fbpx

Seperti saya, mungkin suatu masa dahulu, definisi “date night” anda bermakna perbualan panjang bersama suami sambil menikmati makan malam yang lazat. Sebelum itu, anda mungkin sempat mengambil masa untuk bersedia, sempat mandi dengan tenang tanpa gangguan dan bersiap-siap memakai pakaian cantik dan bergaya.

Sembilan tahun berlalu, dan kini dengan kehadiran seorang anak kecil dan seorang bayi, kita tiada lagi masa untuk semua itu. Selepas seharian penat bekerja, kita hanya mahu tidur dan berehat sepuasnya kan?

Eh, tunggu dulu.

Saat-saat romantis yang pendek sebenarnya masih boleh memberikan makna yang mendalam. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, ia sering diabaikan dek kesibukan hidup seharian. Masa berkualiti bersama pasangan masih boleh dilakukan dengan sedikit usaha dan perancangan. Tak semestinya sesuatu yang besar-besaran, sedikit masa terluang bersama pasangan tanpa anak-anak pun sangat bermakna.

1. Menonton filem atau bermain permainan di rumah

Yang ini senang sahaja. Pastikan anak-anak tidur awal, pilih filem kegemaran anda dan sediakan makanan kegemaran untuk dinikmati. Jika anda bukan penggemar filem, apakata bermain permainan yang sama-sama digemari? Contohnya, permainan keluarga seperti Sahibba atau Monopoli.

2. Cipta ruangan baru untuk dinikmati bersama

Walaupun meja makan kami cantik dan kukuh, hari-hari makan di tempat yang sama boleh menjadi bosan juga. Cuba sediakan ruang makan baru di luar rumah seperti di patio atau balkoni. Hiasi ruang itu dengan lilin dan lampu yang boleh memberikan rasa “whimsical”.

Tak mahu berpeluh-peluh di luar? Apakata berkelah di hadapan TV atau di ruang tamu dan hidangkan makanan yang biasa anda makan ketika berkelah di luar.

3. “Date night” tak semestinya di waktu malam.

Selalunya rutin tidur anak-anak sentiasa menjadi panjang berjela kerana pelbagai ragam dan kerenah mereka. Jadi, “date night” di waktu malam mungkin agak sukar untuk dilakukan. Cubalah keluar di waktu tengahari. Anda ada bayi? Letakkannya di dalam “stroller” dengan harapan dia tidur dan anda ada masa sejam untuk dinikmati bersama pasangan.

4. Pelbagaikan pilihan

Makan malam di luar kadangkala bukan sesuatu yang anda mahu lakukan. Mungkin anda lebih gemar siapkan makan malam dan makan bersama anak-anak dahulu sebelum anda keluar bersama. Pada saya, saya lebih selesa dengan cara ini.

Jadi, selepas makan malam, dapatkan bantuan dari ahli keluarga atau penjaga untuk tengok-tengokkan anak yang sudah tidur, dan anda boleh keluar bersama pasangan untuk menikmati kopi atau aiskrim di luar.

Apa sahaja yang anda lakukan, ingat, objektif utamanya ialah untuk meluangkan masa berkualiti bersama pasangan. “Date nights” atau aktiviti seperti disarankan dia atas adalah cara yang mudah untuk mengukuhkan hubungan suami isteri dan merapatkannya kembali.

Sudah tentu kita sayangkan anak-anak, tetapi masa berkualiti sebagai pasangan suami isteri juga sangat penting untuk kesejahteraan rumahtangga dan keluarga.

 

Pengarang

Untuk sebarang pertanyaan am atau editorial, emel kami di [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.

Like page kami!

Wadah mama papa kontemporari


This will close in 30 seconds