fbpx

Bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu tahun ini disambut penuh syahdu. Tiada solat terawih berjemaah di masjid. Tiada kunjungan ke bazar Ramadan. Tidak dapat merasa kemeriahan bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai bersama-sama sanak-saudara dan rakan-taulan.

Beza, sungguh berbeza. Semuanya demi memerangi musuh yang tidak dapat dilihat, Covid-19. Namun kita perlu cekalkan hati dan sentiasa berfikiran positif bahawa semua ini perlu diharungi bersama.

Hayati pengertian sebenar Ramadan

Sebagai umat Islam, kita perlu melihat dari sudut positif akan setiap perkara yang berlaku. Mungkin inilah masa terbaik untuk kita ambil kesempatan menghayati pengertian sebenar Ramadan yang dianjurkan dalam Islam. Masa untuk melebihkan ibadah dan masa untuk bersama keluarga.

Ada di antara kita yang sebelum ini sibuk mengejar berbuka puasa di luar contohnya bufet hotel sehingga berlaku pembaziran yang tak dapat dielakkan. Melewatkan atau meninggalkan terus solat terawih kerana masih rancak melepak dan berborak selepas berbuka puasa bersama rakan-taulan di luar. Bila berkunjung ke bazar Ramadan pula, mulalah nafsu yang mengatasi kewarasan bila membeli juadah berbuka puasa, sudahnya dibuang ke tong sampah.

Self-reflection juga lebih berkesan jika kita menyendiri. Inilah masanya untuk kita mengamalkan cara hidup sunnah contohnya makan secara minimum, solat di awal waktu, tidur dan bangun awal setiap hari, banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir. Bersedekah kepada mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua keluarga juga dapat ambil kesempatan ini untuk mengimamkan isteri dan anak-anak di rumah. Belajar dan hafal lebih banyak surah.

Jangan pentingkan diri sendiri

Inilah sahaja caranya untuk #kitajagakita. Kasihanilah para petugas barisan hadapan yang membahayakan nyawa mereka sendiri demi membantu menyelamatkan nyawa kita semua. Ada diantara mereka yang sudah sekian lama tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga mereka sendiri kerana sibuk bertugas atau terlalu bimbang akan membahayakan nyawa orang kesayangan mereka sendiri.

Walaupun jika PKP ditamatkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, kita seharusnya menjadi inidvidu yang bertanggungjawab dengan kekal #dudukrumah, tidak pulang ke kampung halaman supaya tidak membahayakan nyawa kita sendiri dan juga orang kesayangan kita. Ingatlah, warga emas dan wanita hamil adalah antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak ini.

Covid-19 umpama reset button untuk mengingatkan kita tentang fitrah. Ambillah kesempatan ini dengan sebaiknya untuk beramal. Kita pasti menang!

Pengarang

Umirra adalah ibu kepada dua orang puteri. Selain gemar berangan menjelajah dunia secara solo, dia menulis untuk berkongsi pengalaman dan berharap penulisannya dapat dijadikan panduan serta hiburan buat pembaca.

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds