fbpx
Author

Umirra Sahad

Browsing

Menjadi ibu buat kali pertama merupakan salah satu pengalaman terindah yang berlaku dalam kehidupan seorang wanita. Bermula daripada perkhabaran gembira kehadiran janin dalam perut kita, hinggalah saat diusung ke dalam dewan bersalin, semuanya pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Pengalaman ini juga berbeza bagi setiap individu, begitu juga dengan proses tumbesaran anak-anak.

Sebagai seorang ibu, sudah tentu kita hanya mahukan yang terbaik untuk tumbesaran anak kita. Begitu juga halnya dengan Jihan Muse, selebriti dan pengacara terkenal tanahair. Jihan berkongsi dengan makchic suri pengalaman sebagai ibu kepada buah hati pengarang jantungnya, Ungku Arsalan Haq atau panggilan manjanya Baby Ninja.

Pengalaman mengandungkan Arsalan

Pada mulanya, saya berasa gementar dan gembira pada masa yang sama. Walaupun saya mempersiapkan diri sebanyak mungkin, saya bersedia juga untuk tidak terlalu berharap untuk mengikut apa yang dirancangkan lebih awal. Penting untuk mengingatkan diri kita supaya tidak tertekan dan menikmati saat-saat apa adanya.

Motherhood tidak selalu mengikut apa yang kita rancangkan tetapi kaum ibu mempunyai naluri keibuan yang kuat dan kita tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Saya cuba mengingatkan diri untuk mempercayai naluri itu.

Momen indah bersama Arsalan

Semua momen dan kenangan bersama Arsalan tidak ternilai bagi saya. Tetapi memori paling bermakna bagi saya adalah apabila Arsalan mula menyebut Bonda, walaupun waktu itu dia hanya boleh menyebut ‘bomba’. Memori itulah sangat best.

Sebenarnya tempoh PKP adalah masa yang saya nanti-nantikan kerana saya sibuk dengan kerja akhir-akhir ini. Kerana kami sekarang lebih di rumah, kami dapat meluangkan lebih masa berkualiti bersama-sama. Saya amat menghargai waktu ini kerana dapat lihat sendiri tumbesaran Arsalan setiap hari.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah

Masa berlalu begitu cepat. Selalu saya terfikir janganlah membesar terlalu cepat wahai anakku tetapi tidak mungkinlah itu berlaku.

Saya dan suami membawa Arsalan berenang setiap minggu (sebelum PKP), mengajarnya mengira, ABC dan melukis untuk menggalakkan perkembangan minda. Buat masa ini Arsalan meminati dinosaur dan kami akan menonton dan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang ada dinosaur untuk membantu Arsalan belajar nama-nama dinosaur.

Selain itu, saya akan cuba pastikan Arsalan dapat tidur yang cukup, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan untuk memastikan badannya dilindungi oleh sistem imun yang kuat.

Membesarkan anak bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ahli keluarga perlu bekerjasama, bergantung pada satu sama lain untuk mendapat sokongan dan berkongsi tanggungjawab menjaga anak. Lebih mudah untuk kita atasi sebarang dugaan dalam hidup jika ada keluarga sebagai sokongan.

Cabaran paling  sukar sepanjang menjadi seorang ibu

Sekarang ini, cabaran paling besar saya ialah kerenah Arsalan yang cerewet makan, dan masalah ini mungkin selalu dihadapi oleh ibu bapa lain. Saya merasa bimbang Arsalan tidak mendapat semua nutrien-nutrien. Perkembangan awal kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk anak-anak kecil dan nutrisi atau pemakanan ialah salah satu cara penting untuk membantu anak-anak kita membesar secara sihat dan aktif, dengan sistem imun yang kuat.

Dalam tempoh ini, suami dan saya mencuba pelbagai jenis makanan dengan Arsalan untuk memahami apa yang dia suka dan tidak suka. Saya belajar untuk bersabar sepanjang proses tersebut dan pada masa yang sama memastikan bahawa Arsalan mendapati nutrisi yang mencukupi semasa fasa ini.

Baru-baru ini, saya mendapat nasihat yang bernas daripada acara siaran langsung (livestream) Facebook yang saya sendiri kendalikan untuk Enfagrow A+ MedTalk bersama Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Runding Pediatrik Perkembangan dan Am dari Klinik Pakar Kanak-Kanak Baby and Beyond di Kuala Lumpur. Dalam sesi tersebut, Dr Rajini berkongsi petua untuk menguruskan anak yang cerewet makan, dan saya suka dengan cadangannya untuk membuat seni penyediaan makanan agar proses menjamu selera lebih menyeronokkan dan menceriakan bagi anak-anak kita. Disamping itu juga, ‘MyHealthy Plate’ boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyediakan makanan seimbang dalam jumlah yang sesuai.

Dengan mengetahui ramuan dalam pemakanan anak, ia membantu saya merancang makanan yang lebih baik dan sihat untuk Arsalan. Terdapat banyak nutrien yang berkhasiat seperti MFGM Complex (Milk Fat Globule Membrane) yang menyokong pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak.

Saya dan suami akan mencari jalan terbaik untuk menegur dan menerangkan kepada Arsalan. Suami saya juga memainkan peranan dan saya bersyukur kerana dapat melakukan semua ini bersama. Pengalaman menjaga anak lebih mudah apabila kita saling membantu.

Makanan wajib Arsalan di rumah

Saya akan cuba menyediakan makanan yang mengandungi nutrien-nutrien penting untuk Arsalan supaya dia membesar dengan sewajarnya dan mempunyai sistem imun yang kuat. Biasanya saya merancang menu lebih awal dan menyediakan pelbagai kumpulan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat seperti nasi dan mi dan protein seperti daging tanpa lemak.

Aktiviti favourite bersama Arsalan

Kami sekeluarga meluangkan banyak masa bersama dan saya percaya ini dapat membantu perkembangan mental anak serta keyakinan mereka.

Saya dan suami biasanya membawa Arsalan pergi berenang bersama-sama. Dalam tempoh PKP, oleh kerana tidak dapat berenang di luar, kami telah membuka mini pool di depan rumah dan kami seronok bermain dengan Arsalan.

Antara kerjaya dengan anak

Kita perlu membahagikan masa dengan baik antara kerja dan keluarga. Pengurusan masa itu amat penting – setelah menjadi ibu saya telah menyesuaikan jadual kerja untuk pastikan waktu kerja saya hanya lapan jam sehari. Sekarang, saya hanya menerima satu tugasan sehari kerana sudah tidak dapat bekerja sehari suntuk seperti dulu. Selain itu, jika saya bertugas pada waktu malam, saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada waktu pagi dan petang.

Dengan mengatur jadual lebih awal, saya boleh menyusun dan menetapkan rutin dalam kehidupan harian. Saya biasanya merancang jadual harian lebih awal dan menyediakan menu dan aktiviti anak terlebih dahulu, kerana langkah ini membolehkan saya menjimatkan masa dan mempersiapkan diri untuk sesuatu yang tidak dijangka kemudian.

Harapan dan impian buat Arsalan

Saya enjoy menjadi ibu kepada Arsalan. Kalau boleh saya tak nak lepaskan peluang melihat dia membesar di depan saya. Bagi saya, motherhood adalah satu kebahagiaan dan kepuasan Arsalan.

Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik untuk anak saya dan saya mahu menjadi bentuk sokongan yang terbaik untuk dia. Pada masa ini, Arsalan adalah keutamaan saya dan keperluan anak saya melebihi diri saya sekarang ini.

Saya ingin memastikan bahawa Arsalan mempunyai gaya hidup yang sihat dan aktif, perkembangan mental yang baik, imun badan yang kuat, banyak cinta dan masa keluarga.

Paling penting, saya harap dia menjadi seorang yang berakhlak, beradab dan menghormati orang-orang tua. Sebagai ibu bapa, kita adalah guru pertama anak kita dalam kehidupan. Ia sangat penting untuk kita mengamalkan nilai-nilai murni yang baik sebagai contoh kepada anak-anak kita.

 

Kredit foto: Jihan Muse 

Hampir 3 bulan sekolah ditutup atas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akan membuka semula sekolah pada 24 Jun 2020, namun keutamaan hanya akan diberikan kepada murid  kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.

Selama hampir 3 bulan jugalah, ibu bapa, anak-anak dan juga guru-guru terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Tanpa persediaan yang rapi dan pengetahuan yang menyeluruh, mampukah kita sebagai ibu bapa memainkan peranan sebagai guru di rumah? Bagaimana pula penerimaan anak-anak yang sudah menjadi rutin mereka ke sekolah tetapi kini terpaksa belajar di rumah pula? Bolehkah guru-guru menyediakan bahan yang lengkap, sesuai untuk ibu bapa dan anak murid di rumah?

Agak sukar untuk anak-anak kecil

Pembelajaran atas talian lebih mudah untuk dipraktikkan oleh murid yang lebih dewasa, contohnya murid sekolah menengah atau sekurang-kurangnya pelajar Tahun 6. Anak-anak yang masih tadika atau Tahun 1 terutamanya mempunyai masalah untuk memberikan sepenuh perhatian dalam tempoh yang lama berbanding mereka yang lebih dewasa. Ini mungkin menyukarkan sesi pembelajaran atas talian untuk dijalankan.

Masalah akses kepada fasiliti

Kita perlu terima hakikat bahawa kemudahan internet atau WiFi di negara kita masih belum mencapai tahap optimum. Tidak semua murid mempunyai akses ini di rumah masing-masing, lebih-lebih lagi murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman. Ini juga sukar buat keluarga yang mempunyai ramai adik-beradik yang masih bersekolah dan kemudahan seperti komputer atau telefon pintar sangat terhad.

Interaksi antara murid dan guru

Interaksi antara murid dengan guru amat penting demi memastikan tiada yang ketinggalan dalam kelas. Ini mungkin lebih mudah jika pembelajaran dilakukan secara normal di sekolah, namun berbeza keadaannya di atas talian. Murid yang pendiam akan terus senyap dan ‘halimunan’ dalam kelas atas talian berbanding dengan yang lain.

Faktor persekitaran di rumah

Jika di sekolah, setiap murid akan berada dalam kelas semasa sesi pembelajaran. Berbeza dengan di rumah, murid terpaksa sesuaikan dengan keadaan di rumah. Bising, adik-beradik yang lain mengganggu konsentrasi, persekitaran yang tidak kondusif seperti tiada bilik yang sesuai – ini semua boleh menyebabkan murid-murid menjadi tidak bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Lebih sukar lagi untuk murid-murid yang ibu bapa adalah petugas barisan hadapan. Ibu bapa terpaksa pergi bertugas tetapi sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak pula tidak dibuka. Maka murid-murid inilah yang terpaksa menjaga adik-beradik mereka di rumah. Apa lagi pilihan yang mereka ada, bukan?

Ibu bapa bukan pengganti guru

Kasihan juga buat ibu bapa yang juga merupakan petugas barisan hadapan. Penat seharian bekerja, terpaksa pula menggagahkan diri membantu anak dalam hal sekolah yang selama ini dapat diringankan sikit dengan bantuan guru-guru di sekolah.

Tidak semua ibu bapa juga mempunyai kesabaran dan kemahiran yang ada pada para guru dalam mendidik anak-anak. Jika di sekolah, anak-anak ini akan lebih hormat dan mendengar kata guru. Berbeza pula di rumah kerana mereka melihat ibu bapa bukanlah sebagai guru mereka sendiri.

Kaedah dan teknik pengajaran ibu bapa sudah tentulah berpandukan cara lama, cara kita di bangku sekolah dahulu. Sudah tentulah berbeza sekali dengan cara pra guru mengajar zaman sekarang. Kalau untuk murid sekolah rendah mungkin masih tiada masalah, tetapi bagaimana pula untuk mengajar subjek yang lebih sukar? Pening dibuatnya!

Ini yang boleh kita lakukan

Singkatkan waktu belajar

Beberapa penambahbaikkan perlu dibuat demi memastikan pembelajaran atas talian ini boleh dilakukan dengan baik. Untuk anak-anak yang masih kecil, mungkin sesi pembelajaran ini boleh dibuat secara singkat antara 30 minit ke sejam. Aktiviti yang dilakukan pula lebih kepada belajar sambil bermain kerana itulah fitrah mereka, terutamanya yang berusia 4 hingga 6 tahun.

Gunakan aplikasi yang bersesuaian untuk membantu

Bagi murid-murid yang tiada kemudahan akses internet, guru-guru boleh merekod sesi pembelajaran melalui aplikasi seperti Zoom, Webex, Google Classroom dan sebagainya untuk murid-murid ini ikuti kemudian. Murid-murid ini juga boleh mengajukan soalan melalui Whatsapp atau emel kepada guru.

Berikan kelonggaran untuk deadline kerja sekolah

Guru-guru juga boleh memberikan masa yang lebih panjang untuk murid-murid menyiapkan kerja sekolah, contohnya seminggu untuk satu subjek. Ini kerana mungkin murid-murid ini perlu berkongsi kemudahan internet dengan adik-beradik yang lain, atau perlu menunggu hingga ibu bapa mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan untuk cuti dan menggunakan telefon bimbit mereka.

Sediakan jadual untuk kekalkan disiplin

Bagi ibu bapa pula, jika dirasakan tidak mahir atau tidak tahu cara yang betul untuk mengajar anak di rumah, mungkin boleh dapatkan bantuan guru tuisyen online. Selain itu, sediakan juga jadual pembelajaran buat anak-anak setiap hari untuk setiap subjek. Ini supaya mereka kekal berdisiplin walaupun sudah lama tidak ke sekolah. Tidaklah mereka mensia-siakan masa bermalasan di rumah.

Guru-guru juga digalakkan untuk lebih kreatif dalam membantu murid-murid yang masih terpaksa ‘bersekolah’ di rumah masing-masing.

Tidak dinafikan, sukar untuk semua pihak terlibat menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian ini. Namun demi masa depan anak-anak kita sendiri, kita perlulah berkorban dan berusaha lebih kuat kerana entah bila akhirnya PKP dan COVID-19 ini. Sementara itu, bertabahlah semua! Kita pasti boleh lakukan ini bersama!

Hampir 2 bulan kita #dudukrumah kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa. Pasti ada yang sudah merasa resah gelisah kerana terpaksa berkurung di rumah, ditambah pula dengan anak kecil yang tidak mengenal erti penat!

Guru-guru berusaha mengadakan kelas online dan memberikan tugasan untuk dibuat. Kita sebagai ibu pula terpaksa mengambil alih peranan sebagai guru untuk mengajar di rumah. Ternyata ia bukannya satu perkara yang mudah. Sekarang barulah kita semakin menghargai penat lelah seorang insan bergelar guru!

Bukan mudah nak homeschool anak, tapi ini ada beberapa tips yang mungkin dapat bantu ringankan stres ibu bapa dan anak-anak lebih enjoy:

1. Child directed learning

Cara paling mudah untuk menarik minat anak-anak untuk belajar ialah dengan memastikan mereka sendiri berminat dan ingin belajar.

Aktiviti yang ‘dimulakan’ sendiri oleh anak-anak disokong oleh ramai pakar termasuklah Reggio Emilia. Sesi pembelajaran yang lebih berkualiti dapat diperolehi apabila anak-anak menunjukkan minat dan melibatkan diri mereka sendiri dalam aktiviti tersebut. Oleh itu, sentiasa peka dan kenalpasti kata-kata ataupun persoalan yang diajukan oleh anak-anak sepanjang hari.

2. Ruang dan jadual pembelajaran

Sediakan ruang dan jadual pembelajaran yang sama setiap hari. Ini membolehkan anak-anak bersedia dan tahu apabila tiba masanya untuk belajar pada hari tersebut. Homeschooling memberikan fleksibiliti yang diperlukan dalam situasi seperti ini. Ada sesetengah anak-anak yang suka beberapa waktu rehat diselang-selikan dengan sesi pembelajaran. Ada sesetengahnya pula sukakan ruang kecil dan selesa dalam bilik yang besar. Bincangkan dan capai kata sepakat dengan anak-anak.

Apabila di rumah, sudah tentulah sesi pembelajaran yang lebih praktikal akan berlaku setiap masa sepanjang hari tanpa boleh dirancang sepenuhnya. Kadangkala semasa memasak juga boleh dijadikan sesi pembelajaran tentang konsep sukatan. Gunakan contoh-contoh praktikal ini untuk memperteguh pembelajaran harian.

3. Tugasan harian di rumah

Sentiasa libatkan anak-anak dalam tugasan harian di rumah. Kaedah Montessori yang popular juga menggalakkan kemahiran  ‘kehidupan praktikal’ bermula dari kecil.

Melakukan tugasan harian di rumah membina sifat-sifat positif seperti rasa tanggungjawab, ringan tulang dan kerjasama. Anak kecil yang baru belajar berjalan pun boleh diajar untuk membantu tugasan yang mudah seperti menyedok nasi ke dalam mangkuk. Walaupun perlu dilakukan berkali-kali untuk menyudahkan tugasan itu dan perlu dibersihkan pula kemudian!

Susun barang dapur mengikut kategori. Membaca resipi semasa memasak. Kitar semula semasa membuang sampah. Semua ini adalah antara perkara yang boleh anak-anak belajar hanya dengan melakukan tugasan harian di rumah.

4. Kemahiran sosio-emosi

Dalam kehidupan seharian kita sering bersosial maka sudah tentu bukan sesuatu yang mudah apabila terpaksa mengamalkan penjarakan sosial. Anak-anak apatah lagi. Oleh itu, galakkan anak-anak untuk kekal berhubung melalui panggilan video dengan orang-orang yang mereka sering berjumpa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan.

Bercakap tentang perasaan juga membantu anak-anak melalui perubahan drastik ini. Kumpulkan seluruh ahli keluarga untuk bercakap secara terbuka tentang apa yang mereka rasa tentang perubahan ini dan cuba cari jalan penyelesaian untuk membantu meringankan tekanan yang dirasai.

Galakkan rasa bersyukur dikalangan ahli keluarga dalam situasi sekarang ini. Contoh aktiviti mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membuat jurnal kesyukuran. Suruh anak-anak untuk lukiskan atau tuliskan perkara yang membuatkan mereka rasa bersyukur sepanjang minggu. Jawapan yang mereka berikan mungkin akan mencairkan hati anda!

5. Biarkan anak-anak bosan

Kita semua mahukan hanya yang terbaik untuk anak-anak. Pada hari biasa, anak-anak kita akan dibawa ke sana-sini untuk pelbagai aktiviti. Memenatkan buat kita tetapi tetap kita lakukan demi masa depan mereka. Tetapi apa yang boleh dimanfaatkan dengan hanya terperuk di rumah sepanjang hari? Kita pula yang stres cuba mencari aktiviti yang boleh mereka lakukan untuk mengisi masa lapang mereka agar tidak bosan.

Jangan bimbang, kajian mendapati banyak kebaikan yang diperolehi melalui kebosanan. Menurut pakar psikologi, kebosanan dan masa terluang membuahkan kreativiti dan membolehkan anak-anak ketahui minat masing-masing. Perhatikan anak-anak mencari idea untuk menghiburkan diri sendiri. Tidak perlu membazir beli barang permainan berasaskan pendidikan atau educational toys. Selimut di rumah boleh dijadikan ‘kubu pertahanan’. Kerusi pula dijadikan ‘keretapi’.

Ini adalah masa terbaik untuk ‘memperlahankan’ kehidupan harian kita, nikmati momen-momen bersama anak di rumah dan biarkan mereka bosan!

Sedar kebolehan sebenar anak-anak

Masa inilah baru kita dapat lihat dengan lebih jelas kebolehan anak-anak kita dalam pembelajaran. Mungkin selama ini kita ingatkan mereka tiada masalah dalam memahami apa yang diajarkan di sekolah, namun sebaliknya yang berlaku.

Benar, bukanlah perkara mudah untuk mengajar anak contohnya ketika membuat kerja sekolah bersama mereka. Namun kita sebagai ibu janganlah cepat melenting, sentiasa sabar kerana tanpa kita sedar, perbuatan kita itu mampu memberikan impak negatif buat emosi mereka.  Kita stres, mereka lagi stres.

Berpadu tenaga dengan pasangan

Masa inilah juga kita dapat lihat sisi sebenar pasangan kita. Adakah mereka membantu atau pun hanya menyerahkan segalanya kepada kita untuk diselesaikan?

Mungkin juga kita sudah terbiasa selama ini segalanya diuruskan oleh pasangan atau kita sendiri. Namun dalam tempoh PKP sekarang ini, kita perlu bergabung tenaga dengan pasangan demi memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan tidak berakhir dengan pertengkaran setiap hari.

Lebih menyedihkan jika anak-anak lebih suka meluangkan masa dengan ayah mereka berbanding kita sendiri kerana kita bukan ibu yang fun berbanding ayah. Jadi janganlah terlalu serius wahai ibu! Jangan terlalu ambil pusing tentang sesuatu perkara buat masa sekarang ini, fokus untuk luangkan masa gembira bersama keluarga.

Berikan pujian

Bila terpaksa duduk sebumbung dalam tempoh yang lama, senang untuk kita nampak perkara yang negatif contohnya rumah bersepah. Gunakan peluang ini untuk meminta anak mengemas rumah bersama-sama. Jangan lupa berikan arahan dengan jelas dan tepat. Kemudian berikan pujian atas usaha mereka. Barulah mereka ringan tulang untuk membantu dengan perkara lain selepas itu, bukan? Perkara yang sama juga boleh dibuat untuk pasangan.

Jangan cuba untuk melakukan semuanya seorang diri. Ini bukan masanya untuk menjadi terlalu teliti atau mementingkan kesempurnaan. Letakkan kepercayaan kepada orang lain dalam rumah untuk membantu anda, barulah tak stres!

Bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu tahun ini disambut penuh syahdu. Tiada solat terawih berjemaah di masjid. Tiada kunjungan ke bazar Ramadan. Tidak dapat merasa kemeriahan bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai bersama-sama sanak-saudara dan rakan-taulan.

Beza, sungguh berbeza. Semuanya demi memerangi musuh yang tidak dapat dilihat, Covid-19. Namun kita perlu cekalkan hati dan sentiasa berfikiran positif bahawa semua ini perlu diharungi bersama.

Hayati pengertian sebenar Ramadan

Sebagai umat Islam, kita perlu melihat dari sudut positif akan setiap perkara yang berlaku. Mungkin inilah masa terbaik untuk kita ambil kesempatan menghayati pengertian sebenar Ramadan yang dianjurkan dalam Islam. Masa untuk melebihkan ibadah dan masa untuk bersama keluarga.

Ada di antara kita yang sebelum ini sibuk mengejar berbuka puasa di luar contohnya bufet hotel sehingga berlaku pembaziran yang tak dapat dielakkan. Melewatkan atau meninggalkan terus solat terawih kerana masih rancak melepak dan berborak selepas berbuka puasa bersama rakan-taulan di luar. Bila berkunjung ke bazar Ramadan pula, mulalah nafsu yang mengatasi kewarasan bila membeli juadah berbuka puasa, sudahnya dibuang ke tong sampah.

Self-reflection juga lebih berkesan jika kita menyendiri. Inilah masanya untuk kita mengamalkan cara hidup sunnah contohnya makan secara minimum, solat di awal waktu, tidur dan bangun awal setiap hari, banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir. Bersedekah kepada mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua keluarga juga dapat ambil kesempatan ini untuk mengimamkan isteri dan anak-anak di rumah. Belajar dan hafal lebih banyak surah.

Jangan pentingkan diri sendiri

Inilah sahaja caranya untuk #kitajagakita. Kasihanilah para petugas barisan hadapan yang membahayakan nyawa mereka sendiri demi membantu menyelamatkan nyawa kita semua. Ada diantara mereka yang sudah sekian lama tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga mereka sendiri kerana sibuk bertugas atau terlalu bimbang akan membahayakan nyawa orang kesayangan mereka sendiri.

Walaupun jika PKP ditamatkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, kita seharusnya menjadi inidvidu yang bertanggungjawab dengan kekal #dudukrumah, tidak pulang ke kampung halaman supaya tidak membahayakan nyawa kita sendiri dan juga orang kesayangan kita. Ingatlah, warga emas dan wanita hamil adalah antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak ini.

Covid-19 umpama reset button untuk mengingatkan kita tentang fitrah. Ambillah kesempatan ini dengan sebaiknya untuk beramal. Kita pasti menang!

“Semasa saya masih kecil, saya lihat banyak perkara menakutkan yang dilaporkan dalam berita. Ibu saya akan berkata kepada saya, “Cari orang yang memberikan bantuan dalam situasi itu. Kamu akan sentiasa jumpa orang yang sibuk memberikan bantuan.” – Encik Rogers, pendidik di Amerika Syarikat.

Peraduan Hari Ibu #MakchicAndMe pada tahun ini mengangkat kaum ibu yang selalu sibuk memberi bantuan dan sanggup berkorban apa sahaja untuk memberikan yang terbaik kepada komuniti. Dalam situasi yang tidak disangka-sangka seperti sekarang ini, laporan berita yang kita lihat sangatlah menakutkan dan membimbangkan. Namun kita juga ada mendengar tentang golongan yang menghulurkan bantuan dalam situasi sekarang ini – golongan yang memberikan sinar harapan kepada mereka yang sedang terlantar sakit, kelaparan, tiada tempat tinggal, memerlukan perlindungan, atau sekadar inginkan suntikan semangat dalam diri mereka.

Berikan pengiktirafan kepada ibu yang layak

Kita semua pasti kenal seseorang di kalangan kita yang memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada para petugas barisan hadapan, menyelamatkan haiwan liar yang berkeliaran di jalanan, membina rumah, menyertai marathon untuk mengumpul dana, menjadi sukarelawan soup kitchen untuk gelandangan, memberikan kelas tuisyen di rumah anak yatim, atau membina sistem bekalan air untuk penduduk di kawasan pedalaman.

Kongsikan kisah mereka dan mereka berpeluang memenangi Care Package iaitu pakej memanjakan diri di rumah:

Care Package Partners untuk Peraduan Hari Ibu 2020 #MakchicAndMe menyediakan pakej memanjakan diri ini untuk tiga ibu bertuah. Kami juga akan menyiarkan kisah pemenang dan menyertakan sekali pautan untuk projek atau bantuan yang dihulurkan oleh pemenang tersebut dalam artikel pemenang peraduan di makchic.com. Orang yang bertanggungjawab mencalonkan mereka sebagai pemenang juga akan menerima goodie bags.

Ikuti langkah berikut

Jika anda ingin kawan, saudara atau diri anda sendiri memenangi peraduan ini anda hanya perlu:

  1. Muatnaik kisah tentang pengorbanan si ibu itu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu orang lain di Facebook atau Instagram dengan menggunakan tanda pagar #MakchicAndMe. Kemudian, emelkan screenshot kepada makchic+contest@popdigital.my; dan
  2. Like Makchic dan Makchic Suri di Facebook, serta Follow @makchic dan @makchicsuri di Instagram.
  3. Jangan lupa untuk tag si ibu tersebut dan jika boleh sertakan sekali gambar atau video. Anda boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan. Ikuti akaun media sosial kami untuk mendapatkan maklumat terkini tentang peraduan ini. Sila kongsikan maklumat tentang peraduan ini supaya kaum ibu yang hebat ini mendapat penghargaan yang selayaknya buat mereka. Mari sama-sama penuhi ruang internet dengan harapan dan inspirasi.

Peraduan ini tamat pada 8 May 2020, jam 5 petang.


Terma dan syarat Peraduan Hari Ibu 2020 #MakchicAndMe

  1. Peraduan ini terbuka kepada semua penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, kecuali kakitangan makchic dan saudara terdekat mereka atau sesiapa yang berkaitan dengan pihak organisasi dan pengadil peraduan.
  2. Melalui penyertaan ini, peserta memberikan persetujuan untuk mengikuti terma dan syarat yang telah ditetapkan penganjur.
  3. makchic mempunyai hak untuk menggunakan setiap penyertaan beserta gambar dan video untuk tujuan pengiklanan dan bukan pengiklanan termasuklah editorial, laman web dan media sosial tanpa sebarang kos. Nama peserta peraduan akan dinyatakan dalam tujuan ini.
  4. Tiada yuran penyertaan dikenakan dan tiada bukti pembelian diperlukan untuk menyertai peraduan ini. Tiada hadiah alternatif dalam bentuk tunai akan ditawarkan.
  5. Peraduan ini dijalankan di laman Facebook serta Instagram makchic dan makchic suri, serta emel kepada makchic+contest@popdigital.my.
  6. Tarikh tutup peraduan pada 8 May 2020, jam 5 petang. Selepas tarikh ini tiada sebarang penyertaan akan dibenarkan.
  7. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap penyertaan yang tidak diterima atas sebarang alasan.
  8. Syarat dan cara penyertaan adalah seperti berikut:
    1. Muatnaik kisah mengenai seorang ibu (kawan, saudara, atau diri anda sendiri) di Facebook atau Instagram tentang bagaimana dia sanggup lakukan apa sahaja untuk kebaikan komuniti, sebagai contoh membantu petugas barisan hadapan, menyelamatkan haiwan liar yang berkeliaran di jalanan, membina rumah tempat berlindung untuk golongan kurang bernasib baik, menyertai marathon untuk mengumpul dana, menjadi sukarelawan soup kitchen untuk gelandangan, memberikan kelas tuisyen di rumah anak yatim, membina sistem bekalan air di kawasan pedalaman. Gunakan tanda pagar #MakchicAndMe kemudian emelkan screenshot tersebut kepada makchic+contest@popdigital.my; dan
    2. Like dan Follow @makchic DAN @makchicsuri di Facebook serta Instagram.
  9. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti peperangan, gangguan awam atau ketenteraan atau sebarang kejadian yang diluar bidang kuasa pihak penganjur, makchic berhak membatalkan atau membuat perubahan pada peraduan serta terma dan syarat yang telah ditetapkan terdahulu tanpa sebarang notis. Sebarang perubahan yang dilakukan akan dimaklumkan dengan secepat mungkin oleh makchic kepada peserta peraduan.
  10. makchic tidak bertanggungjawab bagi sebarang maklumat yang tidak tepat mengenai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang melalui pihak ketiga yang terbabit dengan peraduan ini.
  11. Pemenang peraduan akan diberitahu melalui emel dan/atau DM di Instagram/Facebook dalam masa 24 jam selepas tarikh tamat peraduan. Jika pemenang tidak dapat dihubungi, makchic berhak untuk menarik kembali hadiah yang ditawarkan dan menawarkannya kepada pemenang ganti.
  12. Setiap keputusan adalah muktamad.
  13. Peraduan ini beserta terma dan syarat penyertaan adalah di bawah undang-undang kerajaan Malaysia dan sebarang pertikaian adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah di Malaysia.
  14. Pemenang bersetuju untuk membenarkan penggunaan nama dan imej mereka bagi tujuan publisiti termasuklah karya penyertaan mereka. Sebarang maklumat peribadi berkaitan pemenang atau peserta peraduan lain akan digunakan berdasarkan undang-undang perlindungan data dan tidak akan didedahkan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran peserta peraduan.
  15. Promosi ini tidak ditaja, disokong atau ditadbir oleh, atau berkaitan dengan Facebook dan/atau Instagram.

Sejak kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, ramai di antara kita yang mengeluh kerana sudah bosan duduk di rumah. Namun pernahkah kita terfikir, dalam kita ‘bosan’ di rumah bersama keluarga, ada individu yang terpaksa #dudukrumah dengan pasangan yang kaki dera? Apa pula akan jadi pada individu yang mengalami kemurungan, terpaksa berseorangan di rumah sehingga PKP ini berakhir?

Tempoh ini mungkin membosankan dan merimaskan bagi sesetengah daripada kita, namun ada sebahagian yang lain tidak dapat menjalani tempoh yang ‘merimaskan’ ini dengan baik. Jika anda tergolong dalam golongan ini dan memerlukan sokongan dari segi emosi dan mental, jangan khuatir. Di bawah ini adalah senarai pihak yang boleh membantu anda menempuh kegelapan ini.

Badan perkhidmatan awam

1. Unit Kaunseling Psikologi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya

Bergerak di bawah Kementerian Kesihatan, Pegawai Psikologi terlatih di Unit Kaunseling Psikologi menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk kanak-kanak, golongan muda dan keluarga. Para pegawai di sini juga memberikan bantuan dari segi pemulihan dan krisis campur tangan. Anda memerlukan surat rujukan atau permohonan sebelum membuat janji temu. Anda akan diberikan tarikh janji temu selepas permohonan diproses dalam tempoh 5 hari bekerja. Unit ini beroperasi di hospital kerajaan terpilih seperti Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

Alamat: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cenderasari, 50590 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-2268 7333

Laman web: http://jknkl.moh.gov.my/unit-kaunseling

 

2. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

LPPKN adalah institusi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memberi fokus utama kepada keluarga. Institusi ini mempunyai kaunselor berdaftar di semua cawangannya di seluruh negara buat anda yang memerlukan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan. Selain daripada perkhidmatan kaunseling, institusi ini turut menyediakan khidmat merancang keluarga dan servis klinikal untuk kesihatan reproduktif.

Alamat: Ibu Pejabat LPPKN, Bahagian Pembangunan Keluarga, Unit Kaunseling, 12B, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-2693 7555

Emel: penduduk@lppkn.gov.my

Laman web: http://www.lppkn.gov.my

Badan perkhidmatan swasta

1. InPsych Psychological & Counselling Services

Selain daripada ahli psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar, pusat kaunseling ini juga menyediakan perkhidmatan psikologi pendidikan (pakar dalam hal melibatkan pembelajaran dan motivasi) serta perunding seksualiti. Buat anda yang mengalami gangguan kebimbangan seksual atau pun sebarang isu yang berkaitan dengannya bersama pasangan, pakar perunding seksualiti di sini dapat membantu.

Alamat: 41-3, Jalan 1/137B, Resource Industrial Centre, Off Old Klang Road, 58200 Kuala Lumpur.

No. telefon: +6017-331 1216

Emel: inquiry@inpsych.com.my

Laman web: http://www.inpsych.com.my/

 

2.  Kin & Kids Marriage, Family and Child Therapy Center

Dengan pasukan berpengalaman yang terdiri daripada pelbagai disiplin termasuklah ahli psikologi klinikal, ahli psikoterapi berdaftar serta kaunselor berlesen dan berdaftar, pusat terapi ini mampu menyediakan perkhidmatan kaunseling dalam pelbagai bidang termasuklah hal pengantaraan keluarga dan juga kaunseling penjagaan anak bersama selepas perceraian. Jika anda merancang untuk berkahwin, pusat terapi ini membantu anda mengenalpasti dan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk membina keluarga yang bahagia dan berkekalan melalui Penilaian Perhubungan Peribadi Pra-Perkahwinan.

Alamat: 10-8, Binjai 8 Premium Soho, No. 2, Lorong Binjai, 50450 Kuala Lumpur, or  5-05-03, Block 5, VSQ @ PJ City Centre, Jalan Utara, 46200 Petaling Jaya.

No. telefon: +6019-380 0902 or +6018-667 0902

Emel: enquiries@kinandkids.com

Laman web: http://www.kinandkids.com/

 

3. The Mind Psychology Services & Training

Pusat psikologi ini mempunyai pasukan besar yang terdiri daripada ahli psikologi klinikal, ahli psikologi sukan dan kesihatan serta kaunselor. Ini membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih meluas seperti terapi untuk kanak-kanak dan keluarga serta kumpulan sokongan untuk anda yang mengalami masalah berat badan dan gangguan tidur. Pasukan yang sama juga menyediakan perkhidmatan latihan teknik kesedaran dan cara menguruskan tekanan.

Alamat: C-41-11, Jaya One, Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya.

No. telefon: + 603-7931 8436

Emel: contact@themind.com.my

Laman web: http://www.themind.com.my

 

4. Rekindle Centre for Systemic Therapy

Pusat terapi ini memilih pendekatan sistematik yang popular di Amerika Syarikat, iaitu dengan menggunakan pelbagai terapi yang berbeza untuk membantu keluarga yang bermasalah. Sebagai contoh, sementara ibu bapa cuba menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dengan pakar terapi perkahwinan, anak-anak mereka pula boleh melibatkan diri dalam permainan atau terapi kanak-kanak. Seluruh keluarga itu kemudiannya akan menjalani sesi terapi bersama melalui pakar terapi keluarga.

Alamat: 42-2 Jalan 25/70A, Desa Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-6201 7488 or +6019-369 8519

Emel: enquiries@rekindletherapy.com

Laman web: http://rekindletherapy.com/

 

5. The Mind Faculty

Kesemua 25 pakar dan pengamal psikiatri di The Mind Faculty mempunyai kelayakan dan kemahiran yang hebat dalam pelbagai cabang kesihatan mental. Anda boleh mendapatkan rawatan untuk berbagai-bagai masalah termasuklah ketagihan dan gangguan pemakanan. Penilaian psikologi juga boleh dibuat di sini bagi menentukan kesediaan untuk pembelajaran atau kelewatan perkembangan. Jika anda mencari kaunselor yang berpengalaman dan pakar dalam isu perhubungan, anda boleh berjumpa dengan Cik Sharan Kaur di sini.

Alamat: 11, Jalan Solaris 4, Solaris Mont’ Kiara, Jalan Solaris, Off Jalan Duta Kiara, 50480 Kuala Lumpur.

No. telefon: +603-6203 0359 or +603-6203 0733

Emel: enquiries@themindfaculty.com

Laman web: https://themindfaculty.com

Institusi Berasaskan Komuniti

1. Grace Community Services

Grace Community Services menjalankan Birthright, iaitu perkhidmatan sokongan dan kaunseling buat kaum ibu yang tidak berkahwin untuk menggalakkan mereka meneruskan kandungan sehingga proses kelahiran dan terus menjaga anak mereka. Jika si ibu memutuskan tidak mahu menjaga bayi mereka selepas dilahirkan, Birthright akan menyediakan perkhidmatan profesional untuk membantu mereka mencari keluarga angkat yang sesuai. Pusat komuniti ini juga berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan telah membantu lebih 800 ibu yang tidak berkahwin dari pelbagai bangsa, agama dan latarbelakang sepanjang kandungan mereka.

Alamat: No. 7, Jalan Dendang 1, Kawasan 16, Berkeley Town Centre, Klang 41300, Selangor.

No. telefon: +603-33414044 or +603-33414055

Emel: inquiry@gracecommunityservices.my

Laman web: www.gracecommunityservices.my

Facebook: https://www.facebook.com/Grace-Community-Services-128107253928755/

 

Hotline

1.  All Women’s Action Society (AWAM) – Telenita

Mangsa gangguan dan penderaan seksual serta keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan daripada AWAM. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma dan AWAM menggunakan khidmat kaunselor pelatih yang sedang dalam peringkat Ijazah Sarjana untuk memberikan kaunseling dan sokongan emosi. AWAM juga bekerjasama dengan Pusat Bantuan Guaman KL & Selangor dalam menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma. Selain daripada itu, mereka turut menjadi pusat rujukan buat mangsa yang memerlukan perkhidmatan daripada organisasi lain seperti pusat perlindungan dan terapi keluarga.

Alamat: 85, Jalan 21/1, Sea Park, Petaling Jaya, 46300 Selangor.

No. telefon: +603-7877 0224

Emel: telenita@awam.org.my or awam@awam.org.my

Laman web: https://www.awam.org.my/

2. Befrienders KL

Kumpulan sukarelawan Befrienders telah menjadi tempat perlindungan buat masyarakat sejak tahun 1970. Dengan bantuan profesional daripada ahli psikiatri dan psikologi, mereka memberikan bantuan dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa prejudis. Sama ada anda kesunyian, mempunyai perasaan untuk membunuh diri atau sekadar memerlukan seseorang untuk berbual, anda boleh mendapatkan sokongan emosi daripada tiga cabang Befrienders: menerusi talian telefon 24 jam setiap hari, bersemuka melalui janji temu yang telah ditetapkan terlebih dahulu, atau emel.

Alamat: 95 Jalan Templer, Petaling Jaya, 46000 Selangor.

No. telefon: +603-7956 8145 or +603-79571306

Emel: sam@befrienders.org.my or admin@befrienders.org.my

Laman web: https://www.befrienders.org.my

3. Talian Kasih

Talian Kasih menyediakan perkhidmatan kecemasan untuk mereka yang menderita akibat didera, diabaikan atau keganasan rumah tangga. Mereka juga menyediakan khidmat kaunseling melalui talian hotline. Selain itu , Talian Kasih turut memberikan sokongan untuk ibu tunggal, miskin dan cacat atau kurang upaya.

No. telefon: 15999

Emel: taliannur@kpwkm.gov.my

Laman web: http://www.lppkn.gov.my/index.php/talian-nur.html

4. Women’s Aid Organisation (WAO)

Jika anda didera oleh pasangan dan memerlukan perlindungan serta sokongan, anda boleh mendapatkan bantuan dari WAO. Sejak ditubuhkan pada tahun 1982, organisasi ini telah memberikan perlindungan dan kaunseling secara percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

No. telefon: +03-7956 3488 / +6018 988 8058 (Whatsapp atau SMS)

Emel: womensaidorg@gmail.com

Laman web: https://wao.org.my/


Senarai ini tidak muktamad dan butiran mungkin tertakluk kepada perubahan. Jika anda tahu mana-mana pusat atau kumpulan sokongan yang lain, sila emel ke makchic@popdigital.my.

Perdana Menteri Malaysia baru sahaja mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan hingga 14 April 2020. Sudah pasti kita semua hampir ketandusan idea apakah aktiviti yang boleh dibuat bersama keluarga di rumah. Seminggu pun sudah hampir gila dibuatnya!

Jangan panik dan cepat stres! Yang penting sekali kita perlulah lihat dari sisi positif disebalik apa yang berlaku ini.

Jika selama ini kita sibuk dengan jadual harian masing-masing, gunakanlah kesempatan ini meluangkan masa bersama keluarga. Duduk semeja makan bersama,  dan carilah aktiviti yang mudah dan menghiburkan. Manfaatkan waktu bersama.

Inilah juga masanya untuk sama-sama mengemas rumah, bersihkan segala tombol pintu, lantai dan permukaan yang menjadi medan virus tersebar.

Disini, kami kongsikan beberapa idea dan aktiviti yang boleh dibuat bersama di rumah:

1. Serlahkan kebolehan anda di dapur

Jika selama ini anda mengeluh tidak mempunyai masa untuk mencuba resepi baru, inilah masanya! Ajak sekali pasangan dan anak-anak untuk mencuba. Terdapat ramai chef terkemuka seperti chef bintang Michelin Massimo Bottura serta Jamie Oliver yang membuat online tutorial untuk resepi-resepi popular mereka. Ramai juga chef tempatan seperti Ili Sulaiman dan Anis Nabilah yang turut kongsi cara masak yang sihat dan mudah. 

Kredit foto: Ili Sulaiman

2. Cari hobi baru

Melancong – hobi ini terpaksalah dilupakan seketika. Bagi yang gemar membaca pula, mungkin sudah tamat semua buku yang tertangguh. Ini masanya mencari hobi baru! Bagi mereka yang mempunyai ruang, mungkin anda boleh cuba bercucuk tanam di rumah? Selain itu boleh juga gunakan kesempatan ini untuk mengubahsuai perabot dan perhiasan dalam rumah, barulah tidak bosan melihat susunatur yang sama setiap hari! Buat anda yang gemar menulis dalam blog atau menyimpan jurnal sebelum ini, mungkin ini masanya untuk kembali aktif menulis.

3. Daftar kursus online

Mungkin sudah acapkali tertangguh, inilah masanya untuk anda akhirnya belajar bermain alat muzik seperti gitar! Search saja di YouTube, banyak tutorial yang boleh diikuti dengan mudah. Dengan adanya laman web seperti Duolingo, belajar bahasa ketiga pun macam menarik juga. Senanglah nak menonton drama Korea tanpa sarikata, kan? Laman web seperti Coursera dan Skillshare juga boleh dilayari untuk pelbagai kursus percuma.

4. Jangan lupa bersenam

Dengan perintah kawalan  pergerakan ini, anda pastinya tidak menggunakan otot-otot sebanyak yang biasanya anda lakukan. Jadi, jangan lupa untuk memperuntukkan sedikit masa untuk bersenam. Ia bukan sahaja bermanfaat untuk tubuh anda, tetapi juga untuk minda anda – terutamanya dalam mengurangkan anxiety pada tempoh yang tidak menentu ini.

5. Rehatkan diri

Bekerja dari rumah, menjaga kanak-kanak dan isi rumah sudah tentu akan membuat anda lesu. Jangan lupa untuk mengambil masa berehat. Tonton Netflix atau ganti waktu tidur yang terganggu. Jika anak-anak tidak memberi anda me-time, berilah mereka  menggunakan tablet sebentar. Cuba layari pautan di bawah ini untuk mengalihkan perhatian anak-anak kepada sesuatu yang lebih berguna:

Youtube

Laman web

Kredit foto: artortoise

Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah turut sama membantu ‘menyelamatkan’ negara dari pandemik ini dengan #dudukrumah dan hanya keluar jika perlu seperti untuk membeli barang keperluan harian. Jika tidak, sia-sialah kita berkurung hampir sebulan lamanya untuk menghapuskan Covid-19.

Untuk kaum ibu, kita berjaya melalui 44 hari tempoh berpantang. Kita tentu boleh mengharungi 28 hari ini!

Ibu, Covid-19 tu apa? Tak boleh pergi sekolah ke? Kita boleh mati ke?

Di saat dunia dikejutkan dengan kemunculan virus yang mengancam nyawa ini, kita sebagai ibu bapa sudah tentu panik dan risaukan keselamatan anak-anak kita yang masih bersekolah atau di pusat jagaan.

Mereka juga masih terlalu mentah untuk memahami situasi ini. Tetapi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, perkara ini janganlah dianggap mudah. Anak-anak perlu faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan bagi mencegah virus ini daripada terus tersebar.

Jadi apakah cara yang terbaik untuk menerangkan kepada mereka dengan mudah dan jelas?

Terangkan apakah itu Covid-19 dan asal-usulnya

Penjelasan yang mudah ialah Covid-19 merupakan virus yang membuatkan kita jatuh sakit – batuk, keletihan dan demam. Virus ini bermula di China, dalam daerah Wuhan. Ia dipercayai datang daripada haiwan  dan kemudian berjangkit kepada manusia. Warga emas adalah golongan yang mudah terdedah kepada virus ini. 

Macam mana virus ini buat kita sakit?

Virus Covid-19 ini menyerang sistem pernafasan kita dan membuatkan kita sukar untuk bernafas. Ianya mudah dan cepat tersebar melalui sentuhan. Kita perlu hati-hati apabila menyentuh apa-apa permukaan dengan tangan kerana dikhuatiri virus itu melekat di permukaan tersebut.

Mujurlah badan kita dilengkapi dengan sistem imun yang mampu melawan virus seperti ini. Bila kita sakit seperti demam, sakit kepala atau selsema, itu menunjukkan sistem imun kita sedang cuba melawan virus itu. Malangnya, tak semua orang mempunyai sistem imun yang baik untuk melawan virus ini. 

Apa yang boleh kita buat?

Kerap cuci tangan dengan sabun. Pastikan gosok sabun di seluruh jari-jemari, kuku dan telapak tangan hingga bersih selama 20 saat. Jangan sentuh muka dengan tangan dan gunakan gel pembasmi kuman. Kuarantin diri sendiri di rumah jika tidak sihat dan gunakan topeng muka. Amalkan social distancing, maksudnya elakkan berada atau berkumpul di tempat yang ramai orang kerana ia membuatkan kita lebih terdedah kepada virus ini.

Jangan panik

Apa yang penting, kita janganlah mudah panik. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan ikut arahan dari pihak berkuasa. Semoga penerangan mudah ini dapat difahami oleh anak-anak kita. 

 

Kredit foto: Manuela Molina


 

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe to our email newsletter today to receive updates on the latest news, tutorials and special offers!