Sebelum menulis artikel kali ini, saya ada bercerita kepada beberapa teman tentang tajuk artikel yang bakal ditulis. Acap kali, teman saya pasti bertanya, bukankah hanya ada 3 trimester kehamilan? Justeru secara ringkas saya menjawab, trimester keempat adalah fasa bayi lahir hingga bayi berumur tiga bulan.

Saat inilah bayi mengalami perkembangan penting dan perlu banyak bantuan dari ibu. Dan bagi si ibu, inilah momen breakthrough di mana dia perlu beradaptasi dengan pelbagai cabaran fizikal dan mental.

Namun, fasa trimester keempat ini sering diabaikan kerana banyak yang tidak memahaminya. Jadi, saya terpanggil untuk mencoret pengalaman saya. Semoga ia bermanfaat dan boleh dijadikan kesedaran serta iktibar.

Bukan semuanya indah setelah melahirkan

Saya sendiri akui sebagai bakal ibu dahulu, saya kurang persediaan emosi untuk menghadapi masa selepas kelahiran. Saya terlalu fokus kepada proses kehamilan dan bersalin. Hampir semuanya berjalan lancar, sehinggalah minggu pertama di trimester keempat.

Tidak pernah saya sangka,  kehadiran bayi sekecil ini betul-betul mencabar semangat dan jiwa. Anak saya asyik menangis, minta disusukan sedangkan susu masih belum keluar. Saya harus berikan perhatian sepenuh masa kepadanya, walhal fizikal saya pun masih belum 100% yang seperti yang saya harapkan.

Saya masih belajar cara menyusukan bayi, pergerakan terbatas dek luka jahitan masih baru dan saya benci melihat diri sendiri di cermin. Saya merasa lelah, teramat penat, sedih dan mudah tersinggung. Itulah antara keadaan duka ibu baru, terdedah kepada segala cabaran mental dan fizikal yang perlu dihadapi dengan sepenuh kekuatan.

Pentingnya sistem sokongan yang padu

Dalam menghadapi hari-hari mendatang yang penuh cabaran di trimester keempat, bakal ibu dan bapa perlulah berbincang dan merancang penjagaan selepas bersalin.  Maklumkan lebih awal kepada  siapa yang akan bersama anda dan nyatakan yang anda perlukan sokongan dan bantuan yang diharapkan selepas bersalin.

Tidak semua bernasib baik mempunyai pasangan yang boleh mendampingi dan membantu pada waktu genting. Jadi sistem sokongan anda tidak perlu terhad hanya kepada suami. Jangan malu untuk mendapatkan sokongan berterusan daripada keluarga, rakan-rakan, mahupun khidmat confinement lady.

Walaupun saya anggap diri ini ‘kuat’ dan mampu melakukannya, saya masih menangis setiap hari selama sebulan bergelar ibu baru. Sebaik-baiknya ibu dan bayi tidak dibiarkan bersendirian di rumah sehinggalah tamat tempoh berpantang. Jika ada komen sinis, jangan pedulikan mereka kerana hakikatnya “The struggle is real!”

Tiada siapa pun mahu mengalah dengan self-pity dan blues, namun ia boleh sesuatu yang sangat benar dan perlu ditangani.

Kepada para suami, ketahuilah isteri lebih bermotivasi untuk menjalankan segala pekerjaan apabila mendapat sokongan daripada orang tersayang. Jagalah emosi isteri, ibu kepada anak anda. Ketahuilah jika ia dibiarkan dan ditelan masa hingga ruang emosi sudah tertutup, aspek fizikal juga akan menyusul tertutup. Renungkanlah.

Makan makanan sihat untuk anda dan bayi

Ibu di trimester keempat masih dalam keadaan lemah dan memerlukan seseorang untuk menjaga makan minum mereka. Jangan mengambil ringan soal pemakanan kerana ia akan mempengaruhi kesihatan anda dan anak.

Berpantanglah dengan memilih makanan yang tidak sejuk dan berangin bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk bayi juga. Kesilapan dalam memilih makanan dalam tempoh menyusu badan boleh menyebabkan bayi kembung, cirit-birit atau muntah-muntah.

Apabila ini berlaku, si kecil tidak mendapat tidur yang berkualiti, sering menangis, merengek dan meragam. Saya secara peribadi sangat suka makanan ketika berpantang. Bagi saya makanan yang ringkaslebih bagus, yang penting ia berkhasiat dan seimbang.

Apabila tiba waktu makan, jika ibu mertua tidak sibuk, dia akan menemani saya dan memastikan saya makan penuh selera sambil dia melayani  cucu barunya. Saya bersyukur ibu mertua selalu berpesan secara baik untuk saya tidak hanyut melayan perasaan baby blues. Hingga sekarang tidak terbalas jasa ibu mertua saya. Terima kasih Mama!

Naluri keibuan akan mengatasi segalanya

Saya bukan seorang yang ada ciri-ciri keibuan secara semulajadi. Saya masih ingat suami menunggu selama setahun untuk meyakinkan saya untuk mengandung. Namun, kehadiran anak lelaki kami mengubah diri saya selamanya.

Si kecil kesayangan saya membuat saya lebih berjiwa dalam hidup, dia menjadi penggerak semangat dan penguat suasana. Setelah trimester keempat ini dirasai secara praktikal, akhirnya saya memahami suka duka seorang ibu dan erti kasih yang tidak bersyarat (unconditional love). Walaupun rasa tertekan dalam proses ini, ketika melihat anak tidur lena di samping saya, saya raikan kelahirannya dalam hati dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kadang-kadang bahagia itu sebenarnya datangnya dari momen yang sederhana.

Saya akui selepas lebih 5 tahun, saya masih trauma dengan perasaan berbaki dari pengalaman trimester keempat yang dilalui lima tahun yang lalu. Namun, apa yang telah terjadi, telah pun terjadi. Saya mara ke depan dan kini sudah boleh memandang dari perspektif penambahbaikan.

Beberapa hari yang lepas, ketika makan tengah hari di pantri pejabat, beberapa rakan sekerja cuba meyakinkan saya sekali lagi untuk mengandung kali kedua. Saya jawab dengan nada jenaka, saya pasti boleh lalui semuanya dengan positif jika saya dapat anak perempuan persis Gigi Hadid.

Kemudian kami berangan kosong bersama-sama tentang baby-daddy seperti Chris Hemsworth yang boleh jadikan itu kenyataan. Kami ketawa sakan kerana berangan itu percuma!

Pengarang

Diyana ialah seorang ibu kepada seorang cahayamata berumur 5 tahun dan bekerja sepenuh masa di dalam bidang IT. Ketika tidak bekerja, dia suka bersosial dan berjalan-jalan dengan anak kesayangannya. Mereka sama-sama melihat dunia dengan penuh kekaguman, rendah hati, sifat ingin tahu dan minda yang terbuka.

Ruangan komen telah ditutup.