fbpx

Menjadi ibu buat kali pertama merupakan salah satu pengalaman terindah yang berlaku dalam kehidupan seorang wanita. Bermula daripada perkhabaran gembira kehadiran janin dalam perut kita, hinggalah saat diusung ke dalam dewan bersalin, semuanya pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Pengalaman ini juga berbeza bagi setiap individu, begitu juga dengan proses tumbesaran anak-anak.

Sebagai seorang ibu, sudah tentu kita hanya mahukan yang terbaik untuk tumbesaran anak kita. Begitu juga halnya dengan Jihan Muse, selebriti dan pengacara terkenal tanahair. Jihan berkongsi dengan makchic suri pengalaman sebagai ibu kepada buah hati pengarang jantungnya, Ungku Arsalan Haq atau panggilan manjanya Baby Ninja.

Pengalaman mengandungkan Arsalan

Pada mulanya, saya berasa gementar dan gembira pada masa yang sama. Walaupun saya mempersiapkan diri sebanyak mungkin, saya bersedia juga untuk tidak terlalu berharap untuk mengikut apa yang dirancangkan lebih awal. Penting untuk mengingatkan diri kita supaya tidak tertekan dan menikmati saat-saat apa adanya.

Motherhood tidak selalu mengikut apa yang kita rancangkan tetapi kaum ibu mempunyai naluri keibuan yang kuat dan kita tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Saya cuba mengingatkan diri untuk mempercayai naluri itu.

Momen indah bersama Arsalan

Semua momen dan kenangan bersama Arsalan tidak ternilai bagi saya. Tetapi memori paling bermakna bagi saya adalah apabila Arsalan mula menyebut Bonda, walaupun waktu itu dia hanya boleh menyebut ‘bomba’. Memori itulah sangat best.

Sebenarnya tempoh PKP adalah masa yang saya nanti-nantikan kerana saya sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Kerana kami sekarang lebih di rumah, kami dapat meluangkan lebih masa berkualiti bersama-sama. Saya amat menghargai waktu ini kerana dapat lihat sendiri tumbesaran Arsalan setiap hari.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah

Masa berlalu begitu cepat. Selalu saya terfikir janganlah membesar terlalu cepat wahai anakku tetapi tidak mungkinlah itu berlaku.

Saya dan suami membawa Arsalan berenang setiap minggu (sebelum PKP), mengajarnya mengira, ABC dan melukis untuk menggalakkan perkembangan minda. Buat masa ini Arsalan meminati dinosaur dan kami akan menonton dan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang ada dinosaur untuk membantu Arsalan belajar nama-nama dinosaur.

Selain itu, saya akan cuba pastikan Arsalan dapat tidur yang cukup, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan untuk memastikan badannya dilindungi oleh sistem imun yang kuat.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ahli keluarga perlu bekerjasama, bergantung pada satu sama lain untuk mendapat sokongan dan berkongsi tanggungjawab menjaga anak. Lebih mudah untuk kita atasi sebarang dugaan dalam hidup jika ada keluarga sebagai sokongan.

Cabaran paling  sukar sepanjang menjadi seorang ibu

Sekarang ini, cabaran paling besar saya ialah kerenah Arsalan yang cerewet makan, dan masalah ini mungkin selalu dihadapi oleh ibu bapa lain. Saya merasa bimbang Arsalan tidak mendapat semua nutrien-nutrien. Perkembangan awal kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk anak-anak kecil dan nutrisi atau pemakanan ialah salah satu cara penting untuk membantu anak-anak kita membesar secara sihat dan aktif, dengan sistem imun yang kuat.

Dalam tempoh ini, suami dan saya mencuba pelbagai jenis makanan dengan Arsalan untuk memahami apa yang dia suka dan tidak suka. Saya belajar untuk bersabar sepanjang proses tersebut dan pada masa yang sama memastikan bahawa Arsalan mendapati nutrisi yang mencukupi semasa fasa ini.

Baru-baru ini, saya mendapat nasihat yang bernas daripada acara siaran langsung (livestream) Facebook yang saya sendiri kendalikan untuk Enfagrow A+ MedTalk bersama Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Runding Pediatrik Perkembangan dan Am dari Klinik Pakar Kanak-Kanak Baby and Beyond di Kuala Lumpur. Dalam sesi tersebut, Dr Rajini berkongsi petua untuk menguruskan anak yang cerewet makan, dan saya suka dengan cadangannya untuk membuat seni penyediaan makanan agar proses menjamu selera lebih menyeronokkan dan menceriakan bagi anak-anak kita. Disamping itu juga, ‘MyHealthy Plate’ boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyediakan makanan seimbang dalam jumlah yang sesuai.

Dengan mengetahui ramuan dalam pemakanan anak, ia membantu saya merancang makanan yang lebih baik dan sihat untuk Arsalan.

Saya dan suami akan mencari jalan terbaik untuk menegur dan menerangkan kepada Arsalan. Suami saya juga memainkan peranan dan saya bersyukur kerana dapat melakukan semua ini bersama. Pengalaman menjaga anak lebih mudah apabila kita saling membantu.

Makanan wajib Arsalan di rumah

Saya akan cuba menyediakan makanan yang mengandungi nutrien-nutrien penting untuk Arsalan supaya dia membesar dengan sewajarnya dan mempunyai sistem imun yang kuat. Biasanya saya merancang menu lebih awal dan menyediakan pelbagai kumpulan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat seperti nasi dan mi dan protein seperti daging tanpa lemak.

Aktiviti favourite bersama Arsalan

Kami sekeluarga meluangkan banyak masa bersama dan saya percaya ini dapat membantu perkembangan mental anak serta keyakinan mereka.

Saya dan suami biasanya membawa Arsalan pergi berenang bersama-sama. Dalam tempoh PKP, oleh kerana tidak dapat berenang di luar, kami telah membuka mini pool di depan rumah dan kami seronok bermain dengan Arsalan.

Antara kerjaya dengan anak

Kita perlu membahagikan masa dengan baik antara kerja dan keluarga. Pengurusan masa itu amat penting – setelah menjadi ibu saya telah menyesuaikan jadual kerja untuk pastikan waktu kerja saya hanya lapan jam sehari. Sekarang, saya hanya menerima satu tugasan sehari kerana sudah tidak dapat bekerja sehari suntuk seperti dulu. Selain itu, jika saya bertugas pada waktu malam, saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada waktu pagi dan petang.

Dengan mengatur jadual lebih awal, saya boleh menyusun dan menetapkan rutin dalam kehidupan harian. Saya biasanya merancang jadual harian lebih awal dan menyediakan menu dan aktiviti anak terlebih dahulu, kerana langkah ini membolehkan saya menjimatkan masa dan mempersiapkan diri untuk sesuatu yang tidak dijangka kemudian.

Harapan dan impian buat Arsalan

Saya enjoy menjadi ibu kepada Arsalan. Kalau boleh saya tak nak lepaskan peluang melihat dia membesar di depan saya. Bagi saya, motherhood adalah satu kebahagiaan dan kepuasan Arsalan.

Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik untuk anak saya dan saya mahu menjadi bentuk sokongan yang terbaik untuk dia. Pada masa ini, Arsalan adalah keutamaan saya dan keperluan anak saya melebihi diri saya sekarang ini.

Saya ingin memastikan bahawa Arsalan mempunyai gaya hidup yang sihat dan aktif, perkembangan mental yang baik, imun badan yang kuat, banyak cinta dan masa keluarga.

Paling penting, saya harap dia menjadi seorang yang berakhlak, beradab dan menghormati orang-orang tua. Sebagai ibu bapa, kita adalah guru pertama anak kita dalam kehidupan. Ia sangat penting untuk kita mengamalkan nilai-nilai murni yang baik sebagai contoh kepada anak-anak kita.

 

Kredit foto: Jihan Muse 

Pengarang

Umirra adalah ibu kepada dua orang puteri. Selain gemar berangan menjelajah dunia secara solo, dia menulis untuk berkongsi pengalaman dan berharap penulisannya dapat dijadikan panduan serta hiburan buat pembaca.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds