fbpx
Tag

kanak-kanak

Melayari

Hampir 2 bulan kita #dudukrumah kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa. Pasti ada yang sudah merasa resah gelisah kerana terpaksa berkurung di rumah, ditambah pula dengan anak kecil yang tidak mengenal erti penat!

Guru-guru berusaha mengadakan kelas online dan memberikan tugasan untuk dibuat. Kita sebagai ibu pula terpaksa mengambil alih peranan sebagai guru untuk mengajar di rumah. Ternyata ia bukannya satu perkara yang mudah. Sekarang barulah kita semakin menghargai penat lelah seorang insan bergelar guru!

Bukan mudah nak homeschool anak, tapi ini ada beberapa tips yang mungkin dapat bantu ringankan stres ibu bapa dan anak-anak lebih enjoy:

1. Child directed learning

Cara paling mudah untuk menarik minat anak-anak untuk belajar ialah dengan memastikan mereka sendiri berminat dan ingin belajar.

Aktiviti yang ‘dimulakan’ sendiri oleh anak-anak disokong oleh ramai pakar termasuklah Reggio Emilia. Sesi pembelajaran yang lebih berkualiti dapat diperolehi apabila anak-anak menunjukkan minat dan melibatkan diri mereka sendiri dalam aktiviti tersebut. Oleh itu, sentiasa peka dan kenalpasti kata-kata ataupun persoalan yang diajukan oleh anak-anak sepanjang hari.

2. Ruang dan jadual pembelajaran

Sediakan ruang dan jadual pembelajaran yang sama setiap hari. Ini membolehkan anak-anak bersedia dan tahu apabila tiba masanya untuk belajar pada hari tersebut. Homeschooling memberikan fleksibiliti yang diperlukan dalam situasi seperti ini. Ada sesetengah anak-anak yang suka beberapa waktu rehat diselang-selikan dengan sesi pembelajaran. Ada sesetengahnya pula sukakan ruang kecil dan selesa dalam bilik yang besar. Bincangkan dan capai kata sepakat dengan anak-anak.

Apabila di rumah, sudah tentulah sesi pembelajaran yang lebih praktikal akan berlaku setiap masa sepanjang hari tanpa boleh dirancang sepenuhnya. Kadangkala semasa memasak juga boleh dijadikan sesi pembelajaran tentang konsep sukatan. Gunakan contoh-contoh praktikal ini untuk memperteguh pembelajaran harian.

3. Tugasan harian di rumah

Sentiasa libatkan anak-anak dalam tugasan harian di rumah. Kaedah Montessori yang popular juga menggalakkan kemahiran  ‘kehidupan praktikal’ bermula dari kecil.

Melakukan tugasan harian di rumah membina sifat-sifat positif seperti rasa tanggungjawab, ringan tulang dan kerjasama. Anak kecil yang baru belajar berjalan pun boleh diajar untuk membantu tugasan yang mudah seperti menyedok nasi ke dalam mangkuk. Walaupun perlu dilakukan berkali-kali untuk menyudahkan tugasan itu dan perlu dibersihkan pula kemudian!

Susun barang dapur mengikut kategori. Membaca resipi semasa memasak. Kitar semula semasa membuang sampah. Semua ini adalah antara perkara yang boleh anak-anak belajar hanya dengan melakukan tugasan harian di rumah.

4. Kemahiran sosio-emosi

Dalam kehidupan seharian kita sering bersosial maka sudah tentu bukan sesuatu yang mudah apabila terpaksa mengamalkan penjarakan sosial. Anak-anak apatah lagi. Oleh itu, galakkan anak-anak untuk kekal berhubung melalui panggilan video dengan orang-orang yang mereka sering berjumpa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan.

Bercakap tentang perasaan juga membantu anak-anak melalui perubahan drastik ini. Kumpulkan seluruh ahli keluarga untuk bercakap secara terbuka tentang apa yang mereka rasa tentang perubahan ini dan cuba cari jalan penyelesaian untuk membantu meringankan tekanan yang dirasai.

Galakkan rasa bersyukur dikalangan ahli keluarga dalam situasi sekarang ini. Contoh aktiviti mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membuat jurnal kesyukuran. Suruh anak-anak untuk lukiskan atau tuliskan perkara yang membuatkan mereka rasa bersyukur sepanjang minggu. Jawapan yang mereka berikan mungkin akan mencairkan hati anda!

5. Biarkan anak-anak bosan

Kita semua mahukan hanya yang terbaik untuk anak-anak. Pada hari biasa, anak-anak kita akan dibawa ke sana-sini untuk pelbagai aktiviti. Memenatkan buat kita tetapi tetap kita lakukan demi masa depan mereka. Tetapi apa yang boleh dimanfaatkan dengan hanya terperuk di rumah sepanjang hari? Kita pula yang stres cuba mencari aktiviti yang boleh mereka lakukan untuk mengisi masa lapang mereka agar tidak bosan.

Jangan bimbang, kajian mendapati banyak kebaikan yang diperolehi melalui kebosanan. Menurut pakar psikologi, kebosanan dan masa terluang membuahkan kreativiti dan membolehkan anak-anak ketahui minat masing-masing. Perhatikan anak-anak mencari idea untuk menghiburkan diri sendiri. Tidak perlu membazir beli barang permainan berasaskan pendidikan atau educational toys. Selimut di rumah boleh dijadikan ‘kubu pertahanan’. Kerusi pula dijadikan ‘keretapi’.

Ini adalah masa terbaik untuk ‘memperlahankan’ kehidupan harian kita, nikmati momen-momen bersama anak di rumah dan biarkan mereka bosan!

Sedar kebolehan sebenar anak-anak

Masa inilah baru kita dapat lihat dengan lebih jelas kebolehan anak-anak kita dalam pembelajaran. Mungkin selama ini kita ingatkan mereka tiada masalah dalam memahami apa yang diajarkan di sekolah, namun sebaliknya yang berlaku.

Benar, bukanlah perkara mudah untuk mengajar anak contohnya ketika membuat kerja sekolah bersama mereka. Namun kita sebagai ibu janganlah cepat melenting, sentiasa sabar kerana tanpa kita sedar, perbuatan kita itu mampu memberikan impak negatif buat emosi mereka.  Kita stres, mereka lagi stres.

Berpadu tenaga dengan pasangan

Masa inilah juga kita dapat lihat sisi sebenar pasangan kita. Adakah mereka membantu atau pun hanya menyerahkan segalanya kepada kita untuk diselesaikan?

Mungkin juga kita sudah terbiasa selama ini segalanya diuruskan oleh pasangan atau kita sendiri. Namun dalam tempoh PKP sekarang ini, kita perlu bergabung tenaga dengan pasangan demi memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan tidak berakhir dengan pertengkaran setiap hari.

Lebih menyedihkan jika anak-anak lebih suka meluangkan masa dengan ayah mereka berbanding kita sendiri kerana kita bukan ibu yang fun berbanding ayah. Jadi janganlah terlalu serius wahai ibu! Jangan terlalu ambil pusing tentang sesuatu perkara buat masa sekarang ini, fokus untuk luangkan masa gembira bersama keluarga.

Berikan pujian

Bila terpaksa duduk sebumbung dalam tempoh yang lama, senang untuk kita nampak perkara yang negatif contohnya rumah bersepah. Gunakan peluang ini untuk meminta anak mengemas rumah bersama-sama. Jangan lupa berikan arahan dengan jelas dan tepat. Kemudian berikan pujian atas usaha mereka. Barulah mereka ringan tulang untuk membantu dengan perkara lain selepas itu, bukan? Perkara yang sama juga boleh dibuat untuk pasangan.

Jangan cuba untuk melakukan semuanya seorang diri. Ini bukan masanya untuk menjadi terlalu teliti atau mementingkan kesempurnaan. Letakkan kepercayaan kepada orang lain dalam rumah untuk membantu anda, barulah tak stres!

Sejak kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, ramai di antara kita yang mengeluh kerana sudah bosan duduk di rumah. Namun pernahkah kita terfikir, dalam kita ‘bosan’ di rumah bersama keluarga, ada individu yang terpaksa #dudukrumah dengan pasangan yang kaki dera? Apa pula akan jadi pada individu yang mengalami kemurungan, terpaksa berseorangan di rumah sehingga PKP ini berakhir?

Tempoh ini mungkin membosankan dan merimaskan bagi sesetengah daripada kita, namun ada sebahagian yang lain tidak dapat menjalani tempoh yang ‘merimaskan’ ini dengan baik. Jika anda tergolong dalam golongan ini dan memerlukan sokongan dari segi emosi dan mental, jangan khuatir. Di bawah ini adalah senarai pihak yang boleh membantu anda menempuh kegelapan ini.

Badan perkhidmatan awam

1. Unit Kaunseling Psikologi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya

Bergerak di bawah Kementerian Kesihatan, Pegawai Psikologi terlatih di Unit Kaunseling Psikologi menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk kanak-kanak, golongan muda dan keluarga. Para pegawai di sini juga memberikan bantuan dari segi pemulihan dan krisis campur tangan. Anda memerlukan surat rujukan atau permohonan sebelum membuat janji temu. Anda akan diberikan tarikh janji temu selepas permohonan diproses dalam tempoh 5 hari bekerja. Unit ini beroperasi di hospital kerajaan terpilih seperti Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

Alamat: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cenderasari, 50590 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-2268 7333

Laman webhttp://jknkl.moh.gov.my/unit-kaunseling

 

2. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

LPPKN adalah institusi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memberi fokus utama kepada keluarga. Institusi ini mempunyai kaunselor berdaftar di semua cawangannya di seluruh negara buat anda yang memerlukan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan. Selain daripada perkhidmatan kaunseling, institusi ini turut menyediakan khidmat merancang keluarga dan servis klinikal untuk kesihatan reproduktif.

Alamat: Ibu Pejabat LPPKN, Bahagian Pembangunan Keluarga, Unit Kaunseling, 12B, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-2693 7555

Emel: [email protected]

Laman webhttp://www.lppkn.gov.my

Badan perkhidmatan swasta

1. InPsych Psychological & Counselling Services

Selain daripada ahli psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar, pusat kaunseling ini juga menyediakan perkhidmatan psikologi pendidikan (pakar dalam hal melibatkan pembelajaran dan motivasi) serta perunding seksualiti. Buat anda yang mengalami gangguan kebimbangan seksual atau pun sebarang isu yang berkaitan dengannya bersama pasangan, pakar perunding seksualiti di sini dapat membantu.

Alamat: 41-3, Jalan 1/137B, Resource Industrial Centre, Off Old Klang Road, 58200 Kuala Lumpur.

No. telefon: +6017-331 1216

Emel: [email protected]

Laman webhttp://www.inpsych.com.my/

 

2.  Kin & Kids Marriage, Family and Child Therapy Center

Dengan pasukan berpengalaman yang terdiri daripada pelbagai disiplin termasuklah ahli psikologi klinikal, ahli psikoterapi berdaftar serta kaunselor berlesen dan berdaftar, pusat terapi ini mampu menyediakan perkhidmatan kaunseling dalam pelbagai bidang termasuklah hal pengantaraan keluarga dan juga kaunseling penjagaan anak bersama selepas perceraian. Jika anda merancang untuk berkahwin, pusat terapi ini membantu anda mengenalpasti dan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk membina keluarga yang bahagia dan berkekalan melalui Penilaian Perhubungan Peribadi Pra-Perkahwinan.

Alamat: 10-8, Binjai 8 Premium Soho, No. 2, Lorong Binjai, 50450 Kuala Lumpur, or  5-05-03, Block 5, VSQ @ PJ City Centre, Jalan Utara, 46200 Petaling Jaya.

No. telefon: +6019-380 0902 or +6018-667 0902

Emel: [email protected]

Laman webhttp://www.kinandkids.com/

 

3. The Mind Psychology Services & Training

Pusat psikologi ini mempunyai pasukan besar yang terdiri daripada ahli psikologi klinikal, ahli psikologi sukan dan kesihatan serta kaunselor. Ini membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih meluas seperti terapi untuk kanak-kanak dan keluarga serta kumpulan sokongan untuk anda yang mengalami masalah berat badan dan gangguan tidur. Pasukan yang sama juga menyediakan perkhidmatan latihan teknik kesedaran dan cara menguruskan tekanan.

Alamat: C-41-11, Jaya One, Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya.

No. telefon: + 603-7931 8436

Emel: [email protected]

Laman webhttp://www.themind.com.my

 

4. Rekindle Centre for Systemic Therapy

Pusat terapi ini memilih pendekatan sistematik yang popular di Amerika Syarikat, iaitu dengan menggunakan pelbagai terapi yang berbeza untuk membantu keluarga yang bermasalah. Sebagai contoh, sementara ibu bapa cuba menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dengan pakar terapi perkahwinan, anak-anak mereka pula boleh melibatkan diri dalam permainan atau terapi kanak-kanak. Seluruh keluarga itu kemudiannya akan menjalani sesi terapi bersama melalui pakar terapi keluarga.

Alamat: 42-2 Jalan 25/70A, Desa Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-6201 7488 or +6019-369 8519

Emel: [email protected]

Laman webhttp://rekindletherapy.com/

 

5. The Mind Faculty

Kesemua 25 pakar dan pengamal psikiatri di The Mind Faculty mempunyai kelayakan dan kemahiran yang hebat dalam pelbagai cabang kesihatan mental. Anda boleh mendapatkan rawatan untuk berbagai-bagai masalah termasuklah ketagihan dan gangguan pemakanan. Penilaian psikologi juga boleh dibuat di sini bagi menentukan kesediaan untuk pembelajaran atau kelewatan perkembangan. Jika anda mencari kaunselor yang berpengalaman dan pakar dalam isu perhubungan, anda boleh berjumpa dengan Cik Sharan Kaur di sini.

Alamat: 11, Jalan Solaris 4, Solaris Mont’ Kiara, Jalan Solaris, Off Jalan Duta Kiara, 50480 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-6203 0359 or +603-6203 0733

Emel: [email protected]

Laman webhttps://themindfaculty.com

Institusi Berasaskan Komuniti

1. Grace Community Services

Grace Community Services menjalankan Birthright, iaitu perkhidmatan sokongan dan kaunseling buat kaum ibu yang tidak berkahwin untuk menggalakkan mereka meneruskan kandungan sehingga proses kelahiran dan terus menjaga anak mereka. Jika si ibu memutuskan tidak mahu menjaga bayi mereka selepas dilahirkan, Birthright akan menyediakan perkhidmatan profesional untuk membantu mereka mencari keluarga angkat yang sesuai. Pusat komuniti ini juga berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan telah membantu lebih 800 ibu yang tidak berkahwin dari pelbagai bangsa, agama dan latarbelakang sepanjang kandungan mereka.

Alamat: No. 7, Jalan Dendang 1, Kawasan 16, Berkeley Town Centre, Klang 41300, Selangor.

No. telefon: +603-33414044 or +603-33414055

Emel: [email protected]

Laman web: www.gracecommunityservices.my

Facebookhttps://www.facebook.com/Grace-Community-Services-128107253928755/

 

Hotline

1.  All Women’s Action Society (AWAM) – Telenita

Mangsa gangguan dan penderaan seksual serta keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan daripada AWAM. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma dan AWAM menggunakan khidmat kaunselor pelatih yang sedang dalam peringkat Ijazah Sarjana untuk memberikan kaunseling dan sokongan emosi. AWAM juga bekerjasama dengan Pusat Bantuan Guaman KL & Selangor dalam menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma. Selain daripada itu, mereka turut menjadi pusat rujukan buat mangsa yang memerlukan perkhidmatan daripada organisasi lain seperti pusat perlindungan dan terapi keluarga.

Alamat: 85, Jalan 21/1, Sea Park, Petaling Jaya, 46300 Selangor.

No. telefon: +603-7877 0224

Emel: [email protected] or [email protected]

Laman webhttps://www.awam.org.my/

2. Befrienders KL

Kumpulan sukarelawan Befrienders telah menjadi tempat perlindungan buat masyarakat sejak tahun 1970. Dengan bantuan profesional daripada ahli psikiatri dan psikologi, mereka memberikan bantuan dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa prejudis. Sama ada anda kesunyian, mempunyai perasaan untuk membunuh diri atau sekadar memerlukan seseorang untuk berbual, anda boleh mendapatkan sokongan emosi daripada tiga cabang Befrienders: menerusi talian telefon 24 jam setiap hari, bersemuka melalui janji temu yang telah ditetapkan terlebih dahulu, atau emel.

Alamat: 95 Jalan Templer, Petaling Jaya, 46000 Selangor.

No. telefon: +603-7956 8145 or +603-79571306

Emel: [email protected] or [email protected]

Laman webhttps://www.befrienders.org.my

3. Talian Kasih

Talian Kasih menyediakan perkhidmatan kecemasan untuk mereka yang menderita akibat didera, diabaikan atau keganasan rumah tangga. Mereka juga menyediakan khidmat kaunseling melalui talian hotline. Selain itu , Talian Kasih turut memberikan sokongan untuk ibu tunggal, miskin dan cacat atau kurang upaya.

No. telefon: 15999

Emel: [email protected]

Laman web: http://www.lppkn.gov.my/index.php/talian-nur.html

4. Women’s Aid Organisation (WAO)

Jika anda didera oleh pasangan dan memerlukan perlindungan serta sokongan, anda boleh mendapatkan bantuan dari WAO. Sejak ditubuhkan pada tahun 1982, organisasi ini telah memberikan perlindungan dan kaunseling secara percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

No. telefon: +03-7956 3488 / +6018 988 8058 (Whatsapp atau SMS)

Emel: [email protected]

Laman webhttps://wao.org.my/


Senarai ini tidak muktamad dan butiran mungkin tertakluk kepada perubahan. Jika anda tahu mana-mana pusat atau kumpulan sokongan yang lain, sila emel ke [email protected]

Perdana Menteri Malaysia baru sahaja mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan hingga 14 April 2020. Sudah pasti kita semua hampir ketandusan idea apakah aktiviti yang boleh dibuat bersama keluarga di rumah. Seminggu pun sudah hampir gila dibuatnya!

Jangan panik dan cepat stres! Yang penting sekali kita perlulah lihat dari sisi positif disebalik apa yang berlaku ini.

Jika selama ini kita sibuk dengan jadual harian masing-masing, gunakanlah kesempatan ini meluangkan masa bersama keluarga. Duduk semeja makan bersama,  dan carilah aktiviti yang mudah dan menghiburkan. Manfaatkan waktu bersama.

Inilah juga masanya untuk sama-sama mengemas rumah, bersihkan segala tombol pintu, lantai dan permukaan yang menjadi medan virus tersebar.

Disini, kami kongsikan beberapa idea dan aktiviti yang boleh dibuat bersama di rumah:

1. Serlahkan kebolehan anda di dapur

Jika selama ini anda mengeluh tidak mempunyai masa untuk mencuba resepi baru, inilah masanya! Ajak sekali pasangan dan anak-anak untuk mencuba. Terdapat ramai chef terkemuka seperti chef bintang Michelin Massimo Bottura serta Jamie Oliver yang membuat online tutorial untuk resepi-resepi popular mereka. Ramai juga chef tempatan seperti Ili Sulaiman dan Anis Nabilah yang turut kongsi cara masak yang sihat dan mudah. 

Kredit foto: Ili Sulaiman

2. Cari hobi baru

Melancong – hobi ini terpaksalah dilupakan seketika. Bagi yang gemar membaca pula, mungkin sudah tamat semua buku yang tertangguh. Ini masanya mencari hobi baru! Bagi mereka yang mempunyai ruang, mungkin anda boleh cuba bercucuk tanam di rumah? Selain itu boleh juga gunakan kesempatan ini untuk mengubahsuai perabot dan perhiasan dalam rumah, barulah tidak bosan melihat susunatur yang sama setiap hari! Buat anda yang gemar menulis dalam blog atau menyimpan jurnal sebelum ini, mungkin ini masanya untuk kembali aktif menulis.

3. Daftar kursus online

Mungkin sudah acapkali tertangguh, inilah masanya untuk anda akhirnya belajar bermain alat muzik seperti gitar! Search saja di YouTube, banyak tutorial yang boleh diikuti dengan mudah. Dengan adanya laman web seperti Duolingo, belajar bahasa ketiga pun macam menarik juga. Senanglah nak menonton drama Korea tanpa sarikata, kan? Laman web seperti Coursera dan Skillshare juga boleh dilayari untuk pelbagai kursus percuma.

4. Jangan lupa bersenam

Dengan perintah kawalan  pergerakan ini, anda pastinya tidak menggunakan otot-otot sebanyak yang biasanya anda lakukan. Jadi, jangan lupa untuk memperuntukkan sedikit masa untuk bersenam. Ia bukan sahaja bermanfaat untuk tubuh anda, tetapi juga untuk minda anda – terutamanya dalam mengurangkan anxiety pada tempoh yang tidak menentu ini.

5. Rehatkan diri

Bekerja dari rumah, menjaga kanak-kanak dan isi rumah sudah tentu akan membuat anda lesu. Jangan lupa untuk mengambil masa berehat. Tonton Netflix atau ganti waktu tidur yang terganggu. Jika anak-anak tidak memberi anda me-time, berilah mereka  menggunakan tablet sebentar. Cuba layari pautan di bawah ini untuk mengalihkan perhatian anak-anak kepada sesuatu yang lebih berguna:

Youtube

Laman web

Kredit foto: artortoise

Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah turut sama membantu ‘menyelamatkan’ negara dari pandemik ini dengan #dudukrumah dan hanya keluar jika perlu seperti untuk membeli barang keperluan harian. Jika tidak, sia-sialah kita berkurung hampir sebulan lamanya untuk menghapuskan Covid-19.

Untuk kaum ibu, kita berjaya melalui 44 hari tempoh berpantang. Kita tentu boleh mengharungi 28 hari ini!

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina