Semasa saya hamil anak pertama, ibu sering menceritakan kisah-kisah semasa beliau berpantang satu ketika dulu. Menurut ibu, hasil daripada berpantang itulah yang membawa kepada kesihatan beliau yang baik pada usia emas sekarang. Walaupun tanpa syor daripada doktor dan ada amalan-amalan yang kedengaran mengarut, saya langsung tidak mempersoalkannya. Pada hemat saya, “Cuma 44 hari, apa salahnya?”

Namun tempoh itu adalah enam minggu paling mencabar dalam hidup saya.

Ketika saya menulis, saya berada di penghujung tempoh berpantang kedua. Pengalaman saya kali ini jauh lebih baik kerana saya melakukan sesetengah perkara dengan cara yang berbeza:

Mengulangi Amalan Yang Berkesan

Dulu: Saya menjalani tempoh berpantang selama 44 hari. Berpantang selalunya bermaksud tidak meninggalkan rumah untuk memberi rehat kepada tubuh badan seorang ibu yang baru bersalin agar kembali pulih seperti sedia kala. Seperti ibu-ibu berbangsa Melayu yang lain, saya dijaga oleh seorang ahli keluarga perempuan, memakai bengkung dengan tepel (barutan perut bersama pupur limau dan batu kapur untuk segera menguruskan badan), menjalani urutan sengkak (untuk mengembalikan rahim ke kedudukan asal), mandi herba, menggunakan tungku, minum campuran herba dan mematuhi diet “makanan panas” yang ketat. Ada juga ibu-ibu lain yang mengamalkan pilis dan param (pupur pada dahi dan badan, salai (tidur di atas perbaringan dengan bara di bawah) dan bertangas (duduk atau berdiri dengan bara di bawah atau di dalam wap bercampur herba), tetapi syukur saya tidak pernah melakukannya.

Sekarang: Saya lebih fleksibel dengan tempoh berpantang. Saya mengikuti semua amalan dengan ketat pada beberapa minggu pertama dan mengurangkannya sedikit demi sedikit apabila saya semakin sihat. Seperti sebelumnya, saya mengehadkan aktiviti yang memenatkan dan tidak mengangkat objek berat (atau kanak-kanak berusia dua tahun) dan tidak melakukan hubungan suami isteri.

Saya sangat menggemari sesi urutan. Ia dikatakan sangat berkesan untuk mengurangkan berat badan dan menyegarkan semula badan melalui peredaran darah yang lebih baik, melegakan otot, membantu mengurangkan tekanan dan mempercepatkan tempoh pemulihan. Sesi ini juga satu-satunya waktu saya berehat daripada tugas-tugas sebagai seorang ibu.

Bengkung

Dulu: Hubungan saya dengan sehelai kain bengkung itu ibarat cinta tapi benci. Bengkung pertama saya berukuran 2 meter, dibalut daripada bawah dada sehingga paha. Ada ketikanya bengkung ini terikat kemas, memaksa saya duduk tegak dan mengelakkan daripada kedudukan bongkok ketika menyusu. Tetapi ada juga hari-hari di mana bengkung tersebut menyebabkan saya sukar bernafas dan kulit pula melecet pada bahagian ikatan. Memang menyakitkan tetapi perut saya mengempis dalam waktu yang singkat.

Sekarang: Kini saya mempunyai empat jenis bengkung yang berbeza – bengkung tradisional yang saya gunakan selama beberapa hari selepas bersalin, bengkung moden yang berbentuk seperti korset dan diikat pada bahagian hadapan yang saya gunakan sepanjang tempoh berpantang seterusnya, pengikat perut dengan Velcro untuk waktu malam serta girdel separuh badan untuk dipakai ketika keluar bersiar-siar atau pada hari-hari saya ingin ‘bebas’ tetapi masih memerlukan sokongan.

Berpakaian Tebal

Dulu: Selepas saya melahirkan anak sulung, ibu memastikan saya sentiasa berpakaian tebal supaya saya tidak ‘masuk angin’. Saya menggunakan tungku untuk mencairkan lemak dan mengecutkan rahim. Pakaian yang tebal mengekalkan haba sekali gus melancarkan peredaran darah dan mempercepatkan proses pemulihan.

Sekarang: Saya percaya lapisan pakaian dan selimut adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan dan bukan melecurkan! Kali ini kami terlupa untuk menyediakan batu tungku. Hairan juga bila ibu kelihatan kecewa ketika saya menolak cadangannya untuk menggantikan batu tersebut dengan seterika sebagai alternatif.

Makan Makanan Berkhasiat

Dulu: Dari segi perubatan, tidak ada halangan diet selepas bersalin yang berbeza berbanding pemakanan sihat biasa. Tetapi kebanyakan budaya percaya bahawa badan seorang ibu memerlukan khasiat khusus bagi mengembalikan kekuatan mereka. Pertama kali berpantang, saya dihidangkan nasi dan ikan yang dimasak dengan cara yang sama, tiga kali sehari selama 44 hari! Tiada buah-buahan atau sayur-sayuran yang dibenarkan – sembelit benar-benar menyeksakan.

Sekarang: Apabila saya mengetahui bahawa saya masih boleh menikmati pelbagai jenis masakan sepanjang tempoh berpantang, saya pastikan dapur saya dipenuhi dengan hidangan ‘mesra pantang’ yang berlainan. Daging lembu, ayam dan ikan dimasak bersilih-ganti bersama lada hitam, kunyit dan halia sebagai bahan asas. Ibu pula memberikan nasihat tentang buah-buahan dan sayur-sayuran yang bersesuaian dan tidak ‘sejuk’.

Kekal Terhidrat

Dulu: Air saya dicatu kerana saya diberitahu ‘perut yang kembung akan mengganggu ‘proses pengecutan rahim’ dan jika tidak perlu ke tandas, saya tidak perlu membuka kembali bengkung yang ketat itu. Nasihat ini langsung tidak masuk akal. Saya sedang menyusu, telah kehilangan banyak darah semasa proses kelahiran dan mengalami sembelit. Saya memerlukan air.

Sekarang: Di hospital, jururawat memberitahu dengan jelas agar saya minum air dengan banyak. Membuang air selepas melahirkan menunjukkan tahap kesihatan pundi kencing dan buah pinggang kita perlu menghasilkan lebih banyak urin sepanjang beberapa minggu pertama selepas kelahiran bayi untuk mengeluarkan lebihan cecair yang terkumpul sepanjang kehamilan. Saya minum sebanyak mungkin dan berasa lebih sihat.

Segala amalan di atas tidak terbukti berkesan secara saintifik tetapi secara logiknya akan memberi manfaat selagi diamalkan dengan sederhana dan berpandukan akal. Lagipun, penjagaan selepas bersalin bukan hanya sekadar untuk menjaga kesihatan fizikal tetapi juga menjamin kesihatan mental dan rohani anda.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

 Ditulis oleh: Khairun

 Khairun ialah seorang ibu kepada dua orang cahaya mata dan merupakan pemilik Recovr Resources Sdn Bhd, sebuah perusahaan sosial dalam industri kitar semula dan peluang pekerjaan saksama yang semakin berkembang. Khairun dan suami, Max, kini menetap di Jakarta.

Terjemahan oleh : Nurul Dayanna Norji

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.