman kita.

Kredit foto: Jill Wellington

2. Minum Air yang Mencukupi

Semasa kita berada di rumah, kita tidak terkecuali untuk mengambil pelbagai makanan yang berat, pedas, berminyak dan berkalori tinggi. Kita amat digalakkan untuk minum air biasa (plain water) dengan secukupnya dan elakkan minuman air soda, manis dan bikarbonat dengan kerap. Anda perlu ingat, kafein dan gula di dalam minuman bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika kita mengambil minuman yang manis dan bikarbonat seperti coke, sirap soda dan sebagainya dan disulami dengan segelas air biasa, sekiranya kita masih merasa dahaga. Kita boleh juga mengambil minuman ‘O’ tanpa gula seperti kopi atau teh ‘O’.

3. ’20 Minute Rule

Pada kebiasaannya, kita akan mengambil 20 minit untuk berasa kenyang. Jadi ambil masa anda, tidak perlu terburu-buru dan nikmatilah makanan anda. Kita tahu bahawa ‘rasa kenyang’ akan menyusul nanti.

4. Bangkitkan mood dengan senaman yang cergas

Anda boleh memulakan senaman ringan di rumah atau keluar berjogging atau brisk-walking, dengan mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi SOP PKP yang disarankan kerajaan. Anda boleh membuat senaman renggangan otot (stretching exercises), ‘lunges’, ‘squats’, lari setempat, lompat guna ‘skipping rope’, dan sebagainya.

Anda boleh juga melayari laman YouTube bagi mendapatkan saluran senaman tarian seperti zumba, salsation, piloxing atau yoga dan pilates mengikut kesesuaian dan kemampuan anda. Ini dapat mengeluarkan peluh, memulihkan peredaran darah dengan baik, mengurangkan tekanan serta meningkatkan endorfin dan membangkitkan mood ceria pada hari tersebut. Bersenam dengan konsisten juga membantu untuk mendapatkan kualiti tidur yang baik.

5. Singkirkan ‘lemak jahat’ dengan tidur yang berkualiti

Salah satu rahsia hidup sihat adalah tidur yang mencukupi dan berkualiti. Ia dapat meningkatkan impak yang positif di dalam kehidupan kita dan sistem imun badan yang baik pada masa jangka panjang. Semasa tubuh badan dan minda kita sedang berehat, maka segala proses detoksifikasi serta pembaikan dalam badan akan berlaku dengan baik dan secara optimum. Tidur yang mencukupi juga menggalakkan proses pembakaran lemak dengan lebih efisyen dan badan kita dapat menyingkirkan ‘lemak jahat’ dengan jayanya.  Kekurangan tidur boleh melemahkan dan menambahkan stress kemampuan badan untuk berdepan dengan serangan bakteria dan virus.

6. Mempertingkatkan imuniti sistem badan

Pengambilan makanan berasaskan probiotik seperti cuka epal sider (apple cider vinegar), yogurt, kombucha, kimchi, dan sebagainya membekalkan jutaan bakteria sihat yang sentiasa merangsangkan system imuniti untuk menjadi lebih aktif. Bagi mereka yang ingin mengambil sumber makanan atau supplemen untuk meningkatkan imuniti badan boleh mengambil vitamin A, B6, B12, C, D dan E, atau dengan kata mudah, anda boleh pelbagaikan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Serta kurangkan dan berhentilah daripada merokok. Tabiat merokok juga dapat melemahkan sistem paru-paru dan imuniti badan, dan disyaki akan lebih cenderung kepada penyakit influenza dan pneumonia.

Kredit foto: Silvia Rita

7. Kekal aktif tanpa senaman

Pelbagai aktiviti boleh anda lakukan di rumah yang boleh merapatkan dan menceriakan hubungan anda sekeluarga dan membakar kalori pada masa yang sama. Contohnya bermain dengan anak-anak sambil gelak ketawa, menaiki  tangga, membuat kerja rumah seperti mop dan vakum, membasuh baju serta menyusun barang.

Jangan lupa, mengadakan hubungan kelamin bersama pasangan anda juga boleh membakar kalori yang banyak.

8. Berfikiran positif, buat keputusan yang lebih baik

Kesihatan bukan hanya terhad kepada diet dan senaman. Ia juga melibatkan apa yang kita tanam dan semat di dalam minda dan hati kita. Menurut psikologi, setiap sel di dalam badan kita memberi reaksi kepada segala apa yang minda kita katakan. Sebaliknya, berfikiran negatif akan memberi impak yang mendalam dan akan menurunkan paras sistem imun tubuh badan kita. Semuanya bermula dengan kita dan pemikiran kita.

Semoga tip-tip ini dapat membantu anda dalam hidup seharian anda. Sila kongsi tip-tip ini dengan rakan-taulan serta keluarga anda. Jaga diri #kitajagakita.

Aktiviti bermain memainkan peranan yang sangat penting dalam tumbesaran anak-anak.

Ruang bermain khusus untuk anak-anak boleh membantu dalam penyusunan permainan, buku dan memastikan lantai sentiasa kemas. Selain itu ia juga memberikan ruang untuk anak-anak bermain secara kreatif dan bertenaga.

Dengan tularnya virus Covid-19 dan kita diarah untuk duduk di rumah, mungkin  ini waktu terbaik untuk menyediakan ruang bermain atau “playroom” untuk anak-anak anda.

Di mana harus saya wujudkan ruang bermain ini?

  • Gabungkan ruang bermain dengan ruang tamu, atau, cipta ruangan yang lebih terbuka. Anda haruslah boleh memerhatikan anak-anak dari ruangan lain di dalam rumah. Anak-anak yang senyap sunyi tanpa suara selalunya menandakan mereka sedang melakukan sesuatu yang nakal atau berbahaya!
  • Asingkan ruang bermain dengan bilik tidur. Ini mewujudkan tabiat tidur yang lebih baik tanpa gangguan dari barang permainan mereka.
  • Jangan risau jika ia bersepah! Gunakan storan yang sesuai di ruang bermain. Ia sangat membantu dalam menyusun dan mengemaskan permainan.

Bagaimana saya bermula?

Objektif dan tema : Kenalpasti tema dan fungsi utama setiap sudut di ruang bermain . Contohnya, ruang penyimpanan permainan, tempat bermain “puzzle”. Untuk tema, mungkin anda sukakan tema pelangi atau warna-warna yang lebih neutral.

  • Gunakan pelapik lantai lembut yang selamat untuk anak-anak
  • Lampu dan cahaya haruslah terang dan secukupnya
  • Storan : Sediakan storan yang sesuai untuk permainan supaya anak dapat belajar menyimpan permainan di tempat yang betul
  • Kerusi dan meja : Bermain di atas lantai lebih sesuai untuk bayi kecil. Penggunaan kerusi dan meja pula lebih sesuai untuk yang lebih tua (2 tahun ke atas). Ia boleh juga menjadi meja belajar untuk mereka, di samping mengurangkan lenguh jika ibubapa bermain bersama. Anak-anak saya gemarkan Lego, jadi saya telah menyediakan sebuah ruang Lego yang sesuai.
  • Ruang membaca : Gunakan rak buku yang boleh mempamerkan kulit buku hadapan. Anak-anak lebih suka stimulasi visual dan akan memilih buku berdasarkan stimulasi ini. Saya selalu membaca bersama anak sebelum tidur, jadi lokasi rak kami adalah dekat dengan katil.
  • Dinding pameran: Jika anak anda rajin berkarya di sekolah atau kelas seni, gunakan dinding untuk mempamerkan karya mereka.

Apakah permainan yang sesuai?

Ini bergantung kepada umur anak, tetapi tidak bermakna ia terhad kepada cadangan umur di kotak permainan. Beli barang permainan yang tahan lasak dan tahan lama.

Bayi : Blok, mainan berbunyi, alat muzik atau cipta alat permainan yang memberikan eksplorasi deria. Bayi memang akan suka meletakkan permainan di dalam mulut, jadi elakkan mainan yang mempunyai bahagian kecil.

Kanak-kanak kecil dan ke atas: Saya seorang yang sangat percaya konsep bermain sambil belajar. Jadi, permainan yang saya pilih adalah lebih kepada yang mendidik seperti bermain masak-masak, pakaian beragam, teka-teki, Lego, PlayDoh dan barangan seni.

Alat permainan seperti alat memasak kadangkala boleh menjadi terlalu mahal, jadi cuba gunakan perkakasan sebenar yang lebih murah tetapi selamat.

Bilakah anak saya akan bermain sendirian?

Dengan adanya ruang bermain, ia tidak bermakna anda dapat semula masa bersendirian. Hanya segelintir kanak-kanak yang pandai bermain sendiri di usia yang muda kerana kebanyakan dari mereka lebih gemar bersosial dan berinteraksi. Ini adalah perkara yang normal.

Ada juga ibubapa yang mendapati anak mereka cepat bosan dengan permainan hanya selepas 5 minit. Sebenarnya, solusinya adalah bermain dengan mereka dan menggalakkan mereka meneroka dan berimaginasi bersama permainan itu.

Bagaimana untuk menyusun permainan dengan rapi?

  • Susun barangan mengikut keupayaan anak mencari dan mengambil permainan sendiri
  • Bersihkan permainan sekurang-kurangnya sekali seminggu
  • Pamerkan kulit buku hadapan di atas rak
  • Poket kecil di dinding boleh digunakan untuk menyimpan barangan kecil dan halus

Bagaimana untuk menyiapkan ruang yang selamat untuk anak?

Ruang bermain seharusnya berada jauh dari tangga. Jika ada, gunakan pagar keselamatan di atas dan bawah tangga untuk mengelak dari kejadian yang tidak diingini. Pastikan tingkap tidak boleh diakses oleh anak, dan tali langsir disangkut tinggi untuk mengelakkan kejadian tercekik.

Soket elektrik harus dilindungi dan perabot berat hendaklah dipasang kemas dan dilekatkan di dinding supaya ia tidak senang jatuh.

Tukar tema dan susunan beberapa bulan sekali untuk mengubah selera dan minat anak berdasarkan umur mereka.

Akhir sekali, berseronoklah dalam menyiapkan ruang yang penuh potensi ini!


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Terjemahan dan olahan oleh : Ayuni A. 

Kredit foto: keeppy.com, homemydesign.com, preview.homelife.com.au, indoornice.com, Architectural Digest, Sköna Hem.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds