Apabila bidan-bidan terlatih di Hospital Assunta melihat parut Caesarian saya dan kelihatan terkejut kerana saya ingin mencuba bersalin secara normal, hati ini mula resah.

Doktor saya sebenarnya telah memberi keyakinan, walaupun saya bersalin melalui pembedahan kurang dua tahun lalu (kerana kedudukan anak yang songsang dan kehadiran dua ketumbuhan fibroid yang perlu dikeluarkan selepas bersalin), kali ini, saya mempunyai 90% peluang untuk melahirkan bayi secara normal.

90% kedengarannya cukup baik. Tetapi hakikatnya, saya tidak pernah mengenali sesiapa yang berjaya bersalin dengan dua cara yang berbeza. Jadi, bila bidan yang sangat berpengalaman itu nampak terkejut, saya mula panik.

Semuanya berjalan lancar di pengakhirannya, namun sebenarnya kisah kelahiran normal saya sangat traumatik sehinggakan saya tidak sanggup berkongsi dengan mereka yang tidak pernah bersalin. Saya risau dianggap cuba mempengaruhi mereka untuk tidak cuba bersalin secara normal, entah-entah nanti mereka juga akan takut untuk mengandung.

 

Lebih rela memilih Caesarian

Artikel ini sebenarnya bukan ingin mengetengahkan apa yang berlaku ketika itu (peluang untuk anda bertanya juga telah tertutup kerana saya terlalu trauma untuk membuka cerita!).

Artikel ini adalah untuk menjawab persoalan yang sering kali ditanya oleh ramai wanita (yang lazimnya belum mempunyai cahaya mata) apabila mereka mengetahui bahawa saya pernah bersalin secara normal dan caesarean: “Mana satu yang anda syorkan?”

Ini adalah satu soalan yang sukar dijawab, tetapi sambil anda membaca, suka untuk saya ingatkan bahawa saya hanya berkongsi pendapat berdasarkan pengalaman peribadi dan ia tidak mencerminkan pandangan pihak-pihak lain di luar sana.

Saya juga menganggap semua pembaca memahami bahawa, pada umumnya bersalin secara normal dilihat sebagai cara yang terbaik untuk melahirkan seorang bayi ke dunia dan pembedahan merupakan pilihan yang terakhir. Walaupun semakin ramai ibu memilih Caesarian sebagai elektif, seorang pakar obstetrik seharusnya berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan risiko Caesarian.

Saya banyak membaca tentang kelahiran normal dan segalanya kedengaran indah dan yang paling penting, boleh dicapai. Sebaliknya, semua tentang kelahiran Caesarian pula digambarkan agak menakutkan – terutamanya kerana ia adalah satu pembedahan besar. Jadi memang ya, sains perubatan itu sendiri seolah-olah meminta saya menulis bahawa bersalin secara normal itu lebih baik. Tapi jika anda semua sahabat saya, saya akan mencadangkan agar anda memilih Caesarian.

Mungkin ramai wanita di luar sana yang tersentak, mungkin juga ada ibu-ibu yang menganggap saya sudah berpaling tadah. Ini realitinya – kedua-dua anak saya dilahirkan sihat dan sempurna, tetapi jika saya boleh memutarkan masa, saya akan memilih Caesarian buat kali kedua.

Pengalaman bersalin yang berbeza

Memang benar bersalin secara normal itu jauh lebih menyakitkan berbanding Caesaria. Kesakitan itulah yang memainkan peranan dalam memberi cadangan yang penuh kontroversi ini, tetapi ia bukan sekadar itu saja. Ya, anda boleh mengambil epidural dan jangan lupa untuk meminta tambahan dos apabila perlu (jangan ulang kesilapan saya yang menganggap mereka tahu bila saya memerlukannya), namun anda juga tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Jika anda seperti saya dan telah mendengar pelbagai kisah kelahiran hebat tanpa sebarang kesakitan, anda tentu akan kecewa apabila menyedari pengalaman bersalin anda adalah jauh berbeza.

Jika faktor kesakitan itu boleh diabaikan sekalipun, apa yang paling mengganggu saya adalah perasaan tidak senang ketika berada dalam 17 jam tempoh bersalin itu sendiri. Mungkin Caesarian kelihatan lebih menakutkan kerana doktor akan menyeluk dan mengeluarkan bayi dari dalam tubuh anda, tetapi saya tidak mengalami kejutan emosi sebagai mana yang dirasakan ketika bersalin normal (dengan bantuan doktor dan bidan untuk membuka rahim dan memecahkan air ketuban).

Saya berasa tidak dapat mengawal keadaan dan berkali-kali terfikir alasan sebenar saya melakukannya sedangkan saya tahu proses Caesarian itu lebih mudah.

Mungkin pengalaman positif ketika kelahiran pertama secara Caesarian telah memberi kesan terhadap perasaan saya mengenai kelahiran normal tersebut; hanya kerana saya boleh membandingkannya. Saya lebih memilih Caesarian kerana saya lebih suka mengetahui rancangan doktor dan berasa selamat di bawah seliaan beliau sepanjang proses berlangsung. Saya juga lebih aman dan tenteram kerana saya tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Saya sedar ramai wanita yang berjaya bersalin secara normal dalam keadaan yang sangat tenang dan baik. Oleh itu saya menggalakkan anda agar berusaha mendapatkan pengalaman indah itu sendiri, walaupun saya tidak melaluinya.

Pelbagai kajian telah dilakukan secara mendalam berkenaan kelebihan dan kekurangan kedua-dua kaedah bersalin ini dan saya yakin saya bukanlah satu-satunya ibu yang percaya bahawa kelahiran Caesarian adalah pilihan yang lebih baik.

Bagainamapun, peluang 90% yang disebut doktor itu berjaya saya tempuhi akhirnya.  Walaupun saya tidak menyesal memilih untuk bersalin secara normal pada kali kedua, saya yakin TAK MUNGKIN akan ada kali ketiga.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Michelle Lim-Chua

Michelle Lim-Chua ialah seorang ibu kepada dua cahaya mata dan seorang penulis yang berminat dalam bidang sosiologi. Dilahirkan di Bandaraya New York dan dibesarkan di enam buah negara berbeza, Michelle gemar mengembara dan sentiasa ingin mengenali penduduk setempat serta budaya mereka. Beliau berpindah ke Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu, kembali mengenali Tuhan dan jatuh cinta dengan seorang jejaka dari Melaka. Michelle dan suami kini masih terus mempelajari cara untuk menjadi ibu bapa yang terbaik.

Diterjemahkan oleh : Nurul Dayanna Norji

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.