Setiap ibubapa tentunya mahu menjadi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Hakikatnya, yang terbaik itu adalah subjektif. Walaupun sudah mempunyai ramai anak atau anak-anak sudah menginjak dewasa, kita sebagai ibu bapa masih tercari-cara gaya keibubapaan atau cara mendidik anak yang bersesuaian.

Sebenarnya, tiada satu gaya keibubapaan pun boleh digunapakai sama dengan ibu bapa lain. Ini kerana anak-anak yang lahir walaupun daripada ibu bapa yang sama mempunyai personaliti unik dan tabiat yg berbeza. Keunikan itu menjadikan setiap anak itu istimewa.

Kajian telah mengenal pasti ada 5 fasa perkembangan anak-anak. Gaya keibubapaan dan cara mendidik anak ternyata lebih mudah jika disuaikan dengan setiap fasa perkembangan ini.

Jom baca mengenainya:

  • Fasa pertama: 0 -1 tahun

Bermulanya naluri keibubapaan. Pendidikan sebenarnya sudah bermula dari dalam kandungan. Emosi ibu banyak mempengaruhi emosi anak yang dikandungnya, jadi ibu yg mengandung perlu sentiasa berfikiran positif dan berlapang dada. Bapa pula berperanan dalam memberikan sokongan , layanan yang baik dan bantuan kepada ibu dalam tempoh kehamilan dan kelahiran bayi.

Ibu bapa haruslah bersama-sama melihat perkembangan anak dan mengambil bahagian dalam penjagaan anak seperti berjaga malam, menukar lampin dan sebagainya.

  • Fasa kedua: 1- 3 tahun

Anak-anak mula membina rasa percaya atau curiga bergantung kepada bagaimana dia dilayan. Anak juga mula merasakan dia ada kekuatan autonomi dan mula mahu menunjuk kuasa dan mahu ibu bapa ikut cara mereka. Walaupun begitu, mereka sebenarnya di dalam fasa yang tidak tahu membezakan perkara yang baik dan buruk.

Oleh itu, ibu bapa mesti menjadi ibu bapa yang tegas, jelaskan dengan nyata kepada anak peraturan dan cara yang betul bila meminta sesuatu. Pada masa yg sama manjakan dan beri kasih sayang yang tidak berbatas dalam usia ini.

Oleh kerana anak-anak merasakan bahawa ibu bapa mesti mendengar kata mereka maka beri mereka peluang untuk buat pilihan dan keputusan sendiri. Cara ini juga membantu anak untuk berfikir dan pandai membuat keputusan. Ibu bapa yang bijak tahu seimbangkan antara kebebasan dan kongkongan kepada anak-anak.

  • Fasa ketiga: 4 – 7 tahun

Anak-anak di usia ini mempunyai sifat ingin tahu dan daya imaginasi yang tinggi. Mereka boleh bekerjasama dan belajar berkongsi. Mereka juga mula cemburu dengan orang lain atau adik-beradik serta suka meniru perbuatan orang dewasa.

Ibu bapa hendaklah sentiasa menanamkan nilai-nilai yang positif dalam diri anak-anak.  Pastikan kita sendiri mengamalkan nilai-nilai positif itu. Cara yang paling berkesan ialah dengan selalu bercerita perkara yang baik dan pilih permainan yang sesuai dalam membina karakter anak-anak. Sangat penting bagi ibu bapa untuk memberikan perhatian lebih dengan memberikan contoh penuh kasih sayang dan perilaku yang baik di dalam keluarga.

  • Fasa keempat: 7 – 14 tahun

Anak-anak dalam fasa ini sangat dahagakan ilmu pengetahuan. Mereka berada dalam fasa aktif, suka berlumba, suka menyelidik, dan berupaya untuk patuh kepada peraturan.

Ibu bapa perlu menerapkan tentang kepentingan akhlak pada fasa ini. Ajar anak bagaimana mengawal pemikiran mereka kerana bahasa dalaman yang digunakan akan mengawal emosi dan tindak tanduk mereka. Bimbing mereka untuk mencari kawan-kawan yang baik.

Pada fasa ini juga ibu bapa boleh mula mengajar penggunaan alat teknologi. Tanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab. Sekiranya mereka menggunakan komputer, selidiki apa yg mereka layari dan ambil cakna. Jadualkan waktu penggunaan gadget.

  • Fasa kelima: 14 tahun dan ke atas

Anak-anak mula mempunyai perasaan ingin di sayangi dan menyayangi. Mereka juga perlukan keyakinan diri dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka juga cenderung bertanya pendapat dan pandangan orang-orang yang rapat dengan mereka.

Selalulah berkomunikasi dengan anak-anak, berikan perhatian dan sokongan. Jadilah pendengar yang baik, dan berilah respon kepada mereka.  Anak-anak akan rasa disayangi dan dihargai oleh ibu bapa.

Sebenarnya agama dan moral memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan berkeluarga. Pendidikan yang berteraskan nilai-nilai murni merupakan sumber akhlak yang paling baik.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah sangat besar. Di zaman yang sangat  mencabar, ibu bapa perlu ada ilmu untuk berinteraksi dengan anak kerana anak-anak sekarang lebih maju dari ibu bapa.

Upgrade ilmu parenting dengan banyak membaca dan hadir ke majlis ilmu. Didiklah anak -anak menjadi manusia yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat kerana anak-anak adalah harta yang amat bernilai kepada ibu bapa. Anak-anak yang hebat bermula dari ibu bapa yang hebat.


Ditulis oleh : Dewi Marlyna

Dewi Marlyna ialah seorang ibu kepada 4 cahayamata. Seorang lepasan Ijazah Sarjana Muda Journalism dan pernah bekerja dalam bidang pengiklanan,  dia akhirnya memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa untuk bersama anak-anaknya. Dia kini ingin mencuba bidang penulisan sebagai aktiviti sampingan dan berharap untuk berkongsi ilmu yang memberi manfaat kepada semua.

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.