fbpx

Tahun lepas, para peminat muzik K-Pop dikejutkan dengan pemergian Sulli, salah seorang bekas ahli kumpulan muzik Korea Selatan popular, f(x). Khabarnya penyanyi muda itu akhirnya membunuh diri kerana tidak tahan dengan pembulian siber yang berlaku terhadapnya.

Di Malaysia, ada juga beberapa kes kematian berkaitan pembulian siber, seperti Jerusha SanjeeviT. Nhaveen dan Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Bancian Children4Change survey yang dijalankan pada tahun 2018 telah menunjukkan bahawa:

  • 1 dalam 10 kanak-kanak pernah menghadapi buli di sekolah
  • 70% kanak-kanak melaporkan mereka pernah melihat rakan mereka dibuli kerana paras rupa, pakaian atau cara berjalan
  • 64% mengaku pernah terlibat melakukan pembulian

Statistik sebegini sangat menyedihkan. Kita sebagai ibubapa perlu melakukan yang terbaik untuk melindungi kesihatan mental anak-anak dan ajarlah mereka untuk bertindak secara berkesan terhadap risiko pembulian.

Ini beberapa cara untuk melakukannya:

1. Galakkan dialog terbuka

Pencegahan bermula dengan pendidikan. Sebelum ia terjadi, bincanglah bersama anak mengenai buli dan perkara-perkara yang menjadikannya. Ajar mereka untuk memerhatikan tanda-tanda awal. Gunakan buku cerita atau media untuk membantu mereka memahami perbezaan antara kelakuan yang boleh diterima dan yang tidak boleh diterima.

Sentiasa peka terhadap perubahan personaliti anak di dalam lingkungan sosial dan kegiatan seharian. Jangan takut untuk bertanya jika mereka pernah menghadapi pembulian atau pernah melihatnya. Soalan-soalan ikhlas akan membentuk perbualan yang jujur yang akan mengukuhkan hubungan kita dengan anak-anak.

Berkongsilah kisah anda sendiri jika anda pernah menghadapinya. Ini dapat membantu anak anda merasakan bahawa dia tidak bersendirian.

2. Tetapkan strategi

Jika anak anda merasakan mereka adalah sasaran pembulian, bantu mereka memahami perkara-perkara yang menyebabkan pembulian ini.

Selalunya, pembulian bermula daripada rasa tidak selamat di dalam diri seseorang yang seterusnya membuatkan mereka mahu menunjukkan kuasa terhadap orang lain. Beritahu anak bahawa masalah itu bukan kerana kekurangan dirinya, tetapi kerana masalah yang dihadapi oleh pembuli itu sendiri.

Ajar anak:

Jangan tenggelam di dalam keburukan diri sendiri. Ajar mereka menghadapi cabaran perkara-perkara negatif yang dihadapinya dengan mengingatkan mereka tentang sifat positif yang mereka ada.

Bagaimana menghadapi pembulian:

Cuba lakonkan bersama anak untuk belajar melindungi diri terhadap si pembuli. Amat penting untuk tidak memberi pembuli apa yang mereka mahu seperti menangis atau melawan. Jadi, respon dengan tenang tetapi autoritatif. Contohnya, ayat mudah seperti “Jangan ganggu saya!”atau “Pergi dari sini!”, ataupun hanya meninggalkan si pembuli dengan tenang dan yakin.

Bagaimana mendapatkan bantuan:

Anak anda harus tahu di mana mereka boleh pergi untuk mencari bantuan dalam menangani si pembuli. Jika anak anda mahu, teman mereka untuk membuat laporan kepada guru atau guru besar. Fahami polisi pembulian di sekolah dan simpan semua rekod laporan. Buat susulan dengan sekolah untuk memastikan tindakan diambil untuk menangani kes buli. Jika anak anda mengalami trauma, dapatkan bantuan dari pakar kaunseling yang boleh membantu merawat emosi mereka.

3. Bina kembali keyakinan diri

Beri galakan dan sokongan sepenuhnya kepada anak anda jika keyakinan diri mereka merudum disebabkan pembulian. Anda boleh cuba melibatkan mereka di dalam aktiviti ko-kurikulum atau aktiviti yang dia gemari untuk membantu meningkatkan kembali keyakinan diri mereka. Rakan-rakan dan persekitaran baru yang mereka temui melalui aktiviti ini boleh memberi harapan dan perasaan “sense of belonging” yang berharga.

Bagaimana jika anak anda ialah si pembuli?

Bukan mudah untuk menerima jika anak anda adalah si pembuli. Namun, anda perlu menanganinya secepat mungkin sebelum keadaan menjadi semakin parah.

Ini beberapa tips yang boleh dilakukan:

1. Fahami sebab dia berkelakuan demikian

Jangan cepat melatah dan melabel anak anda sebagai “jahat”. Ada satu sebab yang kukuh yang menyebabkan dia menjadi begitu, jadi anda harus cuba memahaminya.

Sesetengah kanak-kanak membuli kerana berasa tidak selamat, atau kerana keinginan yang mendalam untuk diterima orang sekeliling. Ada yang tidak pandai menangani emosi kompleks seperti perasaan marah, atau tidak pandai menangani konflik dengan sihat. Ada juga yang membuli kerana mahukan perhatian atau sebagai jalan untuk mendapatkan kembali kuasa ke atas kehidupan mereka.

Cuba dapatkan bantuan pakar kaunseling atau pakar terapi yang boleh membantu memahami keperluan emosi anak anda dan sebab mengapa mereka membuli.

Bincangkan senario-senario yang membuatkan anak anda mula membuli dan cari jalan untuk mengatasinya. Ajarkan sifat empati di dalam diri anak dengan mengajar mereka melihat melalui kacamata orang lain. Ajar mereka untuk menerima, bukan membenci perbezaan orang lain.

Anak perlu memahami mengapa perbuatan mereka itu menyakiti orang lain. Ajar mereka untuk meminta maaf dan memperbaiki hubungan dengan orang yang telah mereka sakiti.

2. Ambil langkah tegas untuk menghentikan pembulian

Polisi “zero tolerance” terhadap pembulian haruslah ditetapkan di dalam keluarga, dan anda perlu konsisten dalam memberikan hukuman disiplin. Contohnya, jika anak anda terlibat dalam pembulian siber, tarik kembali akses internet mereka untuk jangkamasa tertentu sementara mereka memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan mereka.

Anda perlu tegas dan serius mengenai pembulian, dan pastikan anak-anak memahami akibat buruk daripada sebarang perlakuan buli di sekolah, rumah atau dalam komuniti.

3. Jadi contoh yang baik di rumah

Ingat, anak-anak belajar dengan melihat contoh dari orang tua. Jadi, pastikan anda sendiri menjadikan rumah sebagai tempat yang ideal. Cara anda bercakap dan memberi respon akan menjadi rujukan kepada anak-anak. Jadilah contoh yang baik untuk mereka.

Jadilah orang yang positif dalam berinteraksi bersama keluarga dan komuniti. Buang sifat buruk seperti melabel, mengejek, “bias” perkauman atau jantina atau mencarut. Gunakan respon yang lebih positif seperti toleransi, empati dan hormat-menghormati supaya anak-anak kita belajar menggunakannya juga.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Kimberly Lee

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.