fbpx
Tag

Aidilfitri

Melayari

Pandemik Covid-19 ini telah memaksa kita untuk mengadaptasikan kehidupan dan gaya hidup kita ke arah ‘the New Normal’, atau ‘Norma Baharu’. Malah, susulan daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sambutan Aidilfitri pada tahun ini turut dalam suasana ‘baharu’. Berikut antara pesanan dan tip-tip yang perlu dipraktikkan untuk memastikan kita sihat dan selamat di musim perayaan ini.

“Maaf tok, tak dapat balik kampung tahun ini”

Pihak kerajaan telah melarang sebarang perjalanan merentas negeri, kecuali dengan sebab-sebab yang munasabah. Jika perlu, daftarkan diri di aplikasi Gerak Malaysia. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan daripada membawa ‘musuh dalam senyap’ ke kampung dan sebaliknya. Ingati orang yang kita sayangi, ibu-bapa dan kaum keluarga kita di kampung halaman.

Beribadat dikala PKP

Kredit foto: The Statesman

Hari raya ini, kita disarankan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan ahli keluarga di rumah sahaja. Di sesetengah negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pelaksanaan solat jemaah dibenarkan dengan syarat hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan dihadiri oleh orang awam seramai 30 orang sahaja.

Rumah terbuka norma baharu

Aktiviti ziarah sanak-saudara dan rakan-taulan yang sinonim dengan masyarakat kita ketika sambutan Aidilfitri hanya dibenarkan pada Hari Raya Pertama sahaja. Kunjungan dihadkan ke rumah ahli keluarga yang terdekat dengan bilangan tidak melebihi 20 orang pada satu ketika. Ini turut bergantung kepada saiz kediaman tersebut.

Penting untuk kita selidik dahulu samada yang ingin diziarahi itu mempunyai ahli keluarga warga emas yang sedang uzur, menghadapi penyakit kronik, dan sebagainya.

Segala protokol perlu diamati seperti tidak peluk cium dan berjabat tangan, pengamalan penjagaan kebersihan pada tahap optimum, membasuh tangan dengan kerap atau memakai hand sanitisers dan memakai pelitup muka (face mask). Jaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain.

Jika kita sukar patuh SOP ini, kita wajar elak untuk menerima kehadiran tetamu bagi mengelakkan tercetusnya jangkitan virus Covid-19.

Teknologi Peranti Pengikat Silaturahim

Dengan adanya teknologi dan jaringan internet yang serba canggih, kita digalakkan untuk menggunakan pelbagai peranti mobil yang sedia ada seperti FaceTime, Zoom, What’sApp Video/Call dan sebagainya untuk saling berhubung di antara sama lain.

Malah cara ini adalah yang terbaik untuk melepaskan rindu dengan keluarga tersayang yang kini berjauhan. Ia juga dapat mengeratkan silaturahim tanpa mendedahkan mereka dengan jangkitan wabak Covid-19 pada musim perayaan ini.

Pesanan Juadah Aidilfitri secara talian

Jika anda tidak ‘pro‘ didapur, pelbagai juadah tradisi, segala manisan dan biskut Raya kini boleh didapati secara mudah dengan tempahan atas talian menerusi perkhidmatan penghantaran GrabFood, LalaMove, GoGet, FoodPanda dan sebagainya.

Kita juga boleh menghantar juadah Aidilfitri kepada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-handai dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran atas talian bagi mengeratkan silaturahim semasa PKP.

Jangan kesana-kesini bersama anak-anak

Walaupun kini ada sedikit kelonggaran PKP, elakkan keluar dari rumah kecuali bagi urusan penting sahaja.

Ibu-bapa juga disarankan untuk tidak membawa bayi dan anak-anak kecil serta ahli keluarga yang berisiko tinggi ke pusat-pusat membeli-belah untuk mencari baju raya.

Elakkan 3C: iaitu kawasan yang sesak (Crowded areas), kawasan yang sempit (Confined space) dan bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversations).

Memang sedih menyambut Aidilfitri seperti ini, tetapi adalah penting untuk kita mengamalkan disiplin diri yang tinggi, jaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing. Kita perlu mengambil tanggungjawab sosial yang serius dalam bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Kita pasti menang!

 

Oleh Erni Zawawi

Erni ialah seorang ibu kepada seorang puteri. Kini, beliau bertugas sebagai pengamal media dan perhubungan awam, seorang penuntut ‘barista’ serta seorang penulis bebas. Beliau amat gemarkan minuman kopi dan desserts, berzumba bersama teman-temannya, membaca buku serta mengembara dunia sambil bekerja. Erni beraspirasi untuk menyediakan dan menyampaikan kandungan yang positif dan membina secara tulisan mahupun video dalam berkongsi cerita dan pengalaman hidup buat golongan wanita dan ibu.