fbpx

Saban tahun, kita menyambut tahun baru dengan penuh rasa keazaman untuk memperbaiki diri. Ada sesuatu mengenai permulaan tahun baru yang meniup nafas pembaharuan kepada kita, dan kita mula merasa bersemangat untuk membuat sesuatu perubahan ke arah yang lebih baik.

Sebagai ibubapa, tabiat menetapkan  resolusi atau matlamat keluarga (family goals) adalah sesuatu yang bijak untuk diamalkan. Ia boleh mendidik keluarga dan anak-anak untuk “pandang” semula ke belakang bukan untuk menyesali, tetapi mengkaji dan mencuba untuk menjadi lebih baik lagi di masa akan datang.

Masih belum terlewat untuk menetapkan matlamat keluarga anda untuk tahun dan permulaan dekad baru 2020 ini. Apakata pertimbangkan 5 matlamat keluarga mudah tetapi sangat bermakna untuk keluarga anda:

1) Melabur di dalam akaun pendidikan khas untuk anak-anak

Kos pendidikan terutamatanya pendidikan peringkat kolej/universiti boleh membebankan jika tidak dirancang dari awal. Tahun ini, fahamkan apa yang anda boleh lakukan untuk mula melabur untuk pendidikan anak-anak di masa hadapan. Cuba pertimbangkan beberapa jenis opsyen pelaburan, contohnya seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Contoh matlamat keluarga yang boleh ditetapkan : Mama/papa perlu melabur RM300 setiap bulan untuk Kak Long di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

2) Mulakan tabiat beriadah bersama keluarga

Masalah obesiti di Malaysia kini berada di tahap tertinggi di kalangan negara Asia. Ia sesuatu yang membimbangkan dan bermula dengan tabiat kehidupan yang tidak aktif dan diet yang tidak seimbang. Jadi, anda boleh mengelakkan dari kehidupan seperti ini dengan memulakan tabiat beriadah bersama keluarga. Yang senang-senang sahaja pun tidak mengapa. Contohnya matlamat keluarga:  Setiap hari Ahad, bangun lebih awal dan bermain badminton bersama anak-anak selama sejam!

3) Luangkan masa bersama anak sebelum tidur

Kesibukan kerja dan hal ehwal rumah boleh membuatkan kita lupa meluangkan masa yang benar-benar berkualiti bersama anak-anak. Sebenarnya ia boleh dilakukan jika anda benar-benar mahu. Jadi, matlamat keluarga yang boleh dibuat tahun ini: Setiap malam sebelum tidur, mama/papa akan meluangkan masa 15 minit untuk membaca atau berbual-bual dengan anak-anak.

4) Tetapkan masa bebas-gajet untuk keluarga

Gajet telah menjadi suatu keperluan pada zaman moden ini, namun ia boleh mendatangkan kesan negatif di dalam hubungan kekeluargaan. Tahun ini, cuba tetapkan masa untuk bebas daripada gajet dan fokus kepada ahli keluarga. Contoh matlamat yang boleh ditetapkan : Setiap hari, pukul 8-9 malam adalah waktu bebas gajet dan semua orang perlu berkumpul di ruang tamu untuk berbual-bual/makan malam bersama.

5) Amalkan tabiat housekeeping dan bersedekah

Tahun lalu, trend “Konmari” oleh Marie Kondo hangat diperkatakan. Ia mungkin terlalu besar untuk dilakukan sekaligus, tetapi tidak salah untuk memulakan aktiviti housekeeping bersama keluarga setiap bulan dan pilih barangan yang sesuai untuk disedekahkan juga.  Contoh matlamat keluarga: Pada hari Sabtu terakhir setiap bulan, setiap seorang ahli keluarga perlu memenuhkan kotak housekeeping barangan masing-masing untuk dibuang atau didermakan.

Namun ingat, cadangan ini adalah suatu cadangan yang umum. Anda perlu lebih spesifik dalam menetapkan matlamat keluarga yang menepati gaya hidup dan kemampuan keluarga anda, supaya matlamat ini lebih mudah dicapai dan anda boleh kekal fokus!

Apa sahaja azam baru tahun ini, anda perlu mulakannya dengan niat yang kukuh (“intentional”). Apabila niat sudah ada dan ditanam, jalannya akan terbuka luas dan hanya tinggal untuk melakukannya untuk berjaya.

Selamat berjaya dan Selamat Tahun Baru 2020 dari kami di Makchic Suri!

Pengarang

Ayuni adalah Editor makchic Suri, penulis bebas dan ibu kepada tiga orang cahayamata. Dia gemar mendengar cerita dan menulis kisah-kisah inspirasi. Jika tidak menulis, dia biasanya sibuk menguruskan rumahtangga, berangan-angan menjelajahi dunia atau melukis di dalam jurnal hariannya.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds