Diet seimbang untuk anak- anak sememangnya menjadi agenda penting bagi ibu dan bapa. Apabila tiba saja tempoh usia anak sudah boleh menikmati makanan pejal, ibubapa kebiasaannya akan berusaha mencari idea makanan terbaik untuk zuriat tercinta. Antara faktor yang diambil kira  dalam menyediakan makanan anak- anak termasuklah zat makanan yang lengkap, kebersihan, kesegaran dan yang paling penting digemari oleh anak- anak.

Selain menu makanan utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam, penyediaan snek juga membantu anak- anak kenyang dan mendapat zat dan tenaga yang diperlukan sepanjang hari.

Waktu menikmati snek oleh anak- anak biasanya disediakan di antara waktu makan utama, atau selepas mereka pulang dari sekolah dan pelbagai aktiviti. Bagi anak- anak kecil di rumah, penyediaan snek di rumah adalah pada bila-bila masa yang mereka suka. 

Namun begitu, dalam dunia moden hari ini kebanyakan snek yang mudah didapati untuk anak- anak tidak terjamin kepadatan zat di dalamnya.  Jika kita perhatikan, kebanyakan snek pilihan mudah yang terdapat di pasaran hanyalah terdiri daripada biskut- biskut, roti berkrim dan bergula, makanan sejuk beku seperti nugget dan sosej atau pelbagai kuih muih tempatan. 

Makanan- makanan ini sudah terproses dengan tepung putih,  mengandungi gula yang tinggi, diperasakan dengan bahan perasa tiruan, dibancuh dengan pewarna makanan yang bukan semulajadi, tidak berkhasiat dan boleh memudaratkan tubuh anak- anak jika diambil setiap hari dalam jangkamasa yang panjang.

Menyediakan snek yang berkhasiat dan tidak mengandungi gula tambahan mungkin satu tugasan yang mencabar sekiranya ibu dan ayah tidak biasa dan tidak ada idea. Penyediaan snek ringkas di rumah, haruslah mudah, boleh disediakan lebih awal dan berkhasiat dan tentunya digemari oleh anak- anak.

Saya ingin berkongsi 7 menu snek mudah, yang ibu dan ayah boleh jadikan panduan setiap hari, Isnin hingga Ahad.

1. Hari Isnin : “Fries”  Keledek

Kredit foto: Fresh City Farm

Keledek mengandungi zat yang lebih padat jika kita bandingkan dengan kentang biasa. Lihat saja warnanya yang oren keemasan menandakan ia kaya dengan vitamin A (beta carotene) atau ungu pekat, menandakan ia kaya dengan “anthocyanins” iaitu sejenis anti oksida semulajadi yang di dapati di dalam tumbuh- tumbuhan. Keledek juga kaya dengan vitamin C, zat besi dan tinggi serat.

Penyediaan “fries” menggunakan keledek amatlah mudah. Potong keledek secara memanjang dan hiris nipis, goreng dengan minyak atau gunakan “air fryer” . Taburkan sedikit garam bukit ataupun serbuk kayu manis untuk menambah perisa.

Sediakan “fries” lebih awal dan simpan dalam bekas kedap udara untuk sedia dimakan pada bila- bila masa.

2. Hari Selasa : “Sate” Buah Segar

Kredit foto: Snack Girl

Buah- buahan segar adalah snek paling ringkas, paling mudah disediakan dan sangat berkhasiat. Buah- buahan mengandungi vitamin dan serat yang baik untuk tubuh anak- anak membesar dengan sihat. Anak- anak biasanya tidak menolak buah- buahan, tetapi sudah tentu ada buah yang mereka suka dan ada yang mereka tidak suka.

Tarik perhatian mereka untuk mencuba kepelbagaian buah- buahan dengan menyusun buah- buahan yang dicucuk pada lidi sate. Ibubapa boleh memilih 5 warna buah berlainan untuk tampak lebih menyelerakan dan menarik di mata anak- anak.

Susunkan buah- buahan seperti berikut mengikut warna :

Warna ungu : Sebiji anggur saiz sederhana

Warna kuning : Hirisan belimbing

Warna putih : Potongan kiub tembikai madu

Warna hijau : Potongan buah kiwi

Warna merah : Hirisan strawberi

Sediakan sate lebih awal, dan simpan dalam peti ais untuk dimakan sepanjang hari. Cuma harus diingat, sate ini sangat menyelerakan dan mungkin perlu disorok supaya tidak habis sebelum waktunya!

3. Rabu : Smoothies

Kredit foto: Eating Well

Jika anak- anak anda penggemar minuman smoothies yang dijual di luar sana, apa kata kali ini perkenalkan mereka kepada smoothies yang boleh dibuat sendiri di rumah sahaja. Ianya jauh lebih murah, mudah disediakan dan pastinya tidak mengandungi gula tambahan.

Smoothies ringkas hanya memerlukan 3 bahan utama iaitu susu segar, buah dan ais. Anda juga boleh menambah yogurt untuk rasa lebih berlemak. Pastikan yogurt yang anda guna adalah yogurt asli sahaja ya.

Cara penyediaan smoothies sangat mudah dan boleh dilakukan sendiri oleh anak- anak dengan dibantu oleh ibubapa. Masukkan susu segar, buah dan ais di dalam jag pengisar, dan kisar halus semua bahan. 

Anda juga boleh memotong buah- buahan terlebih dahulu dan bekukan di dalam peti sejuk. Ambil buah yang sudah beku dan terus kisarkan bersama susu segar dan anda tidak perlukan ais tambahan.

Antara buah- buahan yang boleh dicuba untuk smoothies enak termasuklah buah mangga masak, strawberi, buah beri biru, kiwi, nanas dan tembikai.

Tips :

Pastikan anda menggunakan susu segar dan bukan susu jenis UHT atau krim penuh yang terproses bersama penstabil makanan, pewarna dan perasa tiruan. Lihat pada label botol susu, dan kandungan susu segar hanya ada satu bahan sahaja iaitu SUSU LEMBU.

Untuk memilih yogurt, pastikan ia asli, tidak dicampur dengan buah- buahan, atau perisa dan pewarna tiruan. Lihat pada label bekas yogurt, hanya ada dua bahan sahaja iaitu susu lembu dan kultur hidup (live cultures).

4. Khamis : Pelbagai Jenis Kacang

Makanan seimbang untuk ibu menyusuSnek ini bukan saja boeh dimakan di rumah, tetapi juga mudah disimpan untuk dimakan di mana- mana, seperti di dalam kereta, ketika menonton wayang atau ketika berjalan- jalan di pusat membeli belah.

Terdapat banyak pilihan jenis kacang dan biji- bijian yang bukan saja enak tetapi termasuk dalam kategori “superfood” seperti :

Badam : Mengandungi lemak sihat untuk otak cerdas, magnesium, serat, protein dan vitamin E.

Pistachio : Mengandungi protein, serat, magnesium, potasium, vitamin B6 dan karbohidrat.

Kacang tanah : Mengandungi protein, lemak sihat, vitamin B3, manganese dan vitamin E

Gajus : Mengandungi protein, magnesium, zink dan karbohidrat.

Tips :

Sekiranya anda membeli kacang yang sudah dipek, pastikan ia tidak disalut dengan karamel, madu atau garam. Lebih baik sekiranya anda membeli kacang- kacang yang masih mentah dan panggang sendiri di rumah.

5. Jumaat : Aiskrim Malaysia

Bila sebut saja aiskrim, pastik tidak ada anak- anak yang akan menolak. Tetapi apa kata kita beri sedikit kelainan kepada aiskrim dengan memastikan ia ada nutrisi yang padat, tanpa perlu bergantung kepada gula tambahan dan pewarna makanan tiruan.

Untuk bekalan elektrolit bagi tubuh anak- anak yang aktif, saya mencadangkan penggunaaan air kelapa segar sebagai bahan asasnya.

Ibu atau bapa boleh mempelbagaikan rasa aiskrim dengan gabungan- gabungan seperti berikut :

  • Air kelapa + tembikai dikisar
  • Air kelapa + hirisan lemon + madu asli
  • Air kelapa + hirisan buah kiwi
  • Air kelapa + perahan oren

Masukkan campuran bahan- bahan ini ke dalam plastik aiskrim Malaysia, bekukan dan boleh dinikmati bersama keluarga dan juga kawan- kawan. Cuma pastikan anda sediakan jumlah yang cukup kerana aiskrim ini sangat segar dan enak sekali!

6. Sabtu : Pisang Panggang

Kredit foto: Love Food Eat

Pisang adalah antara snek ringkas yang boleh dimakan oleh anak- anak pada bila- bila masa. Tetapi apa kata pada hujung minggu, perkenalkan anak dengan snek pisang panggang yang lain daripada kebiasaan.

Pastikan anda guna buah pisang yang cukup masak, dan panggang di atas kuali bersama mentega asli. Biarkan ia masak sehingga pisang mengeluarkan karamel berbau harum, dan bolehlah diangkat.

Tabur sedikit serbuk kayu manis, dan siap untuk dihidang. Jika mahu, tuang sedikit susu segar, taburkan kacang campuran dan nikmatinya seperti pengat pisang, memang sangat enak dan menyelerakan!

Juadah ini ada nutrisi yang padat daripada pisang yang mengandungi vitamin B6, vitamin C, folate,  serat dan protein, susu segar yang kaya dengan protein dan kalsium, serta serbuk kayu manis yang kaya dengan anti- oksida.

7. Ahad : Egg Muffin

Kredit foto: Well Plated

Telur ayam mengandungi nutrisi yang padat untuk pertumbuhan kanak- kanak, baik untuk tubuh badan mereka dan juga untuk perkembangan minda yang baik. Telur ayam kaya dengan kandungan vitamin B6, B12, B12 dan folate. Ia juga mengandungi choline, sejenis nutrisi mikro yang penting untuk menghasilkan sejenis neuro- transmitter bagi menguatkan memori.

Saya suka dengan resepi muffin telur sihat ini , kerana ia tidak mengandungi perasa tambahan.

Pengarang

Puteri Yusof adalah seorang ibu kepada 3 orang anak yang kini sedang giat berkempen No Sugar Challenge di media sosial. Walaupun pada awalnya kempen ini hanya untuk dirinya bebas daripada kemaruk dan cengkaman gula, namun selepas 365 hari, Puteri yakin kempen ini boleh memberi manfaat untuk semua.

Ruangan komen telah ditutup.