fbpx

LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd), penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan pertama di Malaysia dan sebuah syarikat perusahaan sosial, telah melancarkan e-buku ‘Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak’ Edisi Bahasa Melayu. E-buku ini mengandungi naratif yang mudah difahami serta dilengkapi dengan ilustrasi untuk pembacaan yang menarik. Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak Malaysia tentang wabak COVID-19 ketika ini, LeapEd diberi penghormatan eksklusif untuk menterjemahkan e-buku ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengubah cara kanak-kanak belajar dan juga cara pendidik mengajar.

E-buku ini pada mulanya diterbitkan di United Kingdom (UK) oleh Nosy Crow, penerbit buku kanak-kanak bebas yang memenangi anugerah dan diilustrasikan oleh Axel Scheffler, ilustrator yang terkenal di peringkat antarabangsa melalui ilustrasi ‘The Gruffalo’. Sejak dilancarkan di UK pada April tahun ini, e-buku tersebut telah dimuat turun lebih daripada sejuta kali, dan boleh didapati dalam lebih daripada 60 bahasa.

E-buku ini boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan muat turun di sini. 

Panduan Membaca e-buku Coronavirus

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, LeapEd telah menyokong para pelajar, guru-guru, pemimpin di sekolah dan ibu bapa dalam mengadaptasikan diri mereka untuk berdepan dengan pelbagai perubahan dalam menangani pandemik wabak Covid-19 serta pertukaran pembelajaran daripada bilik darjah kepada pembelajaran secara maya. 

LeapEd juga telah menyediakan Panduan Membaca langkah demi langkah bagi membantu ibu bapa menggunakan buku ini dengan lebih berkesan. Panduan Membaca tersebut merangkumi cadangan cara membaca e-buku ini, bagaimana memulakan perbualan dengan anak-anak, soalan mengenai virus dan pandemik tersebut serta mendorong anak-anak untuk merenungkan keadaan semasa dan langkah-langkah seterusnya yang boleh mereka praktikkan dengan segera. Terdapat juga versi “Read Aloud” yang disampaikan oleh Azalia Suhaimi, penyair Malaysia yang terkenal dengan kaedah menggabungkan fotografi dan puisi.  

Video ini boleh ditonton di sini.

Apakah yang berlaku sekiranya kita dijangkiti Coronavirus?

E-buku ini menerangkan bagaimana sesetengah orang, terutamanya kanak-kanak, tidak mempunyai gejala apabila dijangkiti oleh koronavirus. Mereka yang tiada bergejala adalah pembawa virus ini dalam badan dan boleh menyebarkannya kepada orang lain secara tidak sengaja.

Kebanyakan orang yang dijangkiti koronavirus melalui saluran pernafasan mengalami gejala seperti batuk, demam panas dan kesukaran bernafas selama beberapa hari. Namun disebabkan tubuh badan kita diciptakan secara menakjubkan, sistem imuniti tubuh badan kita juga dilengkapi oleh antibodi yang dapat mengesan virus baharu seperti koronavirus sebagai bendasing dan mula menyerang virus tersebut secara semulajadi. Antibodi badan kita yang kuat merupakan senjata yang terhasil daripada sel kecil dalam darah untuk melawan virus. Setelah antibodi melawan virus tersebut, sel darah akan menelan serta memusnahkannya dan pesakit akan mula berasa sembuh.

E-buku ini juga menerangkan kepada kanak-kanak bagaimana para pakar perubatan, doktor serta para saintis di seluruh dunia juga sedang sedaya upaya mencari penyelesaian untuk menghasilkan vaksin bagi mengubati penyakit berjangkit koronavirus ini dengan cepat dan selamat.

Dengan berbekalkan ubat-ubatan dan teknologi perubatan yang sedia ada, para doktor di seluruh dunia sedang cuba merawat dan membantu pesakit. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti koronavirus akan sembuh dengan sendirinya. Setakat ini, tiada rawatan atau ubat khusus untuk menyembuhkan coronavirus kerana ia adalah penyakit yang baharu. 

Apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu?

Antara tip-tip yang mudah diikuti dan praktikal bagi kanak-kanak mahupun dewasa untuk menjaga diri daripada dijangkiti koronavirus adalah:

  1. Memakai pelitup muka

Pentingnya memakai pelitup muka 3-ply yang baik dan berkualiti yang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh WHO apabila keluar dari rumah dan berada di tempat awam. Ia dapat melindungi diri kita daripada mendapat jangkitan koronavirus melalui saluran pernafasan secara langsung.  Sekiranya diri kita mempunyai gejala koronavirus, kita perlu memakai pelitup muka dan mendapatkan rawatan yang secepat dan seawal yang mungkin juga dapat membendung pernularan korovirus daripada menjangkiti orang lain di sekeliling kita.

        2. Membasuh tangan dengan kerap dan betul

Penjelasan ini mudah difahami bagaimana koronavirus boleh disingkirkan dari tangan kita. Ia memupuk kesedaran di kalangan kanak-kanak akan pentingnya menggunakan sabun dan membilas tangan dengan air apabila membasuh tangan dengan kerap dan betul. Kita boleh menyanyikan lagu – ‘Selamat Hari Jadi’ sebanyak dua kali sambil mencuci tangan sehingga bersih. Penggunaan `hand sanitiser’ juga boleh digunakan sekiranya tiada sabun dan air yang mencukupi semasa kita berada di luar rumah.

  1. Jaga diri dengan mengamalkan penjarakan sosial

Dengan mengamalkan penjarakan sosial apabila berada di luar rumah dan di tempat awam seperti di sekolah, tempat permainan, di pusat membeli belah dan sebagainya, kanak-kanak dapat mengelakkan diri mereka daripada berhubung rapat dengan orang di sekelilingnya. Mereka juga boleh menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.

Ia merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dengan menyediakan platfom bacaan yang baik dan panduan yang ringkas lagi praktikal yang boleh digunakan oleh setiap ahli masyarakat di dunia, terutamanya ibu-bapa, penjaga, ahli keluarga, para guru dan pemimpin komuniti setempat untuk membantu sesama kita di kala masa yang memerlukan ini. 

Kita menyedari betapa besarnya impak golongan kanak-kanak ini boleh lakukan sekiranya mereka memilih untuk menolong seseorang yang memerlukan.  Dengan mengamati “knowledge is power” (ilmu pengetahuan adalah satu kuasa), kita patut menyedari bahawa tiada seorang pun di antara golongan masyarakat akan terpinggir, malah kita perlu berusaha untuk membantu bersama-sama dengan rasa empati, ihsan, dan penuh kebaikan. #kitajagakita

 

Semua imej diambil dari e-buku Coronavirus

Pengarang

Seorang ibu kepada seorang puteri, Erni, kini, memegang pelbagai portfolio sebagai seorang pengamal media dan perhubungan awam, penuntut ‘barista’ separuh masa serta penulis bebas. Beliau amat gemarkan minuman kopi dan desserts, membaca buku serta mengembara dunia sambil bekerja. Erni beraspirasi untuk menyampaikan kandungan kreatif yang positif dan membina secara tulisan dan video dalam berkongsi cerita dan pengalaman hidup buat golongan wanita dan ibu.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds