Banner

Dunia kanak-kanak hanya dipenuhi dengan kegembiraan dan keseronokan, jadi tidak hairanlah jika tugasan harian  yang wajib dilaksanakan seperti memberus gigi menjadi satu beban kepada anak-anak dan ibubapa.

Paksaan dan hukuman bukanlah cara terbaik untuk menanam tabiat memberus gigi di dalam diri anak-anak kerana ia boleh memberikan impak yang negatif terhadap emosi mereka. Proses menyemai tabiat itu juga akan menjadi lebih sukar untuk anak dan ibubapa.

Menurut pakar pergigian, ada beberapa cara berkesan yang boleh digunakan untuk mendidik anak-anak memberus gigi tanpa sebarang paksaan atau hukuman.

1. Jadikan ia satu rutin

Tidak kiralah apa yang anda cuba, peringkat permulaan sememangnya akan menjadi sukar. Lumrah manusia tidak sukakan sesuatu dimasukkan ke dalam mulut secara paksa, terutamanya jika ia dilakukan oleh orang lain. Setelah anda perkenalkan konsep penjagaan mulut dan gigi kepada anak, cuba ulangi idea itu untuk membina minat dan tabiat mereka. Anda perlu peka kepada respon anak dan cuba tanam kepercayaan mereka supaya lama kelamaan mereka akan faham bahawa memberus gigi itu adalah satu keperluan harian.

2. Jadikan ia satu pengalaman yang menyeronokkan

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga tidak suka jika mereka dipaksa melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu. Memaksa anak membuat sesuatu perkara akan menyebabkan mereka merasa takut atau negatif terhadap perkara itu, dan ia juga akan menyukarkan lagi usaha anda. Jadikan aktiviti memberus gigi satu pengalaman yang menyeronokkan untuk mereka. Ia juga satu peluang untuk anda mengeratkan lagi hubungan dengan anak anda. Sebagai contoh, menyanyi bersama-sama ketika memberus gigi amat menyeronokkan untuk anak yang menggemari muzik. Selain itu, anda juga boleh mencipta permainan yang melibatkan aktiviti memberus gigi. Ia tentunya boleh menghilangkan rasa takut anak anda kerana terlalu seronok bermain!

3. Mengajar dengan perbuatan

Kata pepatah Inggeris – monkey see, monkey do! Jadi, jika anak anda melihat anda memberus gigi sendiri, mereka akan mahu melakukannya sendiri juga. Stimulus visual seperti ini adalah sangat penting kerana ia mengajar melalui contoh dan perbuatan. Anda boleh juga menemani anak anda di hadapan cermin sebelum dan selepas memberus gigi. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka mengenai kebaikan dan cara-cara memberus gigi dengan betul. Lama kelamaan, anak anda tentu faham kenapa mereka perlu meneruskannya.

4. Bantu-membantu

Beri peluang kepada anak anda untuk memberus gigi anda. Dengan cara ini, dia akan merasa “in control” dan mendapat keseronokan kerana dapat membantu memberus gigi ibu atau ayah. Perasaan positif ini akan membuatkan anak merasa lebih selesa dengan aktiviti memberus gigi. Anda juga boleh memberikannya peluang untuk memberus gigi patung atau permainan kegemarannya.

5. Cari masa yang paling sesuai

Sebagai ibubapa, kita boleh mengenali masa sama ada anak sedang aktif atau keletihan. Jika mereka keletihan dan mengantuk, mungkin masa itu tidak sesuai untuk melatih mereka memberus gigi. Anda boleh mencuba ketika mereka masih aktif dan segar supaya mereka dapat fokus dan melibatkan diri, namun ada juga kanak-kanak yang senang hilang fokus di dalam keadaan tersebut. Cuba dengan masa masa yang berlainan dan kenalpasti bilakah waktu yang paling sesuai.

6. Cuba tanpa atau dengan ubat gigi

Pakar pergigian berkata bahawa penggunaan ubat gigi di peringkat kanak-kanak adalah tidak perlu, asalkan gigi mereka digosok dengan betul. Ada kanak-kanak yang mahu memberus gigi jika menggunakan ubat gigi berjenama kartun kesukaan, dan ada juga yang tidak sukakan sebarang ubat gigi di berus gigi mereka.

7. Mula dari awal

Anda sebenarnya boleh mula mengajak anak memberus gigi sendiri dari awal. Ia boleh dimulakan seawal usia 3 tahun. Walaupun teknik mereka tidak betul, ia akan menanam minat mereka dan memudahkan proses membina rutin dan tabiat memberus gigi sehingga dewasa.

8. Didik mereka mengenai kebaikan memberus gigi

Anda boleh juga bercerita mengenai kebaikan memberus gigi dan kesan buruk tidak melakukannya, tetapi elakkan dari menggunakan perkataan yang negatif supaya mereka tidak merasa takut. Gunakan kaedah penceritaan dan masukkan elemen memberus gigi untuk membantu mereka memahami dan mula melihat aktiviti memberus gigi sebagai sesuatu yang positif dan menyeronokkan.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Ditulis oleh: Syahir Ashri

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.