Banner

Kehamilan adalah waktu yang sangat mengujakan, tetapi kadangkala ia membuatkan ibu gundah dan kebingungan. Jangan bimbang, anda tidak keseorangan! Ketika hamil, badan wanita mampu menyesuaikan diri dengan keperluan bayi yang sedang membesar di dalam rahim, namun hakikatnya ia bukan semuanya indah.

Masalah perut berangin? Rambut tumbuh terlalu banyak?

Ini jawapan kepada soalan-soalan yang anda mungkin terlalu malu untuk bertanya tentang kehamilan dan kelahiran.

1. Kenapa saya mengalami sembelit?

Sembelit adalah perkara yang biasa berlaku semasa hamil dan ia disebabkan oleh hormon-hormon yang meningkat secara mendadak. Tingkatkan pengambilan makanan berserat dan minum lebih banyak air supaya sistem pencernaan anda berjalan dengan lancar.

2. Macamana kalau air ketuban saya pecah ketika saya berada di luar? Adakah saya akan kelihatan seperti telah terkencing di dalam seluar?

Kebanyakan bayi akan bergerak ke arah bawah pelvis di hujung tempoh kehamilan, jadi, kepala mereka akan bertindak seperti penghadang. Jangan bimbang, kalau air ketuban anda pecah di khalayak ramai, ia akan mengalir dengan perlahan (bukan macam air terjun!). Maklumkan pada seseorang jika anda memerlukan bantuan. Jika anda masih risau, pakailah tuala wanita sebelum keluar rumah.

3. Mengapakah saya mengalami simptom keputihan di trimester pertama?

Memang biasa untuk wanita berasa lebih “lembap” semasa trimester pertama. Keputihan ini disebabkan oleh hormon progesteron yang bertindak sebagai pelindung daripada jangkitan kuman yang boleh sampai ke rahim.

4. Kenapa saya sering mengalami mimpi yang erotik dan memberahikan?

Mimpi erotik semasa kehamilan boleh terjadi kerana pengaliran darah yang lebih banyak ke kawasan faraj dan tahap estrogen lebih tinggi di dalam badan. Peningkatan saiz dan rasa sensitif pada payudara juga petanda peningkatan “sex drive“ anda.

5. Adakah bayi saya boleh kentut di dalam rahim?

Tidak boleh, tetapi dia boleh kencing.

6. Mengapakah saya terkencing di dalam seluar ketika hamil?

Kebanyakan wanita hamil terkencing dalam seluar apabila mereka batuk, bersin atau ketawa kerana tekanan yang berlebihan ke atas pundi kencing. Walaupun hanya beberapa titis, ia tetap membuatkan kita berasa malu. Rajinkan diri melakukan senaman lantai pelvik atau Kegels untuk membantu menguatkan lantai pelvik anda.

7. Ketika melakukan hubungan seks, bolehkah bayi saya “terganggu” dengan pasangan saya?

The American Congress of Obstetrics and Gynecology menyatakan bahawa jika kehamilan anda normal dan sihat, hubungan seks adalah 100% selamat, walaupun di trimester ketiga. Jika seseorang wanita itu selesa dalam mana-mana posisi seks tanpa sebarang kesakitan, ia petanda bahawa bayinya juga selamat dan selesa.

8. Mengapakah vagina saya bengkak?

Vagina yang membengkak terjadi kerana darah berlebihan yang mengalir di dalam badan anda, sendi pelvis yang sedang giat bersedia untuk melahirkan dan juga tekanan bayi ke atas tulang pelvis anda.

9. Adakah saya akan terbuang air besar semasa melahirkan?

Ini boleh berlaku terutamanya sejurus sebelum bayi mengeluarkan kepalanya (crowning) . Ini adalah kerana otot-otot yang digunakan untuk meneran bayi adalah otot sama yang digunakan untuk membuang air besar. Jangan risau, anda akan lebih sibuk dengan kelahiran dan tentu lebih tidak sabar untuk melihat bayi anda!

10. Kenapakah abdomen saya merasa kejang selepas seks?

Jangan risau kalau anda berasa kejang selepas hubungan seks. Kekejangan ini boleh disebabkan oleh klimaks dan/atau kandungan prostaglandin di dalam air mani. Ia biasanya akan beransur pulih setelah anda berehat.

11. Mengapa muka saya berjerawat?

Menurut WebMD, kandungan hormon yang berlebihan dalam sistem badan anda juga boleh menyebabkan jerawat.

12. Mengapakah perut saya berasa kembung?

Hormon yang berlebihan boleh memperlahankan sistem pencernaan anda. Ini menyebabkan anda terasa kembung semasa hamil. Malangnya, anda hanya boleh sendawa dan kentut untuk mengeluarkan angin berlebihan ini.

13. Mengapakah payu dara saya terasa gatal?

Menurut BabyCenter, kulit yang terasa gatal adalah normal, terutamanya di bahagian kulit yang menegang seperti payudara dan perut. Elakkan dari menggaru dan sentiasa lembapkan kulit anda dengan losyen, krim atau minyak kelapa dara.

14. Kawan saya kata yang bayi saya akan diselaputi bahan seakan krim keju selepas dia dilahirkan. Adakah saya akan mahu memeluk anak saya?

 

Selaput ini dipanggil ‘vernix’ dan ia akan diserap ke dalam kulit bayi anda dalam masa dua hari. Ia membantu melindungi bayi anda daripada jangkitan. Kebanyakan hospital akan memandikan bayi dalam tempoh beberapa jam selepas dia dilahirkan, tetapi sebagai ibubapa, anda boleh memutuskan bila dia dimandikan dan siapa yang akan memandikannya.

15. Berapa lamakah jahitan saya akan pulih? Bilakah saya boleh memulakan hubungan seks sekali lagi?

Selalunya ia akan memakan masa selama tiga hingga empat minggu untuk pulih. Tetapi, anda boleh melakukan hubungan seks apabila anda rasa bersedia. Ada yang bersedia selepas beberapa minggu, ada juga sehingga beberapa bulan.

16. Adakah pasangan saya akan jijik melakukan hubungan seks dengan saya jika dia melihat sendiri proses kelahiran?

Ada di antara kaum lelaki yang akan merasa sukar, terutamanya jika kelahiran adalah traumatik. Tetapi kebanyakan lelaki akan berasa kagum dengan pasangan mereka kerana telah melahirkan bayi kesayangan anda berdua. Jika anda masih risau, minta suami hanya menunggu di sisi tanpa perlu melihat kawasan faraj anda.


Artikel ini pertama kali diterbitkan di www.makchic.com dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. 

Terjemahan oleh : Ayuni A.

Pengarang

From our team of purposeful, multi-faceted mummies. For editorial or general enquiries, email to us at [email protected]

Ruangan komen telah ditutup.