fbpx

Tempoh Perintah Pengawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan. Setelah lebih 3 bulan kita berada di dalam rumah, kini kita dibolehkan keluar, dengan syarat mematuhi SOP yang disarankan oleh kerajaan. Semasa berada di rumah, kita cenderung untuk memakan makanan yang berat, dengan kandungan minyak, gula, lemak, garam dan kalori yang tinggi tanpa kita sedari. Ini boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Kita juga boleh lebih terdedah kepada risiko masalah susah tidur (insomnia), kemurungan, penghadaman, gastrik dan sembelit.

Di sini, pakar dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri berkongsi tip-tip mudah untuk kita kekal ceria, sihat dan positif semasa tempoh PKP ini:

1. Mulakan hari anda dengan makanan yang berprotein, berserat (fibre) dan buah-buahan

Sebaik-baiknya kita merancang meal plan seharian. Ambil makanan yang mengenyangkan, iaitu makanan yang ada protein dan serat seperti oats, telur, dan lain-lain. Bukan mendahulukan makan yang ‘menggembirakan’. Perlu juga mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran segar supaya diet harian kita menjadi seimbang dan dapat melawaskan sistem penghadaman kita.

Kredit foto: Jill Wellington

2. Minum Air yang Mencukupi

Semasa kita berada di rumah, kita tidak terkecuali untuk mengambil pelbagai makanan yang berat, pedas, berminyak dan berkalori tinggi. Kita amat digalakkan untuk minum air biasa (plain water) dengan secukupnya dan elakkan minuman air soda, manis dan bikarbonat dengan kerap. Anda perlu ingat, kafein dan gula di dalam minuman bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika kita mengambil minuman yang manis dan bikarbonat seperti coke, sirap soda dan sebagainya dan disulami dengan segelas air biasa, sekiranya kita masih merasa dahaga. Kita boleh juga mengambil minuman ‘O’ tanpa gula seperti kopi atau teh ‘O’.

3. ’20 Minute Rule

Pada kebiasaannya, kita akan mengambil 20 minit untuk berasa kenyang. Jadi ambil masa anda, tidak perlu terburu-buru dan nikmatilah makanan anda. Kita tahu bahawa ‘rasa kenyang’ akan menyusul nanti.

4. Bangkitkan mood dengan senaman yang cergas

Anda boleh memulakan senaman ringan di rumah atau keluar berjogging atau brisk-walking, dengan mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi SOP PKP yang disarankan kerajaan. Anda boleh membuat senaman renggangan otot (stretching exercises), ‘lunges’, ‘squats’, lari setempat, lompat guna ‘skipping rope’, dan sebagainya.

Anda boleh juga melayari laman YouTube bagi mendapatkan saluran senaman tarian seperti zumba, salsation, piloxing atau yoga dan pilates mengikut kesesuaian dan kemampuan anda. Ini dapat mengeluarkan peluh, memulihkan peredaran darah dengan baik, mengurangkan tekanan serta meningkatkan endorfin dan membangkitkan mood ceria pada hari tersebut. Bersenam dengan konsisten juga membantu untuk mendapatkan kualiti tidur yang baik.

5. Singkirkan ‘lemak jahat’ dengan tidur yang berkualiti

Salah satu rahsia hidup sihat adalah tidur yang mencukupi dan berkualiti. Ia dapat meningkatkan impak yang positif di dalam kehidupan kita dan sistem imun badan yang baik pada masa jangka panjang. Semasa tubuh badan dan minda kita sedang berehat, maka segala proses detoksifikasi serta pembaikan dalam badan akan berlaku dengan baik dan secara optimum. Tidur yang mencukupi juga menggalakkan proses pembakaran lemak dengan lebih efisyen dan badan kita dapat menyingkirkan ‘lemak jahat’ dengan jayanya.  Kekurangan tidur boleh melemahkan dan menambahkan stress kemampuan badan untuk berdepan dengan serangan bakteria dan virus.

6. Mempertingkatkan imuniti sistem badan

Pengambilan makanan berasaskan probiotik seperti cuka epal sider (apple cider vinegar), yogurt, kombucha, kimchi, dan sebagainya membekalkan jutaan bakteria sihat yang sentiasa merangsangkan system imuniti untuk menjadi lebih aktif. Bagi mereka yang ingin mengambil sumber makanan atau supplemen untuk meningkatkan imuniti badan boleh mengambil vitamin A, B6, B12, C, D dan E, atau dengan kata mudah, anda boleh pelbagaikan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Serta kurangkan dan berhentilah daripada merokok. Tabiat merokok juga dapat melemahkan sistem paru-paru dan imuniti badan, dan disyaki akan lebih cenderung kepada penyakit influenza dan pneumonia.

Kredit foto: Silvia Rita

7. Kekal aktif tanpa senaman

Pelbagai aktiviti boleh anda lakukan di rumah yang boleh merapatkan dan menceriakan hubungan anda sekeluarga dan membakar kalori pada masa yang sama. Contohnya bermain dengan anak-anak sambil gelak ketawa, menaiki  tangga, membuat kerja rumah seperti mop dan vakum, membasuh baju serta menyusun barang.

Jangan lupa, mengadakan hubungan kelamin bersama pasangan anda juga boleh membakar kalori yang banyak.

8. Berfikiran positif, buat keputusan yang lebih baik

Kesihatan bukan hanya terhad kepada diet dan senaman. Ia juga melibatkan apa yang kita tanam dan semat di dalam minda dan hati kita. Menurut psikologi, setiap sel di dalam badan kita memberi reaksi kepada segala apa yang minda kita katakan. Sebaliknya, berfikiran negatif akan memberi impak yang mendalam dan akan menurunkan paras sistem imun tubuh badan kita. Semuanya bermula dengan kita dan pemikiran kita.

Semoga tip-tip ini dapat membantu anda dalam hidup seharian anda. Sila kongsi tip-tip ini dengan rakan-taulan serta keluarga anda. Jaga diri #kitajagakita.

Pengarang

Seorang ibu kepada seorang puteri, Erni, kini, memegang pelbagai portfolio sebagai seorang pengamal media dan perhubungan awam, penuntut ‘barista’ separuh masa serta penulis bebas. Beliau amat gemarkan minuman kopi dan desserts, membaca buku serta mengembara dunia sambil bekerja. Erni beraspirasi untuk menyampaikan kandungan kreatif yang positif dan membina secara tulisan dan video dalam berkongsi cerita dan pengalaman hidup buat golongan wanita dan ibu.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds