Banner

Umat Islam seluruh dunia sedang menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Bagi penganut agama Islam, puasa memberikan hikmah kesihatan yang hebat apabila tubuh diberi peluang untuk berehat selama 30 hari daripada rutin makan dan minum yang berlebihan.

Namun, bagi kita di Malaysia bulan ini 30 hari bagaikan pesta tetapi PESTA MAKANAN! Sungguh ironik apabila bulan puasa juga merupakan bulan kita makan dengan lebih banyak dan dijamu juadah yang lebih istimewa dan melimpah ruah.

Kredit foto : Detik Food

Dalam kemeriahan pelbagai juadah di bulan Ramadan, ia hadir bersama- sama dengan bahan- bahan terproses yang tiada zat, penggunaan gula yang tinggi dan pewarna yang berlebihan. Lihat saja di bazar-bazar Ramadhan yang kita kunjungi, mata kita dijamu dengan aneka minuman sejuk berwarna, kuih muih bergula, dan pelbagai resepi- resepi baru viral membuatkan pelanggan teruja.

Penghayatan amalan berpuasa sepatutnya memberi fokus kepada makanan yang menyihatkan bagi membolehkan tubuh mengharungi dan mengakhiri 30 hari ini dengan tubuh dan minda yang lebih segar dan sihat.

Sebenarnya tidak sukar untuk kita mencari alternatif juadah berbuka puasa yang lebih sihat, sekiranya kita faham apa makanan yang tubuh perlu dan tidak perlu bagi menyokong amalan berpuasa ini. Ayuh lihat 5 panduan ini:

1) Sediakan dua atau lebih juadah sayur-sayuran ketika berbuka

Amalan makan sayur di dalam bulan puasa memberi dua kelebihan utama kepada tubuh badan kita. Yang pertama, serat di dalam sayur- sayuran buat kita rasa kenyang dengan lebih cepat dan lebih lama. Ini dapat mengelakkan kita makan berlebihan ketika berbuka. Yang kedua, sayur-sayuran mengandungi zat dan vitamin penting untuk menyokong kesihatan tubuh sepanjang tempoh berpuasa. Jadi kita tidak mudah jatuh sakit dan dapat memberi fokus kepada amal ibadat, terutama yang mahu mengambil kesempatan bertahajud dan mengaji Al-Quran.

Antara idea juadah sayur- sayuran yang mudah disediakan ialah sayur dan ubi panggang, digaul bersama minyak zaitun, garam dan lada hitam. Sayur dan ubi panggang ini boleh disediakan dengan lebih awal dan disimpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk. Hanya panaskan apabila mahu dimakan. Sangat enak dimakan bersama ayam!

Kredit foto: Riverstone Eco Resort

Selain itu, ulam- ulaman juga patut dijadikan juadah wajib ketika berbuka. Ini cara teramat mudah untuk bekalan serat dan vitamin harian, kerana ia tidak perlu dimasak. Hanya basuh dengan bersih dan sedia dimakan bersama sambal kegemaran anda. Pasti membuka selera kan?

2) Wajibkan hidangan buah-buahan setiap kali berbuka

Selain sayur- sayuran, buah-buahan juga adalah sumber serat dan vitamin yang baik untuk menyokong tubuh badan sepanjang berpuasa. Pilih buah yang tinggi kandungan air tetapi tidak tinggi kalori seperti stoberi, cantaloupe, oren, nenas, aprikot dan tembikai.

Selain itu, buah-buahan ini boleh dibuat jus semada dikisar atau diproses secara “cold pressed”. Untuk lebih zat dan vitamin, gabungkan buah-buahan bersama sayur-sayuran yang juga tinggi kandungan air seperti bayam, pegaga atau seleri.

3) Kurangkan penggunaan gula putih dalam pemanis mulut

Pengambilan pencuci mulut pada waktu berbuka puasa pastinya sukar dielakkan. Setiap kali Ramadhan, pelbagai pencuci mulut moden dan tradisional menjadi pilihan utama. Apatah lagi sekiranya pencuci mulut itu tidak dapat diperolehi diluar bulan Ramadhan, pastinya ramai yang tidak mahu ketinggalan.

Alternatif yang lebih baik dan sihat untuk menikmati pencuci mulut ialah yang dibuat sendiri di rumah kerana kita boleh mengurangkan sukatan gula putih dalam penyediaan juadah tersebut.

Selain mengurangkan jumlah gula putih, pilihan lain ialah dengan menggantikan gula putih dengan pilihah gula yang lebih rendah indeks glisemik seperti gula perang organik atau gula kabung.

Alternatif seterusnya ialah dengan menggunakan pemanis semulajadi yang diperbuat daripada daun stevia dan buah monk (jenama Lakanto). Pemanis semulajadi ini tidak ada kalori dan tidak menyebabkan paras gula dalam darah naik secara mendadak selepas berbuka.

Apakata cuba mulakan cara berbuka puasa yang baru, iaitu tanpa pencuci mulut pada hari Isnin hingga Jumaat, dan hanya mengambil pencuci mulut pada hujung minggu. Pastinya ini dapat mengurangkan penggunaan gula putih secara lebih baik.

4) Berhenti ambil makanan terproses

Makanan terproses mempunyai dua masalah utama kepada tubuh yang sedang berpuasa. Pertama, ia tidak mengandungi zat dan vitamin untuk tubuh, dan kedua ia mengandungi gula, perasa tiruan dan pewarna makanan yang berbahaya kepada tubuh. Kedua- dua faktor ini boleh menyebabkan tubuh yang berpuasa jadi lagi lemah dan tidak bermaya.

Pilihan yang lebih baik dan sihat adalah makanan semulajadi dan segar, dimasak secara ringkas tanpa memerlukan penggunaan perasa seperti serbuk MSG, sos dan kicap.

Dalam bulan puasa ini pelajari cara memasak yang lebih semulajadi menggunakan bahan-bahan semulajadi sahaja, masak dengan ringkas bagi mengekalkan khasiat dan buat persiapan untuk lebih kerap memasak di rumah berbanding membeli di luar. 

5) Minum air mencukupi dengan tambahan elektrolit semulajadi

Tubuh yang berpuasa memerlukan bekalan air harian yang mencukupi bagi memudahkan kita berfungsi seperti biasa seperti pergi bekerja, menguruskan rumahtangga dan keluarga.

Untuk memulihkan tubuh ketika berbuka, bukan sahaja kita perlu minum air kosong yang mencukupi, tetapi juga mengambil sumber elektrolit yang baik untuk tubuh.

Pilihan minuman elektrolit yang semulajadi, segar dan nyaman diminum ketika berbuka ialah seperti air kelapa, dan anda boleh tambah sedikit garam (pilihan garam bukit pasti lebih baik) atau hirisan limau dalam minuman jus buah.

Amalan berpuasa telah terbukti menyihatkan tubuh badan manusia sejak beratus- ratus tahun lamanya. Namun dengan gaya hidup moden hari ini, nikmat sihat dalam bulan puasa tidak dapat dinikmati pula akibat pemilihan makanan waktu berbuka yang tidak menyokong keperluan nutrisi penting untuk tubuh. Semoga dengan panduan yang dikongsi ini dapat mengubah Ramadan anda menjadi lebih baik dan lebih sihat daripada yang sebelumnya.

Pengarang

Puteri Yusof merupakan seorang ibu kepada 3 orang anak kini sedang giat berkempen No Sugar Challenge di media sosial. Pada awalnya kempen ini hanya untuk diri sendiri, namun selepas 2 tahun, kempen ini berjaya mengumpulkan lebih 2000 orang pengikut (Geng No Sugar Challenge), sehingga digelar sebagai "Coach Gula" oleh teman dan kenalan.

Ruangan komen telah ditutup.