Tidak sukar untuk saya mengambil keputusan untuk menyusu badan. Saya banyak membaca mengenainya dan tahu tentang kelebihan susu ibu, jadi saya dan suami merasakan itulah yang paling sesuai untuk bayi kami nanti.

Saat saya memerhatikan perut yang semakin membesar, saya membayangkan sesi penyusuan yang tenang sebagai mana gambaran seorang ibu cantik dengan rambut yang sempurna, tersenyum memandang buah hatinya di pangkuan. Ketika itu, saya tidak sedar bahawa proses menyusu itu tidak selalunya mudah. Mungkin juga tidak secepat yang disangka. Dua malam pertama saya di hospital memang berlalu dengan sempurna, anak lelaki saya menyusu dengan baik dan perunding laktasi yang memerhatikan perkembangan kami juga memberikan pujian.

“Tak susahpun,” fikir saya.

Walaupun menyusu dengan kedudukan yang selesa, saya tidak membetulkan lekapan bayi saya. Akhirnya bahagian puting terasa sungguh pedih dan saya berada dalam kesakitan setiap kali menyusu. Pada beberapa saat pertama ketika memangku anak saya dan membiarkan dia mula menghisap, air mata ini akan berguguran. Gambaran indah pada awal tadi melayang entah ke mana.

Saya perlu mengajar anak saya agar melekap dengan betul dan membaiki kedudukannya. Luka di kulit serta rasa sakit mula hilang selepas beberapa minggu. Walaupun pada mulanya saya merancang untuk menyusu sehingga ulang tahun pertama, kami berjaya meneruskannya sehingga dia berusia 15 bulan. Dia kemudiannya berhenti dengan sendiri tanpa perlu dipaksa.

Pengalaman bersama anak perempuan saya juga hampir sama. Rasa ngilu apabila seorang anak tidak henti-henti menyusu, melekap sepanjang masa. Tetapi saya mendapati, sebaik saja minggu-minggu yang menyeksakan itu berlalu, kita akan berasa lebih selesa. Malangnya, ramai ibu yang sudah berputus asa di penghujung tempoh ini. Rasa sakit itu sebenarnya mempersiapkan kita untuk lebih cekal dan proses penyusuan seterusnya akan lebih mudah.

Saya faham mengapa ibu-ibu yang menyusu mudah mengaku kalah. Tidur yang tidak cukup, rasa penat yang tidak terhingga, kebocoran susu dan berasa payudara seperti sedang disiat-siat – bukan sesuatu yang ingin kita lalui. Ditambah pula dengan pelbagai persoalan yang bermain di fikiran. Adakah anak saya sudah menyusu dengan cukup? Adakah bekalan yang ada boleh memenuhi permintaan si kecil ini?

Kini saya telah mempelajari beberapa cara yang dapat memberikan kelegaan serta membantu proses penyembuhan dan saya ingin berkongsi dengan anda:

  1. Periksa sama ada bayi anda telah melekap dengan betul. Jika tidak, cuba sekali lagi.
  2. Gunakan krim lanolin 100% asli yang bersifat semula jadi, efektif serta selamat untuk bayi anda.
  3. Mengeringudarakan payudara anda sekerap mungkin.
  4. Menyusu pada sebelah yang kurang sakit terlebih dahulu supaya apabila anda memberikan sebelah lagi, bayi anda tidak menghisap dengan gopoh.
  5. Lebih baik jika anda mempunyai seseorang yang dapat memberikan sokongan serta galakan kepada anda. Walaupun hanya sekadar untuk mendengar luahan anda apabila kepenatan. Saya mempunyai keluarga, rakan-rakan serta yang paling penting, suami saya. Peranan suami dalam proses penyusuan mungkin terhad, tetapi kekuatan mental yang diberikan apabila kita sudah tidak berdaya adalah sangat dihargai. Lebih-lebih lagi jika mereka sentiasa menyokong apa saja keputusan anda.

 

Menyusu badan adalah satu pengalaman yang sangat mendatangkan kepuasan. Saya belajar untuk lebih menghargai tubuh badan manusia. Selepas melalui beberapa kesukaran dan selain dapat memberikan manfaat susu ibu, saya juga gemarkan saat-saat peribadi yang dikongsi bersama dua orang anak saya dan berusaha untuk tidak mensia-siakannya. Anak perempuan saya kini berusia 9 bulan dan masih menyusu badan.

Walaupun kedengaran agak puitis, sentuhan mesra dan ketenangan seorang ibu itu adalah sangat istimewa dan saya gembira kerana berpeluang melaluinya bersama anak-anak saya. Pengalaman memangku tubuh si kecil yang lembut dengan dua tangan mungil menyentuh diri ini adalah satu kenangan abadi yang indah dan sudah tentu saya akan melakukannya sekali lagi jika dikurniakan rezeki anak ketiga. Cuma mungkin kali ini, saya akan cuba bersiap cantik dengan rambut yang sempurna juga!


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Annabelle Josef

Annabelle Josef ialah seorang gadis Kuala Lumpur yang berkahwin dengan lelaki terbaik yang pernah ditemui sepanjang hidupnya. Mereka kini tinggal bersama dan dua orang cahaya mata di negara jiran, Singapura. Masa beliau diselang-seli dengan menghantar anak-anak ke sekolah, ke kelas berenang, bermain bersama rakan-rakan dan menukar lampin. Anabelle suka mengembara dan bercita-cita menghabiskan larian maraton penuh. Beliau juga seorang penulis bebas, jurugambar amatur dan sedang menguasai seni menjadi seorang pembina Lego terunggul!

Terjemahan oleh : Nurul Dayanna Norji

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.