Pengarang

Helmi Shaharuddin

Melayari

Topik kewangan adalah antara topik yang kurang dibualkan di kalangan masyarakat kita.

Kita inginkan pelbagai benda, tetapi apabila memikirkan kosnya dan jika ianya tidak bertepatan dengan bajet, kita selalunya akan melupakan hal tersebut. Namun, soal kewangan untuk masa depan anak-anak tidak seharusnya kita lupakan.

Sebagai ibubapa yang bijak, kita harus berfikir tentang persediaan kewangan bagi masa depan anak-anak dan bagaimana untuk memupuk tabiat positif terhadap kewangan dalam diri mereka.

Berikut adalah 5 langkah yang boleh dilakukan untuk persediaan kewangan masa depan anak anda:

Cipta matlamat

Sebelum memulakan apa-apa simpanan atau pelaburan, mencipta matlamat yang jelas adalah sangat penting. Apa sahaja yang kita mahu sediakan yang akan berlaku di masa hadapan perlulah bermula dengan matlamat yang realistik, mempunyai tempoh waktu dan boleh mengujakan.

Matlamat yang lebih kurang sama atau klise, seperti menghantar anak ke menara gading itu bagus, tetapi ia bukan jawapan muktamad untuk semua orang.

Sebagai ibubapa, kita mengenali keunikan, bakat dan nilai anak-anak, jadi tidak semestinya anak-anak perlu ke universiti untuk menjadi insan yang berjaya.

Oleh itu, jangan hadkan matlamat utama untuk masa depan mereka kepada pendidikan sahaja. Mungkin anak-anak kita perlukan sokongan untuk menjadi atlit, seniman, dan mungkin juga usahawan.

Selami minat anak-anak dan babitkan mereka dalam memikirkan matlamat ini.

Fahami tentang inflasi

Apabila bercakap tentang masa depan yang jaraknya memakan puluhan tahun, kita perlu mengambil tahu tentang inflasi.

Pernah tak dengar cerita dari datuk kita yang dulu dia belanja nenek kita aiskrim harga 5 sen sahaja? Sekarang, harga aiskrim paling murah RM1. Itulah inflasi.

Oleh itu, apa sahaja matlamat kewangan yang kita sasarkan untuk masa depan anak-anak perlulah selari dengan anggaran kos matlamat itu pada masa hadapan.

Contohnya, jika kos pendidikan di universiti termasuk belanja sara diri zaman ini, ianya boleh mencecah sehingga RM59,000 di universiti swasta, bagaimana pula kos bagi perkara yang sama 20 tahun akan datang?

Jika kita ambil berdasarkan kadar inflasi tahun ke tahun sebanyak 5%, kos yang sama pada 20 tahun akan datang boleh mencecah sehingga RM156,000.

Pilih produk pelaburan yang sesuai

Jangan simpan kesemua tabungan masa depan anak anda di bawah bantal ataupun sekadar akaun simpanan di bank. Ini penting kerana inflasi akan memberi kesan kepada nilai simpanan itu.

Sebagai contoh, jika anda menyimpan setiap bulan tanpa henti di akaun simpanan tanpa pulangan keuntungan selama 20 tahun dan berjaya menyimpan sebanyak RM50,000, nilai tersebut sama seperti hanya RM18,000 pada zaman sekarang jika kadar inflasi tahun ke tahun selama 20 tahun itu adalah 5%.

Dapatkan nasihat kewangan dari mereka yang bertauliah bagi menentukan produk yang sesuai dengan tahap kewangan kita.

Ini kerana setiap produk mempunyai caj dan risiko tertentu, rugilah jika tersilap pilih kerana janji-janji jurujual ataupun ejen sesebuah bank atau syarikat pelaburan.

Fahami perbezaan antara unit amanah, simpanan tetap, takaful dan instrument pelaburan lain sebelum mula menyertainya.

Sediakan perlindungan kewangan

Insurans ataupun takaful adalah instrumen perlindungan kewangan. Ianya adalah keperluan bagi mengelakkan kita dari menghadapi kerugian besar jika berlakunya perkara seperti sakit, lumpuh kekal atau meninggal dunia kepada diri sendiri atau anak-anak.

Ketepikan 5%-10% dari pendapatan bulanan supaya boleh menyediakan perlindungan kewangan dengan takaful atau insurans.

Saya mempunyai pengalaman secara langsung dimana anak saya Aqilah Najwa mengidap bronchiolitis pada usianya 1 tahun lebih dan kos bagi 4 kali kemasukan di hospital mencecah sehingga RM20,000 dari tahun 2014 sehingga tahun ini. Semuanya ditanggung menggunakan takaful.

Anak-anak adalah tanggungan kita dan sudah tentu segala kos perubatan datang dari poket kita sebagai ibu bapa. Jadi, persediaan kita bagi masa depan mereka akan menjadi sukar jika bil perubatan mereka terpaksa dibayar dengan duit simpanan sendiri.

Berikan anak pengalaman menguruskan wang

Tanpa bimbingan dan contoh, anak-anak mungkin lambat memahami konsep kewangan. Ianya berkait rapat dengan sikap yang dipupuk, dan akan dibawa sehingga dewasa.

Pengalaman adalah salah satu cara terbaik untuk mendidik anak-anak menguruskan kewangan dengan cermat bila mereka menginjak dewasa.

Anak saya Aqilah mula faham akan konsep wang apabila dia menginjak umur 3 tahun. Setiap tahun ketika Hari Raya, saudara mara akan memberikan wang dan dia tahu dia boleh berbelanja di kedai. Tetapi, dia belum faham bahawa wang perlu diraih, bukan sekadar kertas yang boleh bertukar menjadi barangan.

Jadi, saya menggunakan peluang ini untuk mula bercerita tentang pekerjaan saya dan bagaimana saya mendapat gaji daripada pekerjaan ini.

Pernah suatu hari, saya tidak keluar kerana tidak ada temujanji dengan pelanggan, dan dia terus bertanya

“Ayah tak pergi kerja ke? macam mana nak beli katil Hello Kitty nanti”

Dari situ saya tahu dia sudah mula memahami konsep pendapatan.

Sejak dari itu, saya telah menyediakan satu tabung untuk Aqilah khas untuk dia menyimpan wang yang saya berikan sebagai upah hasil daripada usahanya sendiri. Sebagai contoh, selepas dia mengemas meja, urut kepala mama dan sebagainya.

Cara ni sesuai untuk kanak-kanak usia 3-5 tahun dan matlamat hanyalah barangan berharga RM10-RM30. Walaupun nampak remeh, ianya sangat berkesan, sebab bila Aqilah mahukan sesuatu dia menjadi cermat dan tidak mahu menggunakan duit tabungan sendiri untuk berbelanja di kedai.

Jadi, gunakan kreativiti untuk sampaikan pemahaman ini di awal usia. Yang penting, mereka faham bahawa sumber kewangan adalah terhad dan mereka perlu menunggu sehingga wang mencukupi sebelum mendapatkan apa yang diinginkan.