Baru-baru ini, respon daripada #MamaSecrets edisi gangguan seksual di Instagram makchic adalah sangat menyedihkan. Ramai yang berkongsi pengalaman diganggu secara seksual pada usia yang muda. Paling menyedihkan, ramai yang tidak tahu ia sebenarnya adalah suatu jenayah gangguan seksual sehingga mereka membaca mengenai pengalaman orang lain.

Jadi, amatlah penting untuk kita mula mendidik anak-anak mengenai seks, sentuhan selamat dan sempadan badan seawal yang mungkin, walaupun ia mungkin sedikit sukar untuk dibicarakan. Ia sebenarnya memainkan peranan yang penting untuk melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa jenayah gangguan seksual.

Di sini kami kongsikan beberapa tips untuk memulakan pendidikan penting ini bersama anak:

Galakkan perbualan dan cipta suasana keterbukaan

Ya, bagi masyarakat Asia seperti kita, ia mungkin sukar untuk membanteras tanggapan salah bahawa seks itu suatu “taboo”. Cara kita berbual dengan anak-anak mengenai kesihatan dan tubuh badan mereka akan membentuk tanggapan awal mereka mengenai seks.

Lumrah jika anda merasa janggal apabila mula bercakap mengenai seks bersama anak-anak. Namun, cuba uruskan emosi dan reaksi dan gunakan peluang ini untuk membuang prejudis yang sudah sebati dalam diri.

Berhati-hati untuk tidak memalukan atau menyalahkan anak-anak apabila bercakap mengenai seks. Cara ini hanya akan membuatkan mereka melihat seks sebagai sesuatu yang negatif. Cuma sebaik mungkin untuk bercakap mengenai seks secara positif atau neutral, dan fokus kepada nilai dan mesej yang anda cuba sampaikan.

Bagaimana harus saya mula?

Amalkan pendidikan seks awal. Mulakan dengan mengajar anak-anak nama sebenar organ genital mereka. Jika anda gunakan nama timangan untuk organ genital, anak-anak akan merasakan perkataan ‘zakar’, ‘faraj’, ‘penis’ atau ‘vagina’ sebagai salah. Ini akan menyukarkan mereka menggunakan rujukan yang tepat apabila diperlukan.

Cari waktu dan peluang untuk mengajar. Tak perlulah menunggu mereka bertanya sebelum menjawab. Sebenarnya, kehidupan seharian sering memberikan peluang yang sesuai untuk memulakan perbualan mengenai seks bersama anak. Contohnya, anak mungkin suka bertanya mengenai tubuh badan ketika mandi. Jika mama sedang mengandung, anda juga boleh menggunakan masa ini untuk bercerita mengenai organ reproduktif dan kelahiran. Bersedia untuk menggunakan masa-masa seperti ini.

Ketahui apa dan bagaimana untuk mengatakannya

Jika anak bertanya mengenai seks, jangan gelak atau cepat merasa malu. Jawab dengan tenang dan meyakinkan. Jangan lupa untuk tanya mereka apa sebenarnya yang mereka ingin tahu, dan jangan cepat membuat konklusi dan memberikan mereka terlalu banyak informasi yang boleh mengelirukan mereka.

Berikut adalah contoh soalan-soalan yang mungkin ditanya dan bagaimana untuk menjawabnya:

Macamana boleh ada baby? Anda boleh bermula dengan menjawab “Mama dan papa dapat baby melalui sentuhan yang istimewa”. Jika anak bertanya lagi, anda boleh menerangkan mengenai “sentuhan istimewa” itu sebagai “hubungan seks” atau “making love” yang hanya dilakukan oleh orang dewasa.

Anda juga boleh berkata “Dalam mama ada telur yang dinamakan ovum, dan papa ada sperma. Jika ovum dan sperma bertemu, ia akan menjadikan seorang bayi”.

Dalam kebanyakan kes, ini adalah cukup untuk memberikan kefahaman yang sesuai kepada mereka. Namun jika anak bertanya lagi, tidak salah jika anda mahu menyatakan bahawa sperma akan bertemu ovum apabila zakar bertemu dengan vagina.

Macamana baby dilahirkan? Anda boleh menjawab “Bila mama melahirkan baby keluar dari perut (atau uterus) melalui faraj (vagina)’

Kenapa perempuan tak ada zakar/lelaki tak ada faraj? Cara paling mudah untuk menjawab adalah “Badan lelaki dan badan perempuan dilahirkan berbeza dan sudah tentu ia nampak berlainan juga”. Apabila anak semakin membesar, anda boleh memberikan jawapan yang lebih komprehensif. Untuk anak-anak kecil, sentiasa berikan respon yang mudah dan terang. Namun, sentiasalah bersedia untuk berkomunikasi dan menjawab soalan-soalan selanjutnya dengan tepat dan ikhlas.

Tekankan kepentingan sentuhan selamat dan privasi

Bantu anak anda memahami jenis sentuhan yang boleh diterima dan selamat. Jika mereka tahu perbezaannya, lebih mudah untuk mereka untuk memberitahu anda jika mereka diganggu atau didera secara seksual.

Beritahu mereka bahagian badan mana yang peribadi dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa. Terangkan bahawa organ genital mereka tidak boleh disentuh oleh sesiapapun tanpa izin, termasuklah oleh saudara atau rakan terdekat. Namun, terangkan juga masa-masa di mana mama, papa, doktor atau jururawat mungkin boleh diizinkan apabila betul-betul perlu.

Ajar anak mengenai sempadan badan seperti bagaimana untuk menghormati ruang peribadi seseorang dan kepentingan meminta izin sebelum menyentuh seseorang (contohnya untuk memeluk atau menggeletek kawan).

Tangani sifat ingin tahu mengenai seks dengan bijak dan sensitif

Anda perlu memahami bahawa eksplorasi badan adalah sebahagian daripada proses pembesaran anak dan satu cara untuk mereka memahami badan mereka. Kanak-kanak prasekolah sering menyentuh organ genital mereka atau rakan-rakan mereka kerana perasaan ingin tahu.

Jika ini terjadi, reaksi anda memainkan peranan yang penting. Mula-mula, alihkan perhatian anak daripada aktiviti itu. Jangan menjerit dalam keadaan marah atau terkejut dan memalukan mereka. Ini hanya akan membuatkan mereka malu dengan diri sendiri dan benci pada tubuh badan mereka.

Kemudian, setelah bertenang, terangkan kepada mereka bahawa sifat ingin tahu mereka itu adalah semulajadi, namun tekankan mengenai kepentingan privasi dan menghormati tubuh badan orang lain. Jika mereka ingin tahu tentang perbezaan badan lelaki dan perempuan, bantu mereka memahaminya dengan menggunakan kaedah bercerita melalui buku yang sesuai dengan umur, seperti buku bergambar ini.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Kimberly Lee

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.